Sistem grid elektrik Amerika Syarikat digodam
Memetik sumber perisikan dan kenyataan beberapa pegawai keselamatan dalam negeri, akhbar Wall Street Journal melaporkan pencerobohan itu berlaku berulang kali tahun lalu tanpa sebarang gangguan ke atas sistem grid.
"Pihak China cuba memetakan infrastruktur kita (AS) seperti sistem grid elektrik, begitu juga ejen Rusia," kata akhbar tersebut yang memetik kenyataan seorang ejen perisik kanan.
Menurutnya, pegawai-pegawai AS bimbang virus diletakkan dalam sistem grid elektrik itu dan akan digunakan untuk mencetuskan gangguan ketika berlaku peperangan atau krisis.
Keselamatan siber dilihat sebagai kelemahan utama dalam sistem pertahanan negara oleh kerajaan AS di mana Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Janet Napolitano menamakannya sebagai antara 12 aspek yang perlu diperbaiki selepas beliau mengambil alih jawatan tersebut pada Januari lepas. Di AS, kebimbangan penggodam dapat menceroboh sistem pengendalian kemudahan infrastruktur yang kritikal kepada negara kini semakin meningkat.
Pegawai-pegawai negara kuasa besar itu khuatir sistem itu seperti janakuasa elektrik dapat dikawal dari jarak jauh oleh anasir asing sekali gus mencetuskan huru-hara di AS.
- AFP