Pencalonan lebih terbuka dalam Muzik-Muzik 24

Di awal kemunculan rancangan Muzik-Muzik suatu ketika dahulu, semua genre lagu dipertandingkan setiap bulan tanpa mengkategorikan mengikut genre masing-masing.

Lagu yang berjaya mendapat tempat pertama di dalam carta rancangan itu setiap bulan akan dipertandingkan ke Juara Lagu.

Seterusnya, mengikut perkembangan semasa, rancangan Muzik-Muzik menukar formatnya dengan mengkategorikan lagu-lagu yang bertanding kepada tiga kategori iaitu Etnik Kreatif, Balada dan Pop Rock.

Biarpun telah mengalami banyak perubahan sejak diperkenalkan, program ini terus memberi sumbangan apabila berjaya mencetuskan satu evolusi dalam industri seni muzik.

Perubahan itu juga sekali gus mengangkat martabat pengkarya-pengkarya seni muzik tanah air melalui penganjuran berprestij Anugerah Juara Lagu setiap tahun.

Kini, setelah 24 tahun menyerikan persada muzik tanah air dan setelah melalui perubahan, carta muzik paling popular itu muncul dengan format baru yang dicampur dengan format yang lama bagi memantapkan dan memperbaiki lagi format program ini.

Musim baru Muzik-Muzik yang mula bersiaran 4 April lalu memperlihatkan perubahan format yang menyaksikan pencalonan lagu untuk menyertai carta Muzik-Muzik tidak lagi memfokuskan kepada kategori seperti tahun-tahun sebelum ini.

Menurut Pengurus Produksi Hiburan, Primeworks Studio Sdn. Bhd., Fadzliniza Zakaria, lagu-lagu yang dipertandingkan lebih terbuka dan tidak terbatas kepada tiga kategori utama iaitu kategori Etnik Kreatif, Balada dan Pop Rock seperti yang dipertandingkan sebelum ini.

"Semenjak dahulu, kami sentiasa terbuka dengan cadangan dan pendapat serta kehendak dalam industri muzik itu sendiri bagi meningkatkan lagi mutu program Muzik-Muzik.

"Sebab itu jugalah Muzik-Muzik 24 tampil dengan format baru iaitu pencalonan lagu lebih terbuka dan ini bermakna lagu-lagu yang dicalonkan terbuka kepada semua kategori lagu," katanya.

Kata Fadzliniza, rasional pencalonan terbuka yang dibuat TV3 juga ialah untuk memberi peluang kepada penggiat-penggiat seni pemuzik bebas berkarya dan hasil ciptaan mereka tidak terbatas kepada tiga kategori utama ini sahaja.

"Oleh itu, lagu-lagu yang bakal dicipta lebih luas genrenya dan ini sekali gus memperkayakan lagi hasil seni ciptaan pengkarya tempatan," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagaimanapun, musim baru Muzik - Muzik masih mengekalkan Cheryl Samad yang bergandingan dengan Faizal Ismail sebagai pengacara dengan penampilan istimewa penyanyi Ezlynn sebagai pengacara bersama setiap bulan.

"Kami merasakan pemilihan tiga pengacara sekali gus dapat mewarnai lagi program Muzik-Muzik.

"Ezlynn dipilih kerana pernah mengacara program Mentor sebelum ini dan dia memang sudah ada pengalaman yang banyak sebagai pengacara," ujar Fadzliniza mengenai pemilihan Ezlynn sebagai pengacara jemputan.

Selain itu, penonton kini berpeluang mengundi lagu-lagu kegemaran mereka melalui dua cara iaitu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan juga dengan melayari www.tv3.com.my berbanding hanya melalui SMS sahaja sebelum ini.

Muzik-Muzik 24 juga turut menampilkan tiga segmen yang berbentuk informasi untuk pengetahuan penonton iaitu segmen Buzz, Trivia dan Candid yang diacarakan oleh Adzri Faiz Adzlan (Faiz).

Segmen Buzz memaparkan apa yang berlaku dalam industri tanah air dan segmen Trivia pula memfokuskan rentetan perjalanan hidup seorang artis dari awal pembabitannya dalam industri muzik sehinggalah perkembangan terkini.

Sementara segmen Candid mendekati peminat-peminat dan melihat mereka membuat aksi dan gelagat seperti artis-artis kesayangan mereka

Setiap minggu, Muzik-Muzik 24 akan menyaksikan dua hingga empat pencalonan bertanding untuk mendapat tempat dalam carta 20 lagu-lagu yang tersenarai.

Jika lagu-lagu yang dicalonkan mendapat undian yang tinggi, lagu-lagu tersebut akan masuk ke dalam carta secara automatik.

Selain paparan carta dan informasi terkini, program ini juga turut dimeriahkan dengan artis jemputan setiap minggu.

Muzik-Muzik 24 diadakan rakamannya pada setiap hari Khamis pukul 8 malam di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor dan disiarkan pada setiap hari Sabtu pukul 5 petang.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url