Meningitis - Lima lagi pelatih JPJ dimasukkan ke wad
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, tambahan lima pelatih tersebut sehingga kini menjadikan jumlah keseluruhan pelatih yang menerima rawatan ialah seramai 19 orang.
''Saya mengesahkan hari ini lima lagi pelatih yang dihantar untuk rawatan lanjut di hospital.
''Semua mereka menunjukkan tanda-tanda meningitis dan selepas mendapat arahan pegawai kesihatan, mereka semua dihantar ke hospital,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari.
Solah mengulas perkembangan terkini serangan meningitis yang sehingga kini meragut nyawa seorang pelatih Akademi JPJ, tiga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 85 lagi terpaksa dikuarantin.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi jaminan bahawa jangkitan bakteria meningitis tiada kaitan dengan selesema babi (H1N1) dan virus itu kini terkawal dan boleh dirawat.
Solah dalam pada itu memberitahu, JPJ bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dan telah mengambil semua langkah perlu bagi mengelak virus berkenaan daripada terus merebak.
Kepada soalan status keselamatan Akademi JPJ yang lain, beliau memberi jaminan keadaan semua akademi lain bebas daripada virus tersebut.
''JPJ memberi jaminan bahawa semua akademi lain bebas daripada serangan virus ini tetapi kami tetap mengambil langkah berwaspada.
''Keluarga pelatih juga tidak perlu bimbang kerana keadaan kini terkawal,'' katanya.
Sementara itu, Solah berkata, sehingga hari ini hanya satu keluarga sahaja yang datang melawat anak mereka di Akademi JPJ Tiang Dua.
Katanya, pihak berkuasa memberi kebenaran kepada ahli keluarga pelatih untuk melawat tetapi mereka perlu mengikuti semua prosedur keselamatan yang ditetapkan.
- UTUSAN
ape tanda2 menigtis ek?
hm~~~