Hotlink Mobile Playground - Percuma untuk pelajar

Golongan pelajar kini boleh menikmati perkhidmatan data mobiliti dari telefon bimbit mereka secara percuma bagi kemudahan menjalankan aktiviti melayari Internet, permainan video serta muzik.

Perkhidmatan Hotlink Mobile Playground yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi Maxis Communications Berhad (Maxis) itu kini ditawarkan di beberapa institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) terpilih di sekitar Lembah Klang.

Hotlink Mobile Playground merupakan sebahagian daripada perkhidmatan pelan prabayar dan ganjaran daripada Hotlink Youth Club yang menawarkan pelbagai kelebihan eksklusif kepada pelajar kolej.

Setakat ini, perkhidmatan tersebut telah dilaksanakan di enam buah IPTS iaitu Kolej Stamford dan Kolej Damansara Utama di Petaling Jaya, Kolej Universiti Binary di Puchong, Kolej Universiti Inti di Subang, Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) di Kelana Jaya dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Puchong-Kajang selain empat lagi IPTS menjelang akhir tahun ini.

Pelaksanaan tersebut telah pun bermula sejak Februari lalu sehingga Jun ini dengan dua orang wakil Hotlink ditempatkan di setiap kolej terlibat bagi membantu pelajar menjalankan demonstrasi perkhidmatan mobiliti tersebut.

Menurut Ketua Pemasaran Produk Maxis, Lai Shu Wei, seramai 4.4 juta pengguna menggunakan perkhidmatan data mobiliti daripada telefon bimbit mereka di negara ini.

''Kebanyakan mereka terdiri daripada pengguna remaja di bawah 25 tahun untuk tujuan komunikasi sosial.

''Justeru, dengan pengenalan perkhidmatan terbaru ini, adalah diharapkan ia dapat memenuhi keperluan mereka bagi mendapatkan maklumat secara mobiliti menerusi Internet,'' katanya.

Untuk mengakses WAP portal Maxis, hanya tiga langkah mudah diperlukan iaitu pilih aplikasi web di telefon bimbit, pilih Surf the Web dan klik pada pautan laman web kegemaran.

Antara faedah yang ditawarkan oleh perkhidmatan berkenaan adalah kadar caj perbualan terendah 12 sen seminit untuk panggilan kepada mana-mana nombor Maxis atau Hotlink, 1 sen setiap khidmat pesanan ringkas (SMS), ganjaran, diskaun dan tempoh sah kredit selamat empat tahun dengan tambah nilai minimum RM10 setiap tahun.

Semua pelajar dengan kad pelajar yang masih sah tempoh penggunaannya layak untuk memohon pelan Hotlink Mobile Playground. Maklumat lanjut di laman web www.hotlink.com.my
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url