Muzik itu harus selagi tidak melalaikan
Islam tidak menghalang umatnya daripada berhibur. Malahan sejarah Islam di zaman Nabi S.A.W membuktikan bahawa ada acara yang diadakan untuk menghiburkan hati.
Namun demikian Islam tidak memberi kebebasan untuk manusia melayan hiburan sesuka hati mereka tanpa ada batasannya.
Jika kita perhatikan dalam Islam, apa sahaja yang dilakukan oleh manusia mestilah ada batasannya supaya tidak tersasar dari tujuan sesuatu perkara yang diharuskan. Hukum asal berhibur adalah harus.
Muzik itu sendiri tidak haram tetapi cara manusia melayan muzik itu yang menjadi punca kenapa ia diharamkan. Tiada nas yang qatie, iaitu dalil yang secara muktamad menyebut akan pengharaman muzik.
Saya kira tiada siapa yang dapat lari dari mendengar muzik, contohnya ketika membeli belah di pusat-pusat jualan, pasti akan ada kedengaran muzik yang dimainkan, begitu juga ketika menaiki pesawat juga akan kedengaran muzik.
Kalau mendengar muzik itu haram, maka kesemua orang yang menaiki pesawat akan berdosa, dan begitu juga dengan mereka yang bertandang ke pusat-pusat membeli akan berdosa kerana mendengar muzik. Dosa ini berpunca dari haram. Muzik haram maka mendengarnya berdosa?.
Sebenarnya, seperti yang dijelaskan bahawa mendengar dan memainkan alat muzik tidak haram.
Alat-alat muzik diharamkan oleh segolongan ulama kerana sifat muzik itu sendiri melalaikan si pendengar.
Dan adakalanya asyik berhibur sehingga lupa tanggungjawab sebagai seorang hamba yang mempunyai tanggungjawab fardu yang wajib dilaksanakan.
Alat-alat muzik yang bertali pernah digunakan di zaman sahabat dan tabien untuk berhibur. Bila ditanyakan perihal alat muzik bertali ada yang menjawab, “ia untuk mengimbangi akal”.
Muzik dan hiburan tidak ubah seperti gula atau garam dalam makanan kalau terlebih rosaklah makan atau minuman itu. Muzik yang diharamkan oleh ulama secara sepakat ialah muzik yang melibatkan campur gaul lelaki dan perempuan tanpa batasan dan disertakan dengan tarian dan minuman keras.
Sekiranya bermain muzik itu hanya sekadar hobi di waktu lapang, ia harus. Sekiranya muzik itu dimainkan bagi menghiburkan orang sehingga mereka gagal dari mengingati Allah SWT dan perintah dan mengheret untuk melakukan tegahan-Nya maka perbuatan main muzik itu hukumnya haram.
Persoalan ini telah mendapat perhatian kebanyakan ulama dalam menyatakan pendirian masing-masing. Ada di antara mereka yang mengharamkan semua yang berkaitan dengan muzik. Dan ada pula yang cuba menyelesaikannya dengan memberi kategori dalam hiburan.
Ulama yang bersikap tegas dalam persoalan hiburan adalah mereka yang ingin menghalang hiburan yang boleh membawa kepada kemusnahan kepada integriti agama dan budaya.
Dulu orang berhibur sekadar mengisi waktu kosong dan semata-mata untuk menghiburkan hati sejenak.
Hari ini, hiburan dan muzik adalah suatu yang sudah jauh terkeluar dari batasan agama apabila bercampur lelaki dan perempuan secara bebas dan mendedahkan aurat di pentas hiburan semata-mata meraih tepukan penonton.
- UTUSAN