Cabaran pemandu LRT wanita


Di Malaysia, wanita tidak lagi dianggap pilihan terakhir untuk memenuhi jawatan yang dahulunya didominasi kaum lelaki, lebih-lebih lagi kerjaya memandu kenderaan berat seperti treler, lori, bas mahupun tren Transit Aliran Ringan (LRT).

Ini berikutan penerimaan positif di kalangan kaum hawa sendiri di samping keluarga, rakan-rakan dan masyarakat umum terhadap kerjaya lasak serta mencabar itu.

Menyedari hakikat itu, sejak tahun 1996, Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL) membuka laluan kepada golongan wanita untuk menceburi kerjaya sebagai pemandu LRT atau dikenali sebagai Pegawai Perkhidmatan Penumpang (Customer Transit Officer atau CTO).

Kejayaan CTO wanita pertama, Sherliza Zainal Abidin ketika itu memberi inspirasi kepada ramai wanita muda lain yang masih tercari-cari kerjaya paling sesuai dengan jiwa mereka.

Hari ini, 13 tahun kemudian, empat wanita muda meneruskan hasrat RapidKL Aliran Ampang (dahulunya Sistem Transit Aliran Ringan atau STAR) untuk melahirkan lebih ramai CTO wanita berkelayakan dan berpengalaman.

Pun begitu mereka terpaksa juga berdepan persepsi negatif segelintir masyarakat dan rakan-rakan sekerja yang masih skeptikal terhadap semangat dan kemampuan wanita untuk bersaing dalam bidang tersebut.

"Ramai tak yakin kami mampu melepasi kursus latihan selama tiga bulan kerana banyak libatkan ujian fizikal termasuk mengangkat tanjakan kecemasan seberat 33 kilogram.

"Tapi kami berjaya sedangkan ramai pelatih lelaki lain tak mampu melakukannya. Ini kerana, kita perlu mengikut disiplin dan kaedah betul yang diajar, bukan setakat bergantung kepada kekuatan fizikal sahaja," kata Norazlin Md. Zan, 26.

Norazlin merupakan seorang daripada dua pelatih CTO wanita yang sedang mengikuti kursus latihan pemandu tren bersama 15 pelatih lelaki lain.

Baginya, banyak lagi perkara yang perlu dikuasai sebelum dia layak bergelar CTO dan memandu lebih 1,200 penumpang menaiki LRT sepanjang 84 meter itu.

Seorang lagi pelatih, Rosfazlina Mohd. Fadzil, 25, pula tidak menganggap kerjaya itu sebagai kelas kedua sebaliknya merupakan bidang yang agak rumit dan memerlukan kemahiran berinteraksi dengan orang ramai.

Rosfazlina yang berkelulusan Sarjana Perhubungan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga mendapat sokongan keluarga atas keputusannya menceburi bidang tersebut.

"Malah, kekuatan mental dan stamina juga penting kerana perlu memulakan syif seawal 4.30 pagi dan pulang selewat-lewatnya sekitar 2.30 pagi (syif sembilan jam).

Sementara itu, CTO senior, Sutina Johari, 24, berkata, dia perlu menunjukkan contoh positif kepada rakan-rakan lain terutama dari segi pergaulan dan disiplin kerja.

"Kalau ikut hati, memang tak yakin tapi lama-lama dah ikuti kursus dan faham teknik pemanduan (tren) yang betul barulah berani.

"Yang penting, mesti cepat belajar, rajin dan tidak putus asa serta sentiasa bertanya agar benar-benar faham mengendalikan tren," katanya yang kini berehat daripada tugas CTO kerana sedang sarat mengandung anak pertama.

Sutina bercadang untuk meletakkan bayinya di pusat penjagaan kanak-kanak khusus untuk kakitangan RapidKL, di Ampang, sekembalinya dia daripada cuti bersalin kelak.

Dengan cara itu, katanya, dia masih dapat menjalankan tugas harian seperti biasa pada masa yang sama menyusu dan menjenguk bayinya sekerap mungkin.

Menurut Nur Farhana Rahmat, 27, pula, CTO juga berperanan sebagai pemantau bagi memastikan keselamatan para penumpang sepanjang perjalanan menaiki tren Aliran Ampang.

Bagaimanapun, katanya, ramai penumpang masih berdegil dan melanggar peraturan mudah seperti bersandar serta menahan pintu tren.

"Lebih-lebih lagi apabila mendengar suara CTO wanita membuat pengumuman di interkom, ada yang memandang ringan dan tidak peduli amaran kami," ujarnya.

Tambah Farhana, selain terpaksa berdepan penumpang sedemikian, ada segelintir lagi yang memuji pilihan kerjayanya (termasuk keluarga dan rakan-rakan) kerana dianggap mencabar dan menyeronokkan.

CTO LRT perlu disiplin

Mengendalikan pengangkutan berat seperti tren Transit Aliran Ringan (LRT) memerlukan ketahanan mental dan fizikal di samping kebolehan mengendalikan para penumpang dalam situasi cemas.

Pada masa sama, pemandu atau Pegawai Transit Pelanggan (CTO) harus memberi sepenuh tumpuan terhadap kawalan pemanduan agar para penumpang berasa selamat dan selesa sepanjang perjalanan.

Justeru RapidKL tidak meletakkan kriteria terlalu ketat kepada calon pemohon jawatan tersebut, sebaliknya memastikan mereka benar-benar minat, berdisiplin dan bersedia memikul tanggung jawab tersebut.

Ciri-ciri kelayakan memohon sebagai Pegawai Transit Pelanggan (CTO):

-Kelayakan sijil minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

-Tidak buta warna

-Sihat fizikal dan mental

-Mempunyai lesen kenderaan yang sah

-Mempunyai kenderaan

-Boleh bekerja syif

-Penampilan yang kemas

-Fasih berbahasa Inggeris

Calon kemudiannya perlu mengikuti kursus latihan pemandu tren selama tiga bulan sebelum dinilai kemampuan mengendalikan tren.

Penilaian membabitkan pemanduan di depot dan landasan utama, menyelesaikan masalah tren, penyambungan tren (coupling) serta langkah pemindahan kecemasan oleh Penyelia Operasi masing-masing.

Setelah lulus penilaian dan didapati layak menjadi CTO, para pelatih akan diberi kebenaran memulakan tugas memandu tren dan membawa para penumpang.

Sementara itu, Eksekutif Bahagian Operasi, Adlan Ezanee Noordin berkata, CTO bertanggung jawab sepenuhnya terhadap pengendalian tren dan had laju ketika melalui selekoh atau permukaan mendaki serta menurun serta kawalan pintu tidak automatik seperti tren Aliran Kelana Jaya (dulu PutraLRT).

"Kerjasama penumpang amat diperlukan untuk mengelak kejadian tidak diingini seperti jangan berlari di dalam tren, bersandar di pintu atau tolak-menolak ketika memasuki tren," katanya.

Pada masa yang sama, para penumpang juga perlu memainkan peranan masing-masing bagi membantu memastikan keselamatan penumpang lain dalam tren.

Panduan keselamatan LRT

-Jangan turun ke kawasan landasan berelektrik.

-Sentiasa berdiri di belakang garisan kuning di platform.

-Gunakan pemegang tangan semasa berada di atas tren.

-Dilarang bersandar di pintu Tren.

-Jangan memasuki tren semasa amaran (buzzer) "pintu sedang tutup" berbunyi.

-Jika berlaku kemalangan, bertenang dan ikuti arahan dari kakitangan Rapid KL.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url