Belia Kelantan malas?

Enam daripada 10 belia di negeri ini yang berusia antara 18 sehingga 25 tahun, malas untuk meneruskan pelajaran selepas tamat persekolahan dan tidak bersungguhsungguh mencari pendapatan menyara diri serta keluarga masing-masing.

Pengerusi Penaja Gerakan Belia 4B Kelantan, Anuar Sapian berkata, fakta tersebut diperoleh melalui hasil kajian gerakan berkenaan terhadap golongan belia di negeri ini.

Katanya, perkembangan itu amat membimbangkan kerana ia mungkin menyebabkan golongan tersebut terjebak dalam aktiviti tidak berfaedah serta menyalahi undang-undang.

Beliau memberitahu, kebanyakan belia terbabit hanya berada dalam sektor pekerjaan dalam tempoh singkat iaitu di antara tiga sehingga empat bulan sebelum berhenti.

"Bagaimanapun kita tidak nafikan ada segelintir daripada mereka sanggup melakukan apa saja kerja yang boleh mendatangkan hasil dan pendapatan.

"Kita perlu membuat kajian yang lebih terperinci untuk mengenal pasti punca sebenar mereka bertindak begitu," katanya di Kota Bharu.

Anuar berkata, kajian tersebut dibuat berdasarkan tinjauan dan temuramah terhadap belia yang dilakukan oleh pemimpin gerakan berkenaan di peringkat kawasan.

Katanya, jika dibiarkan ia akan merosakkan persediaan mereka untuk menempuh alam dewasa dan meninggalkan generasi pelapis kepimpinan negara yang tidak berpendidikan.

"Saya melihat ramai remaja kampung dari setiap pelosok negeri tidak diberi perhatian sewajarnya, mereka sebenarnya perlu didorong.

"Kita menggesa kerajaan negeri dan agensi Kerajaan Pusat supaya memberikan penekanan serta mencari kaedah untuk menangani masalah ini,'' katanya.

Menurutnya, Gerakan Belia 4B akan mengadakan aktiviti bagi mendekatkan diri dengan golongan ini bagi mencari punca masalah itu dan menyelesaikannya.

Dalam pada itu, katanya, ibu bapa juga perlu memberi perhatian lebih kepada anak-anak supaya dapat membimbing mereka mencari peluang menyambung pelajaran atau pekerjaan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url