Demi anak, Farah bangunkan SaraKids
Melihatkan kedua-duanya membesar sempurna tanpa perlu diberi makanan tambahan lain sepanjang enam bulan pertama, wanita yang mesra disapa sebagai Farah ini ingin berkongsi pengalamannya dengan ibu-ibu lain mengenai kebaikan susu ibu.
"Peratusan ibu menyusu bayi secara eksklusif di negara ini masih rendah berbanding negara asia yang lain iaitu sekitar 15 peratus sahaja manakala bagi pengguna susu formula pula kita adalah yang tertinggi.
"Kerana itu saya nekad untuk bersama-sama ibu di luar sana bagi menggalakkan mereka memberi penyusuan secara eksklusif," ujar pemilik pusat sehenti bayi dan kanak-kanak, SaraKids ini.
Sebagai bukti kegigihan beliau dalam bidang ini, Farah sanggup meninggalkan jawatan sebagai tutor di salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta selepas melahirkan anak pertama lebih dua tahun lalu.
Tambahan pula menyedari keterbatasan waktu untuk membesarkan anak-anak tersayang apabila terikat dengan kerja makan gaji, ibu muda berusia 29 tahun ini semakin yakin dengan pilihannya.
"Mulanya SaraKids hanya menjual pakaian bayi dan kanak-kanak berjenama yang kebetulan kami peroleh melalui kenalan di luar negara ," kata pemegang diploma Mikrobiologi dan ijazah sarjana muda Biologi ini.
Dengan modal yang dikumpul sedikit demi sedikit, juga dengan sokongan jitu daripada suami, Saiful Azwan Rasidi akhirnya lahirlah pusat sehenti untuk bayi dan kanak-kanak yang terletak di TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor ini.
Demi memenuhi ilmu mengenai penyusuan dan perkara yang berkaitan dengan bayi, Farah berjaya melengkapkan kursus penyusuan yang melayakkannya bergelar kaunselor laktasi di Pusat Perubatan Universiti Malayia (PPUM) pada tahun lalu.
Menurutnya, beliau mempunyai pasukannya sendiri yang menjadi kumpulan sokongan dalam membantu ibu-ibu terutama yang berkerja bagi memberi penyusuan secara eksklusif kepada anak-anak mereka.
"Kebanyakan ibu-ibu bimbang mereka akan menghadapi masalah jika ingin kembali bekerja. Bagi saya penyusuan badan tidaklah sukar, yang penting persediaan mental dan semangat yang tinggi untuk menjayakannya," ujar beliau.
Bercerita mengenai pengalaman sepanjang terlibat dalam bidang ini, Farah berkata, perkara yang paling menggembirakan adalah dapat membantu ibu-ibu bermasalah dalam menyusukan anak mereka di awal kelahiran. Pertolongan beliau tidak terbatas kepada ibu-ibu sebangsa sahaja, malah ia lebih daripada itu.
"Saya sendiri pernah menghadapi masalah ketika menyusukan anak pertama. Namun, kesungguhan dan tekad menjadikan saya tegar untuk terus memberikan mereka kebaikan susu ibu," katanya.
Penglibatan Farah dalam bidang ini juga membawanya bertemu dengan pelbagai individu yang pastinya memberi seribu satu pengalaman berharga.
Bercerita tentang kepuasan dalam bidang ini, katanya masih banyak perkara yang perlu dilakukan dan diterokanya.
"Saya berharap suatu hari nanti, semua ibu-ibu di negara ini mampu menyusukan anak mereka secara eksklusif kecuali bagi yang tidak mampu berikutan sebab yang tidak boleh dielakkan dan saya akan cuba membantu selagi terdaya," ujarnya dengan optimis.
Untuk maklumat lanjut mengenai butik SaraKids, boleh melayari laman web www.sarakids.com atau mengunjungi kedai di alamat 42-1, Aras pertama, Jalan Opera L U2/L, Taman TTDI Jaya, 40150, Shah Alam. Atau mengunjungi cawangan Ipoh di Lot LG 13, Greentown Mall, Ipoh, Perak. Untuk sesi kaunseling penyusuan hubungi Farah (012-6448091) atau Amrah (012-4505989)