Barcelona jumpa United di Final UEFA
Dalam saingan separuh akhir kedua, awal pagi semalam itu, pelawat seri 1-1 dan layak di atas perkiraan jaringan di tempat lawan dan akan menentang juara bertahan, Manchester United dalam final di Rome pada 27 Mei ini.
Michael Essien memberi gol pendahuluan Chelsea minit ke-10 dengan rembatan cantik tetapi Iniesta dijulang wira selepas menghampakan penonton tuan rumah dengan jaringan yang sama hebat pada saat-saat terakhir permainan hasil umpanan baik Lionel Messi.
Apa yang menjadi tumpuan sudah pasti kata-kata kesat yang terbit dari mulut Drogba ke arah pengadil dari Norway, Tom Henning Ovrebo selepas wisel penamat dibunyikan dengan penyerang Ivory Coast itu kerap menuding jari begitu hampir ke muka pengadil berkenaan � senario yang tampak menarik tumpuan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Pengurus Chelsea, Guus Hiddink menyifatkan ia satu pengadilan terburuk pernah dia saksikan dan berkata dia akan mempertahankan Drogba di atas tindakan menyerang dan maki pengadil itu � insiden panas yang mengubah wajah saingan itu menjadi malam penuh muram buat lebih 40,000 penyokong The Blues itu.
"Saya mengerti emosi pemain saya dan dia naik marah kerana kemenangan diragut daripada pasukannya. Jika anda menyaksikan tiga atau empat situasi tidak menyebelahi kami untuk mendapatkan penalti jadi tanggapan saya adalah ia memang satu pengadilan terburuk.
Pengurus Barcelona, Pep Guardiola pula menghambur pujian ke atas anak didiknya yang tidak putus asa selepas rakan mereka, Eric Abidal dilayangkan kad merah pada minit ke-69.
"Saya dapat memahami betapa kecewa Chelsea mengenai pengadil tetapi saya tidak nampak dakwaan sepakan penalti kepada tuan rumah. Apa yang saksikan adalah kami cuba mati-matian untuk memenangi perlawanan ini," katanya.
Ketika Ovrebo berjalan melepasi arah Drogba yang digantikan pada babak kedua penyerang itu menjerit ke arah televisyen dengan berkata: "Anda menyaksikan perlawanan ini? Ini adalah pengadilan cukup memalukan."
- AGENSI