Membayar cukai bagai melaksana wakaf peribadi

Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM
Pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Bersempena bulan pembayar cukai yang bakal berakhir pada 30 April (hari ini), setiap warga Malaysia perlu sedar betapa bertuahnya mereka dilahirkan menjadi rakyat negara ini. Nikmat menjadi rakyat Malaysia tiada tolok bandingnya dengan negara jiran yang tidak kunjung padam ditimpa musibah, sama ada bencana alam atau pergolakan politik dalaman.

Walaupun situasi di Malaysia sekarang tidak menuntut agar semua warganegara turun ke medan perang sebagai langkah untuk menunjukkan kecintaan yang mendalam kepada negara, namun perlu diingat bahawa suasana yang aman ini terhasil daripada pengorbanan sebahagian besar anggota polis dan tentera yang saban hari bekerja menjaga keamanan negara. Tanpa cukai yang dikenakan kepada warga Malaysia, mana mungkin gaji anggota keselamatan mampu dibayar oleh kerajaan.

Faedah membayar cukai bukan hanya perlu dilihat dari satu sudut yang sempit tetapi merangkumi aspek yang lebih luas.

Baginda Rasulullah SAW dan para khulafa' al-Rashidin semasa mentadbir negara Islam Madinah telah mewujudkan mekanisme-mekanisme kewangan yang tertentu untuk memastikan kemakmuran dan kelangsungan tadbir urus negara berterusan.

Pensyariatan zakat, kharaj, jizyah dan lain-lain sebenarnya mempunyai persamaan secara tidak langsung dengan penetapan cukai yang ditetapkan oleh kerajaan dewasa ini. Malahan baginda Rasulullah SAW telah mengklasifikasikan orang yang enggan, liat dan kedekut untuk menjelaskan hak orang lain yang wujud pada hartanya sebagai satu kezaliman.

Para pembayar cukai tidak perlu merasa berat hati atau rugi ketika membayar cukai yang telah ditetapkan kerana tanpa sistem negara yang teratur, mustahil mereka akan memperolehi pendapatan tahunan yang lumayan.

Bandingkan keselesaan yang dinikmati di negara ini dengan kesengsaraan serta kemiskinan yang dideritai oleh rakyat negara lain yang jauh lebih miskin dan mundur.

Islam semenjak sekian lama menegaskan harta adalah amanah pinjaman Allah SWT kepada manusia yang perlu ditunaikan haknya. Oleh itu sebagai lambang patriotisme serta rasa terima kasih yang mendalam kepada negara, apalah sangat dengan peratusan nilai cukai yang perlu dibayar. Sumbangan cukai kita itu akan turut dirasai oleh semua rakyat Malaysia kerana pembangunan negara berasal daripada cukai setiap warganya.

Tidak salah sekiranya kita kategorikan jumlah bayaran cukai yang kita pulangkan kepada negara sebagai sumbangan wakaf peribadi tanpa kita sedari. Atau boleh juga disebut sebagai sedekah jariah yang sentiasa terjamin pahalanya walaupun sesudah kematian kita.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url