TV9 diminati kanak-kanak
Walaupun baru tiga tahun bersiaran, tetapi TV9 berjaya menarik ramai penonton dengan rancangan-rancangan yang mereka siarkan terutamanya untuk golongan kanak-kanak.
Pencapaian itu dapat dilihat apabila TV9 meraih 17 peratus syer penontonan di Malaysia yang membabitkan rancangan kanak-kanak mengalahkan stesen-stesen televisyen (TV) lain termasuklah TV3.
Ketua Pegawai Eksekutif TV9, Bukhari Che Muda berkata, statistik itu secara langsung meletakkan stesen TV itu sebagai yang paling berjaya mencuri tumpuan golongan penonton kanak-kanak.
"Slot rancangan kanak-kanak yang kami siarkan setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari mempunyai ramai penonton dan yang kedua paling ramai ditonton di negara ini.
"Sasaran kami ialah kanak-kanak berusia empat tahun hingga 14 tahun," katanya ketika ditemui di Sri Pentas, Bandar Utama, Damansara, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan, antara faktor yang menarik golongan kanak-kanak menonton TV9 kerana terdapatnya banyak elemen pendidikan dan hiburan yang diselitkan di dalamnya.
Selain menyiarkan rancangan-rancangan yang dibeli dari luar negara, TV9 juga banyak menarik perhatian para penonton dengan rancangan-rancangan terbitannya sendiri.
"Pada peringkat awal dulu kami banyak menyiarkan rancangan kartun atau anime yang dialih ke dalam bahasa Melayu sama ada dari Jepun atau Barat.
"Contohnya rancangan-rancangan daripada saluran TV Nickelodeon yang mempunyai banyak elemen nyanyian dan pendidikan di dalamnya yang diminati kanak-kanak," ujarnya.
Menurut Bukhari, kebanyakan rancangan yang disiarkan menerusi TV9 juga merupakan rancangan terbitan dalaman stesen TV itu termasuklah yang disasarkan untuk golongan remaja dan dewasa.
Katanya, hampir 60 peratus rancangan yang disiarkan di TV9 merupakan terbitan stesen TV itu di mana ia mensasarkan kepada beberapa peringkat umur para penonton.
"Antara sasaran kami ialah golongan remaja yang berusia 15 hingga 24 tahun dan juga golongan penonton muda yang berusia daripada 25 hingga 35 tahun mengikut kesesuaian mereka.
"Untuk golongan remaja, kami ada rancangan seperti Galaksi dan Studio Nabil yang banyak memaparkan tentang dunia hiburan. Sementara Apa Ke Halnya yang dihoskan oleh Mr. Os pula berkaitan isu-isu semasa.
"Apa Ke Halnya, misalnya mampu untuk merapatkan golongan penonton dengan isu-isu semasa di mana ia membabitkan semua pihak tanpa mengira status atau latar seseorang," katanya.
Selain itu, tambah Bukhari, rancangan-rancangan terbitan TV9 yang lain berjudul Chopp, Hip TV, Pondok-Pondok, Hartamania, Siapa Pintar, Kes Syariah, Semanis Kurma, Nasi Lemak Kopi O, Hujjah dan Halaqah.
Tambah Bukhari, jika dulu TV9 lebih memfokuskan penonton di luar bandar, tetapi kini stesen TV di bawah naungan Media Prima Berhad itu semakin relevan apabila ia semakin ramai ditonton di kawasan-kawasan bandar.
Bagaimanapun tambah Bukhari, senario itu tetap tidak menghalang TV9 meneruskan matlamatnya dalam menyajikan rancangan-rancangan yang bukan setakat dekat di hati para penonton luar bandar tetapi juga kawasan bandar.
"Mana-mana stesen TV pun memang menyasarkan jumlah penonton yang ramai tidak kiralah di kawasan mana sekali pun. Tetapi bagi TV9 kami masih lagi dengan matlamat kami iaitu fokus pada penonton di luar bandar.
"Walaupun begitu, kami akan pastikan rancangan-rancangan yang kami siarkan mestilah bersifat kontemporari tetapi tidak memisahkan unsur-unsur yang ada dalam jiwa para penonton Melayu," jelasnya.
Jika di awal penubuhannya dulu TV9 muncul dengan motonya, 'Dekat Di Hati' tetapi selepas semakin berjaya menambat hati para penonton, stesen itu tampil dengan moto barunya, 'Di hatiku.'
Sempena ulang tahun ketiga TV9, stesen TV itu akan mengadakan suatu konsert khas buat para penontonnya pada 25 April ini di Lumut, Perak yang juga diadakan serentak dengan program Jom Heboh anjuran Media Prima Berhad.
Pengurus Penjenamaan Kumpulan, Komunikasi Koporat & Pembangunan Perniagaan TV9, Noor Amy Ismail pula berkata, konsert itu akan membawakan ramai artis terkenal tanah air.
Antara yang dijangka akan mengadakan persembahan pada Konsert TV9 Di hatiku itu ialah Ramli Sarip, Wada, Hakim (Idola Kecil), Fabulous Cat, Elyana, Aizat, Hujan, Ikhwan, Nabil dan Nadia.
Malah, kata Amy, TV9 juga akan menayangkan rancangan khas iaitu Upin & Ipin Marathon yang akan disiarkan pada 25 April ini selama satu jam 30 minit yang menghimpunkan siri-siri kartun itu yang pernah disiarkan sebelum ini.
"Setiap episod akan mengandungi durasi tayangan tujuh minit di mana kami akan menayangkan kesemua episod itu dalam masa satu hari. Upin dan Ipin merupakan antara rancangan kartun yang mendapat sambutan hebat di TV9," jelasnya.
- UTUSAN