MSAM - Perjalanan PNB masih jauh
Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2009, acara tahunan pendidikan pelaburan anjuran Permodalan Nasional Bhd. (PNB) akhirnya melabuhkan tirainya selepas 10 hari diadakan di Padang Plaza Angsana, Johor Bahru.
Syabas buat PNB kerana sepanjang 10 tahun ini, MSAM dianjur tanpa gagal meskipun negara kini mengalami tempias daripada kemelesetan ekonomi global.
Ternyata, firma pelaburan itu memiliki keazaman cukup tinggi untuk menganjurkan MSAM - satu pameran dan pendidikan pelaburan terbesar yang memerlukan peruntukan cukup besar seperti mana hasratnya untuk memastikan seluruh rakyat Malaysia celik pelaburan.
Meskipun PNB tidak pernah mendedahkan peruntukan yang disediakan untuk MSAM, tetapi melihat kepada persediaannya, semua orang dapat mengagak pelaburan yang dikeluarkan bukan sedikit.
Dalam penganjuran MSAM, ruang pamerannya sahaja seluas kawasan sebesar tiga kali ganda padang bola. Ini belum lagi mengambilkira termasuk pengisian pameran yang menarik, hiasan dalaman dan program-program yang dianjurkan sepanjang minggu saham itu.
Bagaimanapun, MSAM 2009 di Johor Bahru hanya mencatatkan sejumlah 156,000 pengunjung atau 6.4 peratus daripada keseluruhan penduduk negeri Johor seramai 2.5 juta. Sambutannya biarpun tidak sehebat Program Jom Heboh milik TV3 tetapi jumlah itu sudah cukup baik kerana menyedari proses pendidikan pelaburan tidak boleh dilakukan secara paksaan tetapi sukarela seperti mana kesediaan orang ramai melabur.
Penganjuran acara itu juga menuntut masa dan kesabaran tinggi kerana bukan mudah untuk menyatukan semua peneraju dan kakitangan syarikat-syarikat besar milik PNB pada satu-satu masa semata-mata untuk faedah orang ramai.
Jadi tidak hairan, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkali-kali menyeru supaya rakyat Malaysia mengambil kesempatan mengunjungi MSAM kerana katanya itulah peluang keemasan untuk mempelajari ilmu pelaburan.
''MSAM adalah untuk rakyat Malaysia. Harapan kita terlalu besar kerana mahu rakyat Malaysia memahami konsep pelaburan iaitu pulangan dan risiko.
''Konsep ini penting untuk memastikan rakyat Malaysia tahu asas pelaburan dan dengan itu mereka tidak mudah ditipu dengan skim cepat kaya.
''Dan sekiranya mereka sudah memahami, semailah amalan menabung, tidak semestinya dengan PNB tetapi mana-mana institusi pelaburan yang sah,'' katanya beliau pada satu Seminar Perancangan Kewangan di ketika berlangsung MSAM 2009.
Hamad Kama Piah pernah berkata, walaupun usia MSAM sudah menjangkau 10 tahun tetapi sukar untuk mengatakan segala yang diberikan mencukupi. Tanggungjawab yang dipikul oleh PNB sangat besar, memastikan rakyat Malaysia memahami dan mendalami konsep pelaburan.
Oleh sebab itu, beliau membayangkan MSAM akan diteruskan sehingga matlamat asalnya dapat dicapai.
PNB sememangnya diakui mempunyai keupayaan untuk meneruskan MSAM tetapi seiring dengan usia dan pengalamannya, pengisian MSAM pada masa depan perlu lebih mantap dan dipastikan menjurus kepada pendidikan pelaburan yang memberi kesan terbaik .
Pendekatan yang bakal diambil hendaklah seiring dengan perubahan selera pelaburan rakyat Malaysia. Pengisian MSAM mungkin perlu ke arah program-program pelaburan dan bukan lagi menampilkan individu yang tiada kena mengena dengan pelaburan semata-mata untuk menarik pengunjung.
MSAM dilihat sebagai satu jenama yang sudah kukuh, tanpa selebriti atau individu tertentu yang berkaitan dengan pengisian ilmu pelaburan, ia tetap diterima dengan baik.Program-program perancangan kewangan atau usaha menggalakkan pelaburan perlu ditingkatkan lagi menjadi fokus utama PNB.
Malah, PNB perlu mengkaji semula kehadiran wakil-wakil insurans dan takaful yang menggunakan'pentas' MSAM untuk menjual produk-produk mereka sehingga menimbulkan keadaan tidak selesa dikalangan pengunjung yang lain hasrat mereka.
Kehadiran wakil-wakil jualan takaful dan insurans ini dikatakan merimaskan pengunjung yang mahu membaca story board' dan menimba pengetahuan di tapak MSAM. Tindak tanduk mereka itu, dilihat tidak membantu objektif MSAM.
Syarikat-syarikat yang menyertai MSAM juga perlu menampilkan kreativiti masing-masing supaya gerai pameran mereka tidak sepi. Setidak-tidaknya organisasi yang menyertai MSAM perlu memastikan kakitangan yang berpengalaman dan boleh berkomunikasi diletakkan di tempat pameran.
Lihat sahaja gerai pameran Bank Negara Malaysia, walaupun hanya hadir sebagai peserta jemputan tetapi kakitangannya mampu memanfaat sepenuhnya MSAM dengan pelbagai program pendidikan kewangan dengan cara yang mudah dan tersendiri. Jadi tidak hairanlah gerai pameran bank pusat itu yang kelihatan biasa-biasa itu bukan sahaja menjadi tumpuan para pelajar sekolah tetapi juga golongan dewasa.
Kelemahan-kelemahan itu wajar dilihat secara serius kerana MSAM masih mempunyai jalan yang panjang untuk dilalui . Dan sebagai satu acara yang unik, PNB perlu memastikan MSAM sebagai satu yang di pandang tinggi seperti mana tingginya kepercayaan rakyat Malaysia kepada PNB.