Gerak Khas cipta rekod

Drama bersiri Gerak Khas terbitan Skop Productions bakal dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai drama bercorak kepolisan paling lama disiarkan di kaca televisyen.

Gerak Khas yang memulakan siaran pada 5 April 1999 di saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) kini menjangkau usia 10 tahun dan masih bertahan dengan mencatat jumlah penonton sekitar satu hingga dua juta orang setiap kali disiarkan.

Lebih membanggakan, drama yang mengangkat imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu pernah menduduki tangga pertama untuk keseluruhan program televisyen di negara ini bagi tahun 1999, 2000 dan 2001.

Ia juga pernah menerima anugerah drama bersiri terbaik menerusi Anugerah Sri Angkasa pada 2001.

Menurut Pengarah Urusan Skop Productions, Datuk Yusof Haslam (gambar), sehingga hari ini, 530 episod Gerak Khas telah diterbitkan dengan pelbagai paparan isu seperti pelacuran, sindiket perjudian, pondan serta jenayah lain.

“Saya pun tidak menyangka ia akan bertahan selama 10 tahun. Terima kasih atas penghargaan yang diberi oleh MBOR sebagai drama bercorak kepolisan paling lama disiarkan.

“Sebenarnya, Gerak Khas bukanlah drama yang berkisar tentang kepolisan semata-mata tetapi turut mencakupi isu-isu kemasyarakatan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Ujar Yusof, tempoh 10 tahun adalah satu jangka masa panjang dengan pelbagai cabaran telah ditempuhi sepanjang menerbitkan drama berkenaan.

Jelasnya, gerak kerja bagi menerbitkan Gerak Khas memerlukan komitmen yang tinggi dan pelbagai peringkat perlu dilalui sebelum ia dapat disiarkan di televisyen.

“Bermula dari Skop Productions, skrip drama akan diserahkan ke Bukit Aman untuk diteliti dan kita perlu bertindak balas segera terhadap respons daripada Bukit Aman,” katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url