TM perkenal pelan RM10

Telekom Malaysia Berhad (TM) baru-baru ini memperkenalkan pakej terbarunya, Pelan Suara RM10 - pelan panggilan semua-dalam-satu khusus untuk para pelanggan Streamyx.

Pelan Suara RM10 Streamyx adalah ciri nilai tambahan kepada semua pakej Streamyx TM.

Ia boleh dilanggani oleh semua pelanggan Streamyx yang baru dan sedia ada di seluruh negara dengan tempoh langganan minimum untuk pakej ini adalah enam bulan.

Dengan hanya tambahan sebanyak RM10 sebulan, pelanggan Streamyx boleh menikmati ciri-ciri Pelan Suara RM10 Streamyx seperti di bawah:

Membuat panggilan tempatan dan nasional secara percuma dan tanpa had ke talian tetap TM yang lain.

Panggilan ke mana-mana talian mudah alih dan talian tetap yang lain akan dicaj kadar rata 30 sen seminit sahaja.

Sebagai bonus tambahan, TM akan memberi sebuah telefon Dect tanpa wayar secara percuma dengan ciri-ciri tambahan istimewa yang boleh didapati di mana-mana cawangan TMpoint di seluruh negara kepada setiap pelanggan.

Menurut Naib Presiden Eksekutif Pengguna, Kumpulan TM, Jeremy Kung, pakej terkini TM ini mempunyai objektif untuk menggalakkan lebih ramai pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan talian tetap mereka di rumah.

''Dengan menawarkan panggilan percuma ke nombor talian tetap TM tempatan dan nasional, serta tawaran 30 sen seminit untuk panggilan ke telefon bimbit dan talian tetap bukan TM, kami ingin menggalakkan pelanggan Streamyx menggunakan perkhidmatan talian tetap mereka yang sedia ada.

''Dengan rangkaian telekomunikasi sedia ada di seluruh Malaysia, perkhidmatan talian tetap TM adalah dijamin dan boleh dipercayai,'' katanya.

Beliau menambah, dengan kadar panggilan yang paling rendah, pengguna perkhidmatan talian tetap Streamyx juga akan menikmati manfaat yang lain seperti transmisi suara yang jelas, liputan yang lebih luas, terutamanya di kawasan pedalaman dan yang paling penting, kadar panggilan rendah.

Melihat kepada kecenderungan para pengguna untuk mengawal perbelanjaan pada masa-masa seperti ini, perkhidmatan telekomunikasi adalah satu aspek di mana para pengguna inginkan nilai maksimum untuk setiap ringgit yang dibelanjakan.

Dengan menawarkan panggilan tempatan dan nasional secara percuma dan tanpa had, TM menggalakkan pengguna untuk menjimatkan bil telefon bimbit dengan menggunakan perkhidmatan talian tetap yang sedia ada di rumah tanpa menanggung sebarang kos tambahan.

Selain kelebihan membuat panggilan percuma dan murah, pakej Suara RM10 Streamyx TM yang baru itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan syarikat terbabit untuk menawarkan pelbagai pakej perkhidmatan suara dan Internet yang kos efektif untuk pelanggan kami.

''Sekarang, pelanggan Streamyx kami boleh terus berhubung dengan rakan-rakan dan ahli keluarga tanpa risau tentang peningkatan bil telefon," katanya.

Promosi pakej panggilan Suara RM10 Streamyx TM ditawarkan dari 1 April 2009 sehingga 30 Jun ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai pelan panggilan Suara RM10 Streamyx atau produk dan promosi TM yang terkini, layari www.tm.com.my atau, hubungi Pusat Panggilan TM di 100 atau kunjungi mana-mana cawangan TMpoint di seluruh negara.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url