Virus H1N1 mungkin lenyap – Pakar virologi

Dunia kini berada di persimpangan dalam menangani krisis selesema babi kerana virus influenza A (H1N1) mungkin lenyap, mencetuskan pandemik ‘sederhana’ yang masih boleh meragut banyak nyawa atau bertukar menjadi pembunuh terbesar dalam sejarah.

Pakar virologi terkemuka Eropah, Albert Osterhaus menggesa pihak berkuasa kesihatan supaya terus mengambil langkah berjaga-jaga, sekalipun virus baru H1N1 itu ternyata kurang membimbangkan daripada apa yang disangka beberapa minggu lalu.

“Ancaman H1N1 sekarang cukup serius,” kata Osterhaus dalam taklimat kepada Kongres Mikrobiologi Klinikal dan Penyakit Berjangkit Eropah (ECCMID) di ibu negara Finland ini semalam.

ECCMID merupakan forum perubatan utama yang pertama diadakan sejak krisis selesema babi meletus pada 24 April lalu.

“Virus itu ada tiga pilihan. Pertama, H1N1 mungkin lenyap secara spontan, tetapi saya tidak yakin perkara ini akan berlaku,” kata Osterhaus, seorang profesor di Pusat Perubatan Erasmus di Universiti Rotterdam, Belanda.

Virus itu juga boleh mencetuskan pandemik sederhana seperti selesema Asia, kata beliau yang merujuk kepada wabak 1957-58 yang membunuh antara sejuta hingga empat juta orang.

Sebagai perbandingan, selesema biasa yang dikenali sebagai selesema bermusim membunuh antara 250,000 hingga setengah juta orang setiap tahun, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Dalam senario paling teruk, kita mungkin menghadapi pandemik teruk seperti selesema Sepanyol yang boleh berpunca daripada mutasi virus tersebut,” kata Osterhaus yang merujuk kepada pandemik 1918-19 yang dipercayai membunuh sekitar 50 juta orang.

Beliau memberi peringatan mengenai senario paling dahsyat itu.

“Saya tidak meramalkan perkara itu akan berlaku tetapi sekalipun jika terdapat kemungkinan hanya 10 peratus untuk senario seumpama itu berlaku, lebih baiklah kita bersiap sedia,” kata pakar tersebut.

- REUTERS
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url