Antara liberalisasi dan selesema babi

Oleh DATO' SALLEH MAJID
Felo Utama, Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

Terdapat beberapa isu penting yang berlaku minggu lalu. Malapetaka besar yang melanda dunia ialah selesema babi yang bermula di Mexico City dan sudah merebak di tujuh buah negara di dunia. 159 orang dikatakan telah mati di Mexico City dan penutupan perniagaan di sana dikatakan telah menyebabkan kerugian sebanyak AS$57 juta sehari.

Perlawanan bola dikatakan berlangsung tanpa penonton. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru saja meningkatkan paras berjaga-jaga kepada 5 pada 29 April lalu, suatu tanda yang 'pandemik' pasti berlaku.

Penyakit yang boleh merebak melalui manusia juga dikatakan boleh merebak melalui burung. Pemeriksaan dan saringan yang dilakukan di lapangan-lapangan terbang di bandar-bandar di dunia tidak dapat mengenal pasti dengan sah pembawa penyakit ini.

Begitulah ketentuan Allah. Apabila balasan diturunkan kepada manusia atas sesuatu yang telah dilakukan oleh manusia seperti pembunuhan, pencabulan, kerosakan kepada alam yang berleluasa, balanya terkena kepada yang tidak berdosa juga.

Lihat saja krisis ekonomi yang melanda dunia sekarang. Sebuah negara yang begitu berkuasa terpaksa melutut kepada krisis dan angka baru yang diumumkan - pertumbuhan penggal pertama Amerika Syarikat mencapai paras negatif enam (-6) peratus.

Walaupun ada suara-suara yang menyatakan sudah ada tanda-tanda kestabilan ekonomi, ada juga suara-suara seperti Paul Krugman, pemenang Hadiah Nobel Ekonomi terkenal yang mengingatkan orang ramai jangan terlalu optimistik dengan nada-nada suara kononnya pemulihan sudah menunjukkan tandanya.

Ujian tekanan (stress test) yang dijalankan kepada bank-bank di Amerika menunjukkan banyak lagi yang memerlukan suntikan modal. Masalah aset toksik yang membelenggu banyak bank di sana dan di Eropah sebenarnya belum lagi selesai.

Perdebatan tentang nilai yang harus digunakan untuk membersih aset toksik ini masih berjalan. Mengapa mesti mereka yang tamak, tidak jujur dalam urusan dan melanggar apa saja peraturan dibela? Berbilion disuntik kepada mereka dan dalam suatu siasatan terbuka yang dilakukan oleh pemerintah baik di Amerika mahu pun di Britain, pemimpin-pemimpin ini tidak mengakui kesalahan mereka. Bank-bank ini patut dibiarkan pupus begitu saja.

Contoh kelakuan pihak atasan di syarikat insurans terbesar AIG yang terus memberikan bonus kepada kakitangan kanan mereka walaupun menerima bantuan modal daripada kerajaan. Gelagat mereka memaksa Kongres Amerika meluluskan undang-undang mengenakan cukai sehingga 90 peratus ke atas bonus yang diterima. Begitulah angkuhnya tabiat mereka ini sehingga Presiden Barack Obama sendiri terpaksa bersuara melahirkan kemarahannya.

Berbalik kepada soal selesema babi. Kita terkenal sebagai pengeksport babi terbesar di Asia Tenggara mungkin di Asia kerana negara lain tidak mahu tercemar dengan kekotoran yang dibawa oleh babi, hanya hendak memakannya saja.

Kebanyakan ladang babi di negara kita adalah ladang haram sehingga menimbulkan kemarahan di kalangan masyarakat Melayu seperti di Kampung Pelanduk dan Linggi dahulu.

Pendeknya mereka ini tidak punyai suatu sistem pembersihan sisa buangan seperti terdapat di negara-negara maju. Kerap kali terdapat sisa buangan ini dibiarkan masuk ke sungai dan airnya dijadikan sumber air minuman penduduk seperti di Sungai Selangor di mana terdapat berpuluh ladang babi haram yang telah beroperasi bertahun-tahun.

Kita juga difahamkan bahawa sebuah ladang babi bernilai RM100 juta akan dibuka di Selangor dan dengarnya pihak Pas pun sudah bersetuju dibina ladang besar tersebut walaupun berdekatan dengan kampung Melayu.

Bukannya bangsa lain sahaja yang tidak sensitif dengan pantang larang orang Melayu tetapi orang Melayu sendiri juga sudah tidak lagi sensitif dengan orang Melayu.

Begitulah kehendak politik mengatasi segala-galanya sedangkan politik wujud kerana rakyat. Kita tidak peduli kalau orang nak makan babi atau tidak, tetapi seseorang yang waras otaknya tahu akan kesan kepada kawasan sekeliling angkara ladang babi.

Bukan saja sungai kita tercemar malahan laut kita pun tercemar. Setiap minggu orang berkelah di tepi pantai yang lautnya tercemar. Kalau dulu babi membawa virus Japanese Encephalitis (JE), kini lebih teruk lagi, selesema babi. Ramailah yang akan mati dibuatnya.

Liberalisasi

Langkah-langkah liberalisasi kepada sektor perkhidmatan dan kewangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri sememangnya wajar. Mengambil salah satu sektor kecil yang dibuka kepada pelabur asing ialah taman tema. Sememangnya wajar suatu taman tema diadakan terutama sekali di Iskandar, Johor kerana boleh menarik bukan saja pelancong dari Singapura yang tak tahu nak ke mana hujung minggu tetapi juga pelancong rantau ASEAN.

Kalau di Jepun dan Hong Kong sudah ada taman tema Disneyland, kita boleh menarik Universal Studios kerana ia suatu taman tema tertutup - jadi kalau hujan sekalipun ia boleh terus berfungsi. Setahu saya, mereka akan membawa teknologi dan kepakaran dan kita kenalah memberikan mereka tanah dan berkongsi modal kerja.

