Rosyam mencari kekasih untuk program Pilih Kasih


Tidak salah kalau dikatakan penonton tempatan sudah 'kenyang' disogok dengan pelbagai program realiti televisyen berasaskan bidang nyanyian.

Boleh dikatakan setiap saluran televisyen di Malaysia mempunyai program realitinya sendiri. Mungkin ada penonton yang sudah naik muak dengan konsepnya sehinggakan ada segelintir penyanyi yang lahir daripada program sebegini tidak mampu pergi jauh.

Meskipun begitu, jika kena dengan gaya dan corak persembahan program realiti pasti mendapat sambutan. Mungkin itulah yang bermain di benak penerbit dan pelakon terkenal Rosyam Nor apabila dia nekad untuk menerbitkan sebuah program realiti berjudul Pilih Kasih.

Program realiti yang diterbitkan oleh Suhan Movies Sdn. Bhd., itu bakal melahirkan pelakon berbakat apabila pemenang program akan diserap untuk melakonkan watak utama dalam filem pertamanya yang berjudul Kekasih.

Menurut Rosyam yang juga Pengarah Urusan Suhan Movies, tujuannya menerbitkan program realiti ini bukannya untuk mengaut keuntungan tetapi lebih kepada memartabatkan industri seni lakonan tempatan.

"Saya sudah berada dalam bidang lakonan hampir 25 tahun, dan hari ini saya lihat kita kurang pelakon pelapis, buka televisyen dan tengok filem, balik-balik muka pelakon yang sama sahaja.

"Malaysia bukan tiada bakat, tetapi mereka yang mempunyai bakat tidak tahu ke mana hala tuju yang harus dibawa untuk menjadi seorang pelakon," ujarnya.

Kata Rosyam lagi, idea untuk menerbitkan program ini timbul sejak setahun yang lalu apabila dia merancang untuk menerbitkan filem Kekasih.

Namun, setelah membuat penelitian dan menyedari sambutan suram peminat terhadap filem tempatan, dia dan teman rapat yang juga seorang pengarah berkaliber, Bade Hj. Azmi mula mendapat idea untuk menghasilkan program realiti ini.

"Sebenarnya, selain mencari bakat baru, secara tidak langsung ia telah memberi publisiti yang meluas untuk filem Kekasih yang akan diarah oleh Bade.

"Kita bukan mencari seorang pelakon sahaja, tetapi lima pelakon untuk lima watak utama filem ini. Skripnya pula akan dibuat sejurus program ini berakhir untuk melihat kesesuaian pelakon yang terpilih," terangnya.

Sama seperti program realiti yang lain, program ini turut mempunyai sesi penyingkiran peserta berdasarkan undian pesanan khidmat ringkas (SMS) tetapi uniknya, keputusan mutlak berada di tangan Rosyam sendiri.

Beritahunya, seramai 20 orang peserta yang akan dipilih menerusi sesi uji bakat yang akan diadakan di seluruh negara, dan setiap minggu dua peserta yang mempunyai markah terendah akan ditentukan nasib oleh Rosyam.

"Saya bukannya nak membelakangi penonton tetapi dengan cara itu saya tahu cita rasa penonton tetapi saya pula kena nilai daripada segi bakat. Antara dua peserta yang tercorot, saya hanya pilih seorang untuk disingkirkan.

"Tetapi itu bukan bermakna harapan mereka berakhir, kesemua 20 peserta yang terpilih itu walaupun tidak menang akan diserap dalam filem atau drama terbitan saya dan juga mana-mana produksi yang akan menyiarkan drama mereka di RTM.

"Saya tidak mahu bakat yang mereka miliki terbiar begitu sahaja. Mereka yang terpilih akan diajar asas lakonan oleh mereka yang mempunyai pengalaman dan didedahkan dengan dunia lakonan yang sebenar oleh pengarah dan pelakon tempatan.

"Jadi melalui cara itu peserta dan penonton boleh lihat sendiri betapa sukarnya untuk menjadi seorang pelakon. Kalau tidak digunakan bakat mereka itu satu pembaziran," luahnya ketika ditemui di majlis pelancaran Pilih Kasih baru-baru ini di Palace Of The Golden Horses, Seri Kembangan yang turut dihadiri Ketua Penyiaran RTM, Datuk Ibrahim Yahya.

Tambahnya, program ini umpama sebuah akademi lakonan kerana setiap peserta akan didedahkan dengan rutin sebenar seorang pelakon apabila mereka akan menjalani penggambaran setiap minggu di bawah pengawasan pengarah, Along Kamaruddin dan Amy Maziah.

Peserta juga akan didedahkan dengan kelas lakonan di bawah beberapa orang tenaga pengajar termasuk Erma Fatima yang akan mengendalikan kelas drama muzikal dan di sini memerlukan peserta yang menghadiri uji bakat harus mempunyai bakat lakonan dan nyanyian.

Pilih Kasih juga akan memaparkan aktiviti harian peserta menerusi Jurnal Harian yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat sepanjang 12 minggu selama 30 minit.

Bagi Tayangan Perdana yang ditayangkan selama 90 minit akan menemui penonton pada setiap hujung minggu menyaksikan peserta mempertaruhkan bakat untuk mengekalkan kedudukan menerusi tiga tugasan iaitu filem pendek, teater muzikal dan lakonan menolong.

Memantapkan lagi program ini, Raja Azura dan Reza menjadi pengacara untuk Tayangan Perdana dan bakat baru, Pasha Abdul Rahim akan mengendalikan Jurnal Harian.

Program yang mendapat tajaan Telekom Malaysia ini akan bersiaran di TV2 bermula pada 11 April, 8.30 malam (uji bakat), 25 Mei, 4.30 petang (Jurnal Harian), dan Tayangan Perdana yang disiarkan secara langsung bermula 6 Jun, pukul 8.30 malam.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url