Isu Komuter - Keadaan masih sesak & lewat


Apa jadi dengan khidmat pengangkutan awam kita terutama komuter KTM?
Kenapa ia sering bermasalah dan tidak pernah menepati keperluan dan kehendak pengguna?

Masalah ini bukan baru malah Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu menjadi Perdana Menteri pernah turun padang melihat sendiri perkhidmatan ini.

Namun di sebalik tinjauan pemimpin nombor satu negara keadaannya tetap tidak berubah. Khidmatnya tetap di takuk lama. Hendak dikatakan tidak ada pelanggan atau kurang penumpang saban hari ia sendat dari subuh sampai tengah hari, dari Maghrib sampai ke tengah malam.

Selepas tinjauan oleh Abdullah, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berusaha memperbaiki tahap perkhidmatan dengan meningkatkan kekerapan perjalanan komuter dan memberi jaminan waktu menunggu komuter ke semua laluan tidak melebihi 20 minit.

Tetapi realitinya ia tetap tidak berubah. Masih ditahap lama yang meresahkan.

Sesak dan lewat. Itu merupakan persepsi orang ramai terhadap perkhidmatan komuter di negara ini.

Dua perkara itu ditambah dengan jadual perjalanan yang tidak menentu merupakan fenomena biasa khidmat pengangkutan awam itu.

Ia bukan berkhidmat mengikut keperluan pengguna tetapi pengguna kena sesuaikan diri dengan sistem dan jadual ketibaan yang tidak menentu.

Akibatnya orang ramai perlu keluar awal jika mahu sampai ke tempat kerja tepat pada masa. Mereka tidak boleh ikut waktu ketibaan yang ditetapkan sebab sering kali komuter tidak menepati masa.

Walaupun ada usaha dilakukan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan ini selepas ditegur oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi namun ia sekadar melepaskan batuk di tangga.

Selepas ditegur tahun lalu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sepatutnya berusaha dengan lebih keras meningkatkan tahap perkhidmatannya.

Dari segi kekerapan jadual perjalanan nampak ada perubahan tetapi ia belum benar-benar berhasil bagi membolehkan orang ramai khususnya pengguna setia pengangkutan awam tersebut berpuas hati terhadap inisiatif yang diambil.

Pengguna setia perkhidmatan itu masih merungut kerana masa ketibaan tidak sama dengan waktu yang dipaparkan pada skrin elektronik.

Sewaktu meninjau perkhidmatan pengangkutan awam itu baru-baru ini, wartawan Utusan Malaysia mendapati masalah yang diadukan orang ramai itu ada benarnya.

Namun, faktor pertambahan penumpang tidak dinafikan menyumbang kepada kesesakan dan masalah berkaitan.

Inisiatif KTMB meningkatkan jadual perjalanan dapat dilihat apabila kami hanya perlu menunggu komuter selama kira-kira 10 minit pada waktu biasa selain 15 minit pada waktu puncak.

Namun begitu, peningkatan bilangan penumpang menjadikan perkhidmatan komuter sesak pada waktu puncak dan mungkin KTMB perlu melakukan sesuatu seperti menambah gerabak bagi mengatasi masalah itu.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang antara laluan yang sibuk pada waktu puncak selain Kuala Lumpur-Rawang terutama ketika orang ramai pulang dari tempat kerja pada kira-kira pukul 5 petang.

Sepanjang perjalanan, kami terpaksa berdiri dan hanya mendapat tempat duduk apabila rata-rata penumpang turun di stesen Shah Alam.

Bagi laluan Kuala Lumpur-Rawang-Kuala Kubu Bharu pula, kami mendapati penumpang ke Kuala Kubu Bharu terpaksa menunggu 30 minit sehingga sejam.

Kami difahamkan hanya dua komuter yang menghala ke Kuala Kubu Bharu dan faktor itu menjadi punca orang ramai terpaksa menunggu lama untuk ke destinasi masing-masing.

Bila komuter lewat atau jarak tempoh antara satu dengan yang lain lama sudah tentu ia akan menyebabkan kesesakan.

Sementara itu, pujian patut diberi kepada KTMB yang memperkenalkan sistem-Q dalam usaha syarikat itu meningkatkan keselamatan penumpang.

Langkah tersebut berjaya mendisiplin penumpang supaya tidak berebut-rebut ketika menaiki komuter.

Sistem itu menyediakan garisan berwarna merah, biru dan hijau di atas platform sebagai kod menandakan di mana para penumpang harus beratur.

Penumpang berpanas di dalam tren

Panas! Itu reaksi penulis sewaktu menaiki komuter baru-baru ini. Namun penulis masih boleh menerima suasana tidak selesa itu memandangkan penumpang ramai pada waktu puncak (pukul 5 petang) sehingga menenggelamkan kesejukan pendingin hawa.

Penulis menyedapkan hati dengan alasan orang yang ramai selain keadaan berbeza pada waktu pagi.

Malangnya, bahang yang dirasakan masih tidak surut walaupun penumpang semakin berkurangan.

Perjalanan dari KL Sentral hingga ke stesen Pelabuhan Klang terasa terlalu jauh dalam suasana yang panas itu.

Sepatutnya, selain memastikan jadual perjalanan komuter lancar, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) perlu juga memikirkan mengenai keselesaan penumpang.

Kami mungkin tidak arif mengenai pendingin hawa tetapi sebagai syarikat bertanggungjawab, KTMB perlu mencari jalan mengatasi masalah itu.

Bayangkan setiap pagi dan petang gerabak komuter sendat. Dalam keadaan begini jika pendingin hawa tidak berfungsi dengan baik ia tentu menyiksakan.

Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia membabitkan keselesaan penumpang yang setia dengan pengangkutan awam itu.

Seorang peniaga, Mohamad Fairus Abu Bakar, 42, berkata, sistem pendingin hawa dalam komuter perlu diperiksa selalu dan keluhan orang ramai tentang bahang di dalamnya sepatutnya tidak terjadi.

"Kita sudah menunggu lama untuk ketibaan komuter, apabila masuk panas pula. Ini menjadikan penumpang tidak berpuas hati terutama kegagalan menampung kesesakan orang ramai pada waktu puncak," ujarnya.

Keluhan yang sama diluahkan beberapa penumpang lain yang tidak berpuas hati dengan sistem pendingin hawa komuter.

Seorang penuntut Universiti Malaya, Dhiya Izzati Najihah Sahadin, 19, berkata, kepanasan dalam komuter menjadi lebih memuncak apabila ada bau 'tambahan' daripada penumpang yang berpeluh.

"Bayangkan apabila kita berasak dalam komuter yang panas dan ada penumpang lain mengangkat tangan.

"Baunya membuatkan penumpang lain tertekan dan ia tidak akan berlaku jika pendingin hawa berada dalam keadaan sejuk," katanya.

Selain itu, KTMB juga perlu memastikan pengumuman bagi setiap destinasi perlu konsisten agar penumpang tidak terlepas stesen yang hendak dituju.

Untuk penumpang yang sudah kerap menaiki komuter ia mungkin tidak menjadi satu masalah tetapi bagi orang ramai yang tidak pernah atau jarang menggunakannya, servis itu amat penting.

Masalah-masalah kecil ini walaupun kedengaran remeh tetapi wajar diberi perhatian oleh KTMB bagi memastikan perkhidmatannya pada tahap terbaik.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url