Nik Aziz setuju konsep Satu Malaysia

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dengan konsep Satu Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ia merupakan satu 'gerakan Islam'.

Beliau berkata, konsep seumpama itu turut diperjuangkan oleh Pas melalui konsep Pas Untuk Semua yang ternyata mulai diterima meluas dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama.

''Sebab itulah kita buat Pas For All (Pas Untuk Semua), sudah lama konsep Satu Malaysia ini kita buat.. begitu juga DAP yang sebut Malaysian Malaysia," dakwa beliau.

Beliau menarik perhatian tiada sebuah negara di Asia yang dapat mengamalkan Islam secara tepat selain Malaysia dengan kelebihannya mempunyai pelbagai kaum.

Katanya lagi, titik pertemuan sebenar antara semua kaum ini hanyalah melalui Islam kerana kaum lain tidak dapat menerima ketuanan Melayu melainkan ketuanan Islam.

''Dengan cara ini, tidak akan ada mana-mana kaum rasa terpinggir. Orang bukan Islam tidak semestinya masuk Islam, asalkan dapat menerima Islam sudah cukup baik,'' katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penjelasan Najib mengenai konsep Satu Malaysia yang diumumkan sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri yang baru.

Najib hari ini dilaporkan berkata, konsep itu antara lain bererti rakyat berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dan keluar daripada bertindak dalam tembok etnik sekian lama di samping saling percaya dan menghormati.

Nik Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata, konsep Satu Malaysia suatu yang mengelirukan ketika UMNO yang mendokong pemerintahan, sentiasa menekankan konsep Ketuanan Melayu.

Menyentuh mengenai saranan Perdana Menteri supaya semua anggota politik bersikap rendah hati ketika bekerja, Nik Abdul Aziz berkata, ia sebahagian daripada tuntutan Islam.

Katanya, saranan itu wajar diikuti kerana ia mampu mengawal wakil-wakil rakyat daripada bersifat bongkah atau sombong, mengabaikan tugas serta kewajipan.

"Rendah diri, jangan ego. Rendah diri ini wajib, hina diri pula haram. Pendekatan kepada Islam kami sambut baik. Biar kita balik kepada Islam," katanya.

Tegas beliau, bersikap rendah diri pada dasarnya adalah satu aset kerana di dalam masyarakat, terutamanya masyarakat tradisional, amat cenderung menghargai orang yang memperlihatkan sifat merendah diri.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url