Muhyiddin ketuai jemaah menteri angkat sumpah


Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengetuai barisan menteri Kabinet dan timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta menyimpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, di sini.

Muhyiddin, 62, yang mengangkat sumpah sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran adalah antara 28 menteri dan 40 timbalan menteri yang dilantik menganggotai pentadbiran baru di 25 kementerian di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Acara penuh istiadat itu diadakan di Balairong Seri, Istana Negara pada jam 9.35 pagi. Najib mengangkat sumpah jawatan dan menyimpan rahsia di hadapan Tuanku Mizan pada 3 April lalu selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Muhyiddin kemudian menandatangani watikah pelantikan dengan disaksikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Hadir sama Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Abdullah dan seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

Selepas Muhyiddin, lima menteri kanan mengangkat sumpah jawatan dan menyimpan rahsia yang dipimpin Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Yang lain ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Kumpulan seterusnya didahului Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Mansor; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek; Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kewangan II, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Kong Cho Ha.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Menteri Luar, Datuk Anifah Aman; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url