Ramli menang rumah RM350,000 e-Peraduan MSAM 2009
Seorang pengusaha pusat cuci kereta, Ramli Mohd. Said, 59, tidak menyangka kunjungan ke pameran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2009 membawa tuah.
Ini kerana dia diumumkan sebagai pemenang utama e-peraduan yang diadakan dengan hadiah sebuah rumah berkembar dua tingkat bernilai RM350,000.
Menurutnya, kunjungan ke MSAM yang bertujuan mendapat maklumat mengenai pelbagai peluang pelaburan yang disediakan Permodalan Nasional Berhad (PNB), rupa-rupanya memberi ‘pulangan lumayan’.
“Saya tidak sangka diumumkan sebagai pemenang memandangkan hanya datang sekali sahaja ke pameran itu. Ketika diberi borang peraduan, saya tidak berharap untuk mendapatkan hadiah itu.
“Saya datang pada Sabtu lalu untuk mendapatkan maklumat mengenai insurans dan pelaburan yang boleh diperoleh sepanjang penganjuran MSAM ini,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman sebagai pemenang hadiah utama pada Majlis Penutupan MSAM 2009 di Padang Plaza Angsana di sini hari ini.
Replika kunci rumah tersebut disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ramli memberitahu, dia dimaklumkan memenangi hadiah tersebut malam tadi dan pada mulanya menyangka ada orang yang cuba untuk menipu.
“Banyak berita kita dengar pasal gores dan menang, itu yang buat saya sukar untuk percaya saya menang hadiah rumah bernilai RM350,000.
“Namun selepas dijelaskan yang saya perlu datang ke majlis ini hari ini, baru saya percaya,” katanya yang berasal dari Taman Perling di sini.
Sementara itu, seorang guru M. Fauzi Arshad (gambar), 29, yang memenangi motosikal berkuasa tinggi Nazabike bernilai RM25,000 berkata, dia tidak dapat melelapkan mata selepas diberitahu mengenai kemenangan itu malam tadi.
Guru yang mengajar bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Melayu, Gelang Patah itu memberitahu, dia begitu teruja dengan motosikal itu kerana sebelum ini pernah cuba bertanyakan harga motosikal berkenaan.
“Dulu saya tanya harga, tapi hanya sekadar tanya kerana rasa belum mampu untuk memiliki motosikal itu.
“Saya bercadang untuk menggunakan motosikal ini dan akan mengambil lesen motosikal berkuasa tinggi selepas ini,” katanya yang memang minat menunggang motosikal.
Fauzi memberitahu, dia berkunjung ke MSAM 2009 untuk mendapatkan maklumat mengenai pinjaman dan lain-lain.
“Ketika isi borang peraduan, ada juga rasa berharap untuk menang kerana hadiah yang ditawarkan agak lumayan,” katanya.
156,000 kunjungi MSAM 2009
Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2009 yang dianjurkan di Padang Plaza Angsana hanya mengumpul pengunjung sebanyak 156,000 orang sahaja.
Jumlah yang dicatatkan itu kurang daripada jangkaan awal seramai 250,000 orang.
Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pihaknya berterima kasih dengan sambutan baik yang diberikan oleh pengunjung sepanjang 10 hari penganjuran MSAM kali ke-10 itu.
''Saya menaruh harapan tinggi dengan penganjuran MSAM ini akan meningkatkan lagi keyakinan rakyat Johor untuk terus melabur dengan PNB menerusi unit-unit amanahnya,'' kata beliau ketika berucap pada majlis penutup MSAM di sini hari ini.
Penutupan MSAM 2009 itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hadir sama ialah isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman. Turut serta Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman serta Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
MSAM dilancarkan pada 2000 di Kuala Lumpur, Kelantan (2001), Kedah (2002), Kuala Lumpur (2003), Pulau Pinang (2004), Negeri Sembilan (2005), Terengganu (2006), Pahang (2007) dan Melaka (2008) dengan jumlah pengunjung sebanyak 1.54 juta.
- UTUSAN