Lagi pun di rantau ini dan Asia belum ada lagi Universal Studios dan saya yakin ia mampu menarik ramai pelancong ke negara kita.

Pusat Konvensyen yang mampu menampung lebih ramai pengunjung juga diperlukan. Kita saksikan pusat konvensyen yang ada seperti Kuala Lumpur City Centre penuh tempahan sehingga bertahun-tahun. Konvensyen dan pameran sememangnya suatu cara yang mendatangkan faedah besar kepada industri pelancongan kita.

Kebanyakan syarikat MLM (jualan langsung) gemar mengadakan perjumpaan tahunan yang dihadiri oleh berpuluh ribu ahli daripada seluruh dunia.

Kita masih lagi jauh ketinggalan dari segi kemudahan konvensyen dan pameran jika dibandingkan dengan negara-negara jiran kita. Tiada siapa akan melabur di negara kita kalau kita tidak memberikan kelonggaran ekuiti sepenuhnya.

Begitu juga dengan sektor kewangan seperti dua lesen bank Islam mega untuk terus meletakkan kita di persada perbankan Islam sedunia. Banyak lagi yang perlu kita pelajari tentang perbankan Islam walaupun kita dianggap sebagai peneraju kepada bon Islam.

Penghuraian cabang-cabang perbankan dan ekonomi Islam wajar diberikan tumpuan sekarang kerana sistem perbankan konvensional sedang menghadapi krisis terbesar dalam sejarah dan banyak bank terkenal dan terbesar yang mengalami masalah kewangan.

Saya masih lagi tertanya-tanya apakah sistem perbankan Islam yang diperkenalkan oleh bank-bank bukan Islam adalah tuntutan sebenar syariat Islam atau semata-mata mengambil kesempatan daripada satu-satunya alternatif perbankan yang belum diterokai sepenuhnya, sama seperti makanan yang dikatakan halal yang disediakan oleh orang bukan Islam.

Dengan itu liberalisasi sektor kewangan dengan memberikan lesen kepada bank asing untuk beroperasi di sini perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana kita tentu sekali tidak mahu mereka membawa masalah mereka kepada kita.

Bank terbesar seperti Union Bank of Switzerland sendiri pun mempunyai masalah kecairan, inikan pula yang lain-lain.

Salah satu perkara yang menarik berkaitan dengan Pusat Kewangan Luar Pesisir Labuan ialah kebenaran untuk mengadakan pejabat operasi dan pengurusan bagi bank yang pada masa ini beroperasi di Labuan.

Ini tentu sekali akan meningkatkan lagi kecekapan operasi mereka yang selama ini berada di Labuan dan kerap terpaksa berulang alik ke Kuala Lumpur untuk pengurusan mereka.

Membenarkan mulai 2010 kehadiran operasi bank-bank luar pesisir yang diberi lesen oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Pesisir Pantai Labuan (LOFSA), pihak berkuasa Labuan, di Kuala Lumpur juga suatu langkah yang dialu-alukan.

Ini akan meningkatkan lagi tahap Kuala Lumpur sebagai pusat kewangan di rantau ini, sesuatu yang patut dilakukan beberapa tahun dahulu.

Mempelawa pakar-pakar untuk turut serta dalam industri kewangan pada masa ini juga sesuatu yang kena pada tempatnya kerana ramai di kalangan profesional dari luar yang berpengalaman luas telah diberhentikan ekoran krisis kewangan yang melanda dunia.

Mungkin selama ini kita agak tidak nampak faedah daripada kehadiran pakar dari luar ini tetapi kalau kita ingin meningkatkan tahap persaingan kita di dunia dan meningkatkan tahap di rantaian nilai yang kita lakukan, kita kena belajar daripada pengalaman dan kepakaran orang lain.

Di Singapura berpuluh universiti terkenal di dunia mempunyai operasi di sana dan ini membuatkan mereka dapat menimba ilmu daripada pelbagai golongan mahir.

Paling terbaru dalam siri liberalisasi ini ialah membuka sektor awam terutama jawatan-jawatan penting kepada bakat terbaik yang ada di negara dan tidak semata-mata terkongkong dengan pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD).

PTD adalah sesuatu yang kita warisi daripada British dan bergerak seolah-olah suatu kelab eksklusif. Keutamaan jawatan diberi atas senioriti, lamanya jangka masa khidmat seseorang dan diandaikan ia berserta merit sekali.

Tindakan yang dikenakan ke atas sesuatu pelanggaran disiplin selalunya pertukaran ke lain jabatan. Oleh itu, memang wajar sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dikenakan kepada menteri dan syarikat berkaitan kerajaan, dipanjangkan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan.

Pendedahan pegawai kerajaan dengan diberi latihan amali di sektor swasta juga suatu langkah yang dapat meningkatkan prestasi sektor awam. Kebanyakan di peringkat pengurusan tidak mengerti bagaimana membuang benteng jawatan mereka (remove the barrier of their position) dan berinteraksi dengan kakitangan bawahan.

Begitu juga dengan mereka yang memimpin syarikat berkaitan kerajaan yang mungkin terdiri daripada sesuatu golongan pilihan orang tertentu saja berdasarkan hubungan dan kenalan dan bukan pengalaman dan kemahiran.

Ada di kalangan mereka ini yang pandai menukar "kulit" untuk menyesuaikan diri dengan perubahan kepimpinan sedangkan prestasi mereka hanyalah boleh tahan saja. Tidak ada sebab kalau kita ingin meningkatkan daya saing kita, kenapa syarikat berkaitan kerajaan tidak memperolehi bakat yang terbaik.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url