Malas membaca punca siswazah makin kurang pengetahuan

Kebanyakan siswazah kurang pengetahuan semasa kerana mengehadkan bahan bacaan kepada buku-buku berkaitan peperiksaan sewaktu di universiti.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Raslin Abu Bakar berkata, keadaan diburukkan lagi apabila mereka terus berhenti membaca selepas tamat pengajian dan tidak mengambil tahu perkara lain yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian termasuk kerjaya.

"Rakyat negara ini boleh membaca. Masalahnya ialah tabiat membaca tidak diamalkan selepas mereka tamat belajar lebih-lebih lagi kepada golongan yang hanya menelaah buku untuk menghadapi peperiksaan," katanya.

Raslin ditemui pemberita selepas majlis perasmian Kempen Membaca PNM dan Sehari Bersama Angkasawan anjuran Institut Perguruan Kelantan, di Sekolah Kebangsaan Bahagia, Kampung Bahagia di sini hari ini.

Kempen yang dimulakan sejak awal tahun itu mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan pendidik, penduduk kampung dan pelajar sekolah ini terutama dengan kehadiran Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Sheikh Mustapha yang dipilih menjadi ikon PNM.

Pada majlis itu, Dr. Sheikh Muszaphar mengambil peluang memberikan motivasi dan berkongsi pengalaman sebelum dan selepas menjadi angkasawan.

Sementara itu, Raslin turut meminta kerajaan menyalurkan dana mencukupi kepada PNM untuk tujuan pembinaan perpustakaan desa di kawasan pedalaman.

Tanpa menyatakan jumlah yang diperlukan, katanya, PNM memerlukan sekurang-kurangnya RM200,000 untuk sebuah perpustakaan desa meliputi kos pembinaan termasuk utiliti.

"Sekarang ada 1,089 perpustakaan desa di seluruh negara di bawah PNM namun ia masih tidak mencukupi untuk menjayakan misi kita melahirkan budaya membaca.

"Dengan kempen seperti ini ditambah pula adanya ikon yang sangat popular, pelajar-pelajar yang terlibat mendapat motivasi untuk membaca tetapi malang sekali bahan bacaan yang ada tidak mencukupi," katanya.

Tambahnya, kempen membaca menunjukkan petanda positif apabila jumlah ahli dan pinjaman buku di beberapa perpustakaan desa di seluruh negara meningkat sejak beberapa bulan lepas.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Selasa, 14 April 2009 pada 5:55:00 PTG SGT

    Guru KPLI...
    Bila ramai graduan menganggur skrg macam2 komen psl graduan lemah pelbagai bidang,kurang membaca dan sbgainye.Graduanlah golongan yg kita lihat selalu disalahkan.Sebenarnya...Negara Malaysia ni peluang kerja dah tak bnyk.So tiap2 tahun IPT keluarkan lebih dpd 150,000 graduan.Peluang kerja nya kurang.so mengaggurla si bijak-pandai universiti.Ingat saya lagi zaman tahun 1992. Majikan yg cari graduan diIPTA2.Bkn graduan yg cari majikan.so jgnlah kita selalu menyalahkan kelemahan graduan,tetapi KERAJAAN lah yg perlu menarik pelaburan asing lebih byk supaya dpt menambah peluang pekerjaan.Ataupun wujudkan satu GLC besar yg dpt menempatkan graduan2 yg mana produknya boleh di komersialkan di peringkat antarabangsa.

Add Comment
comment url