Inter juara Serie A Itali
Hanya Milan yang menduduki tempat kedua liga sahaja mampu menghalang Inter daripada merangkul trofi tersebut musim ini.
Inter muncul juara ekoran mempunyai kelebihan tujuh mata berbanding Milan dan pada masa yang sama, pasukan yang digelar Rossonero itu hanya memiliki dua perlawanan untuk diteruskan musim ini.
Kekalahan Milan pada pertemuan kelmarin membolehkan bos Inter, Jose Mourinho memenangi trofi kejuaraan liga pada penampilan pertama bersama kelab barunya itu.
Bekas pengurus Chelsea itu hanya menyertai persaingan bola sepak Itali, Jun tahun lalu.
Kejayaan itu sekali gus membolehkan Mourinho memenangi gelaran kelima dalam tempoh tujuh musim ketika mengendalikan tiga kelab berbeza di tiga buah negara berbeza.
Milan melalui pertemuan, kelmarin di Udinese dengan mengetahui bahawa kelab itu harus mencatat kemenangan bagi menghalang Inter daripada merangkul kejuaraan tersebut.
Namun begitu, anak didik Carlo Ancelotti sekadar mempamerkan persembahan kurang meyakinkan dan permainan kelmarin menjadi salah satu aksi terburuk pasukan itu musim ini.
Persembahan babak pertama pertemuan Milan dan Udinese berlangsung suram apabila beberapa peluang menjaringkan gol dipersiakan oleh kedua-dua pasukan.
Namun, Udinese akhirnya membuka jaringan gol pertemuan tersebut menerusi sepakan penalti. Antonio Floro Flores berjaya melepasi benteng pertahanan Milan dan memasuki kawasan penalti bagi menyambut hantaran terus yang dilakukan oleh Geatano D'Agostino.
Bagaimanapun, pemain veteran pertahanan Milan, Paolo Maldini cuba menghalang tindakan penyudah pemain Udinese itu dan menyebabkannya terjatuh ketika cuba berebut bola daripada penjaga gol Milan, Dida.
Maldini yang hanya mempunyai dua perlawanan lagi bersama Milan sebelum bersara dilihat bernasib baik kerana tidak dikenakan hukuman buang padang dan sekadar menerima kad kuning.
Biarpun begitu, pasukan pelawat dihukum apabila D'Agostino dengan tenang berjaya menyempurnakan sepakan penalti dan menyaksikan bola menuju tinggi ke arah kanan gawang.
Empat minit selepas perlawanan berlangsung pada separuh masa kedua, Udinese menggandakan kelebihan dengan menghasilkan jaringan kedua menerusi jaringan Christian Zapata.
Milan bagaimanapun memperoleh gol sagu hati pada masa kecederaan menerusi tandukan yang dilakukan oleh Massimo Ambrosini.
- AFP