Zon Siber Perpustakaan Negara


Melangkah ke Zon Siber, Aras 1, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur bagai tidak terasa berada di dalam sebuah perpustakaan.

Di satu sudut, beberapa pengunjung dewasa berdiri sedang asyik menggunakan Internet untuk mencari bahan ringkas untuk tugasan mereka.

Sementara di meja bulat yang menempatkan empat buah komputer kelihatan pelajar sekolah sedang bermain permainan komputer, melayari laman web, berbual siber dan memuat turun gambar.

Di satu sudut lain pula, empat orang remaja perempuan sedang menaip tugasan yang mungkin diberikan guru masing-masing.

Manakala di sebelah rak buku seorang remaja perempuan sedang menelaah buku rujukan mungkin untuk menghadapi peperiksaan.

Di sofa pula seorang lelaki separuh umur sedang membaca, mungkin menunggu anaknya yang sedang menggunakan Internet.

Suatu masa dahulu, sebut saja perpustakaan kita tentu terbayang amat suasana sunyi sepi dengan ‘ulat buku’ yang leka menelaah buku-buku.

Bagaimanapun dengan kecanggihan teknologi dan kemajuan dalam bidang telekomunikasi, sedikit demi sedikit perpustakaan perlu mengikuti rentak teknologi terkini.

Justeru PNM telah melangkah setapak lagi dengan mewujudkan Zon Siber bagi kemudahan kanak-kanak, remaja dan dewasa yang menggunakan Internet sebagai rujukan tugasan.

Timbalan Pengarah Pusat Maklumat Malaysiana, PNM, Nor Hayati Yahya berkata, Zon Siber yang telah mula beroperasi sejak 18 November tahun lalu bagi memberikan kemudahan kepada remaja untuk mengakses maklumat daripada Internet.

“Di sini kami mensasarkan golongan pelajar, remaja dan juga dewasa yang menggunakan Internet sebagai rujukan,” katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Norhayati berkata, sebelum ini zon siber berada di aras 4 tetapi disebabkan kawasannya di bahagian rujukan dan pinjaman, kanak-kanak tidak dibenarkan masuk.

Kini Zon Siber yang seakan-akan konsep siber kafe berada di aras 1 membolehkan kanak-kanak berumur 11 tahun ke atas menggunakan Internet selain pelajar masih boleh berbincang sesama sendiri.

Golongan pelajar juga boleh menggunakan koleksi buku rujukan yang disediakan seperti untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), buku sejarah, kebudayaan dan novel.

“Selain itu pengunjung bebas menggunakan komputer untuk apa saja tujuan sama ada menghantar atau membaca emel, ruang bual siber mencari bahan rujukan, melayari laman sosial seperti Facebook atau Friendster atau bermain permainan komputer.

“Di sini pengunjung bebas asalkan tidak melayari laman-laman web yang tidak bermoral,” katanya.

Zon Siber yang boleh menampung kapasiti sehingga 100 tempat duduk dengan 29 unit komputer boleh dikatakan satu kawasan santai.

Di zon siber terdapat peralatan

- 20 unit standing OPAC bagi meja komputer tanpa kerusi untuk penggunaan cepat

- tiga unit meja komputer empat tempat duduk

- enam unit meja komputer satu tempat duduk

- 11 unit meja

- 100 unit kerusi

- lapan unit sofa untuk tujuan perbincangan

Hampir kesemua komputer di zon siber dilengkapi dengan sambungan Internet dan pangkalan data komersial yang dilanggan oleh PNM.

Antara pangkalan data yang boleh diakses oleh pengunjung adalah BLIS, CLJ (tempatan), Ebsco, GMID, E-Brary, Nexis.com dan Emerald yang dilanggan dari luar negara.

Nor Hayati menambah, di Zon Siber juga terdapat enam buah komputer yang tidak disambung dengan talian Internet khusus untuk Perkhidmatan Kesetiausahaan.

“Di sini pengunjung boleh menggunakan komputer untuk menaip tugasan, mengimbas dan mencetak.

“Buat masa ini semua perkhidmatan adalah percuma sehingga ke satu masa yang akan ditetapkan,” katanya.

Nor Hayati berkata, sambutan yang ada amat menggalakkan terutama selepas waktu sekolah, pejabat, semasa cuti sekolah dan hujung minggu.

Sehingga kini lebih 6,000 pengguna telah menggunakan kemudahan yang ada di Zon Siber PNM.

Buat masa ini kata Nor Hayati, semua komputer yang ada di Zon Siber di bawah kontrak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) selama setahun.

“Selepas tempoh itu pihak kami akan menjalankan kajian dan mendapatkan maklum balas pengguna mengenai Zon Siber.

“Jika maklum balas positif kami akan meningkatkan perkhidmatan sesuai dengan keperluan pengunjung,” katanya.

Bagaimanapun tegas Nor Hayati, pihak PNM mungkin akan mengenakan bayaran pada satu tarikh yang belum ditetapkan dengan kadar yang minimum.

Selain itu, PNM juga menyediakan pelbagai kemudahan seperti perkhidmatan kepada penerbit termasuk International Standard Book Number (ISBN), International Standard Serial Number (ISSN) dan Pengkatalogan Dalam Penerbitan (PDP).

Di sana juga terdapat koleksi bercetak dan tidak bercetak merangkumi bahan dalam dan luar negara.

Bagi memudahkan pengguna, PNM juga menyediakan pelbagai kemudahan untuk pengguna seperti bilik kajian, bilik tayangan, bilik kemudahan kanak-kanak, dewan pameran, bilik serbaguna, auditorium, kantin, telefon awam, surau, laluan orang kurang upaya berkerusi roda, bilik simpanan bagasi, lif dan medan letak kereta percuma.

Sesiapa yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti terkini PNM boleh melayari laman web PNM di www.pnm.my
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url