Kubu lama tarikan baru Banda Hilir

MELAKA khususnya di Bandaraya Melaka Bersejarah sememangnya kaya dengan pelbagai sejarah. Selain Majapahit dan kerajaan Melayu Melaka, peninggalan lain yang lazimnya banyak ditemui di negeri itu adalah membabitkan penjajah Barat seperti Portugis, Belanda dan Inggeris.

Antara penemuan terbaru dan kini menjadi tatapan masyarakat khususnya pelancong, adalah dua kubu lama peninggalan penjajah Portugis di Banda Hilir. Kubu berusia ratusan tahun ini dikenali sebagai Bastion Middleburgh dan Bastion Fedrick Hendrick.

Kubu ini letaknya di tepi Sungai Melaka iaitu antara Bangunan Stadhuys atau lebih sinonim disebut Rumah Merah dan Quayside atau replika Kincir Air Kesultanan Melayu Melaka. Bagi pengunjung yang melalui di hadapan Bangunan Stadhuys pasti akan melihat kubu lama ini.

Kejayaan menemui dua kubu lama penjajah ini adalah hasil usaha Jabatan Warisan Negara, menerusi kajian mendalam ke atas sebuah peta lama. Bastion Middleburgh ditemui pada 25 November 2006, manakala Bastion Fedrick Hendrick ditemui pada 25 Mei 2007.

Penolong Pengarah Arkeologi dan Konservasi Jabatan Warisan Negara, Muhamad Muda Bahadin, berkata, kubu berkenaan ditemui tertimbus di atas sebuah bangunan dan jalan utama memasuki pusat Bandaraya Melaka Bersejarah.

Ketika ditemui, pelbagai khazanah berharga lain turut ditemui di situ seperti jajaran Tembok Kota A'Famosa yang dibina pada zaman pemerintahan Portugis dan Belanda, selain Malacca Waterworks yang dibina oleh Inggeris pada 1893.

"Selain itu, artifak berharga lain yang berjaya kita temui ialah seperti pecahan tembikar tanah, pinggan mangkuk tembikar, paip Belanda, peluru senapang dan duit syiling. Semua barang ini kemudian disimpan dengan baik, sebelum dipamerkan kepada orang ramai," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Muhamad Muda berkata, sebaik penemuan itu, Jabatan Warisan Negara kemudian bertungkus-lumus untuk menyelamatkan bekas tembok berkenaan daripada terus dimakan hakisan akibat penambakan tanah yang berulang kali serta mendapan Sungai Melaka.

Katanya, Bastion Middleburgh yang mengalami kemusnahan sewaktu Inggeris menduduki Melaka siap dibina semula menggunakan batu laterit yang diimport khas dari Thailand dan bahan pelekat bagi tujuan kajian dan pelancongan.

"Usaha untuk mengembalikan semua reka bentuk kubu di tapak seluas 0.09 hektar ini, selesai dilakukan pada Ogos tahun lalu. Biarpun tidak sempurna seperti diharapkan, kita berjaya juga memperlihatkan reka bentuk tembok pertahanan zaman penjajahan Portugis untuk tatapan pada hari ini.

"Selain kubu menggunakan batu laterit, tapak lama ini juga dihiasi dengan lapan laras meriam yang beratnya dianggarkan 1,500 kilogram semuanya. Meriam ini, secara simboliknya pada zaman dulu digunakan untuk mengawal aktiviti perdagangan dan perkapalan di muara Sungai Melaka yang sangat sibuk ketika itu," katanya.

Berbanding Bastion Middleburgh, kubu kedua iaitu Bastion Fedrick Hendrick yang letaknya bersebelahan bangunan Hong Kong & Shanghai Bank (HSBC) di Jalan Kota, ia masih belum mengalami sebarang perubahan kerana difahamkan sedang dalam proses kajian lanjut.

Kubu ini, dikatakan adalah rumah kubu yang asalnya dibina oleh Portugis dan digunakan oleh Belanda. Penjajah asing itu kemudian menukarkan nama kubu ini dari San Pedro kepada Fedrick Hendrick.

Tinjauan mendapati kawasan berkenaan belum menerima sentuhan untuk dinaik taraf. Bagaimanapun Jabatan Warisan Negara menyediakan sebuah khemah kecil yang dilengkapi dengan sebuah papan kenyataan, memaparkan pelbagai gambar mengenai penemuan kubu berkenaan sebelum ini.

Biarpun agak ringkas, ia tetap berjaya menarik orang ramai khususnya pelancong yang melalui kawasan itu untuk singgah.

Muhamad Muda berkata, Jabatan Warisan Negara masih menjalankan kajian ekskavasi untuk mendedahkan struktur kubu ini dan keluasan sebenarnya.

Katanya, ketika kajian dilakukan, pelbagai monumen berjaya ditemui seperti rangka manusia lengkap yang dianggarkan berusia 600 tahun, tertimbus di bawah tanah pada tahap kedalaman 100 sentimeter.

"Keseluruhan rangka lengkap ini diekskavasi, manakala dua tengkorak lagi berjaya ditemui di bawah rangka lengkap itu. Penemuan rangka manusia dalam keadaan lengkap ini membuktikan, tapak ini pernah dijadikan lokasi pengebumian secara tergesa-gesa.

"Ini kerana kedudukan rangka yang saling bertindih dan tidak menggunakan keranda serta tiada tanda nisan diatasnya,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url