AIM ke 16 - Persembahan ringkas dan berkesan
Melangkah ke siri ke-16 penganjuran, Anugerah Industri Muzik (AIM) yang berlangsung saban tahun dilihat tidak pernah lepas dari dihujani pelbagai kontroversi dan sindiran.
Segala-galanya berkaitan majlis termasuk senarai pemenang, pengacara, persembahan artis mahupun perjalanan majlis diberi perhatian yang bukan sedikit.
Biarpun saban tahun disimbahi dengan pelbagai kritikan yang membuka cela AIM itu sendiri, hakikatnya khalayak tidak langsung mengendahkan.
Buktinya, pada Anugerah Industri Muzik ke-16 (AIM 16) yang berlangsung malam Sabtu lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hampir keseluruhan dewan dipenuhi penonton yang hadir memberikan sokongan.
Ini memberikan gambaran bahawa sokongan masyarakat terhadap perkembangan industri muzik masih utuh biarpun terpaksa berdepan dengan zaman kejatuhan yang dalam diam identitinya semakin terhakis diasak arus kemasukan muzik luar.
Seperti tahun lalu, AIM 16 sekali lagi memberi kepercayaan kepada pasangan pengacara Adibah Noor dan Afdlin Shauki dalam mengendalikan anugerah yang bukan sahaja mengangkat martabat para pencipta lagu, malah penyanyi, pencipta lirik dan mereka yang bertungkus lumus dalam menghasilkan karya muzik dan video muzik tempatan.
Bezanya, kali ini pentas AIM 16 dimeriahkan lagi oleh seorang pengacara, Bob Lokman yang sememangnya bukan asing dalam mengendalikan siri anugerah berprestij itu.
Gandingan ketiga-tiga selebriti 'comel' itu sememangnya tidak menghampakan. Masing-masing mempunyai karakter tersendiri, lucu, berpengalaman dan tidak berlebih-lebihan.
Tirai AIM 16 pada malam itu dibuka dengan persembahan penuh bertenaga oleh M.Nasir dengan lagu Langgam Pak Dogo diiringi 100 ahli dikir barat yang memenuhi ruang tengah pentas serta kiri dan kanan laluan tempat duduk penonton.
Ternyata, aura seorang M. Nasir bukan sedikit, lari dari kebiasaannya dalam mempersembahkan nyanyian, impak persembahan yang dilatari kumpulan dikir tersebut berjaya menyuntik rasa di kalangan penonton yang hadir.
Berbeza dengan tahun lalu, ruang pentas yang besar dengan penataan yang tidak disaratkan dengan barisan pemuzik melancarkan perjalanan persembahan yang rata-rata boleh dikatakan memberi kesan tersendiri biarpun nampak minima.
Persembahan Misha Omar misalnya menerusi lagu Cinta Adam dan Hawa begitu memukau dengan mempamerkan kekuatan vokal mantap penuh bertenaga.
Tidak keterlaluan jika dikatakan rata-rata persembahan pada malam kemuncak anugerah tersebut dirasakan begitu terisi dengan alunan lagu-lagu hits terkini yang sarat dijayakan oleh barisan penyanyi yang vokalnya tidak boleh dipandang ringan.
Pujian harus diberikan kepada persembahan yang menggandingkan penyanyi dari dua negara iaitu Faizal Tahir dan Rossa yang berduet menerusi lagu Terlanjur Cinta dan Cuba.
Paduan vokal mantap dua penyanyi ini ternyata menarik perhatian malah, hampir seluruh dewan terkesima disaat menyaksikan aksi mereka melantunkan suara dengan penghayatan yang begitu baik.
Ternyata, pentas AIM bukan setakat menjadi medan memperjuangkan lagu-lagu tempatan tetapi sebagai
jambatan dalam mempromosikan produk muzik tempatan dan kolaborasi dengan artis luar.
Tumpuan seterusnya kepada persembahan yang menggandingkan paduan lima penyanyi wanita yang rata-rata bakat mereka dicungkil daripada program realiti TV iaitu dari One In A Million, Ayu, Shila dan Alyah serta Malaysian Idol iaitu Dina dan Nikki.
Bergandingan menyampaikan lagu Terasing nyanyi Allahyarham Sudirman Arshad yang liriknya ditulis oleh Habsah Hassan, biarpun kelihatan ringkas namun kelima-lima penyanyi itu berjaya memberi jiwa kepada lagu tersebut.
Dalam masa yang sama, ia cukup memberi signal kepada industri bahawa artis-artis realiti yang dilahirkan adalah antara barisan pelapis yang mampu bersaing dalam memartabatkan lagi industri muzik tempatan.
Biarpun industri bagaikan dilimpahi oleh ramai penyanyi realiti TV, namun tidak dapat disangkal ada di antara mereka mampu menyinar.
Bagaimanapun, alangkah manisnya jika lagu Menaruh Harapan yang pernah dipopularkan oleh Zaiton Sameon turut didendangkan kerana ia antara karya hebat yang mengangkat nama Habsah Hassan dalam bidang penulisan lirik.
Di samping berhibur dengan lagu-lagu hits terkini, pentas AIM 16 pada malam itu cuba diputarkan ke zaman yang sedikit ke belakang dengan kemunculan ratu
jazz negara, Datuk Sheila Majid menerusi lagu keramat, Legenda yang ternyata berjaya membangkitkan nostalgia
kepada atmosfera di Dewan Merdeka itu.
Antara lain yang menarik pada malam kemuncak itu ialah persembahan variasi lagu-lagu Cina serta Bangra oleh Man Jiang Hong, Chakra Sonic dan Goldkartz.
Klimaks acara pada malam itu menyaksikan penyandang Artis Baru Terbaik, Meet Uncle Hussain dan pemenang Album Rock Terbaik, Hujan bergandingan di satu pentas menyanyikan medley lagu-lagu mereka antaranya Lagu Untukmu dan Pari-Pari Di Bawah Angin.
Gandingan bertenaga di pentas cukup membuktikan mereka sememangnya layak diberi pengiktirafan memenangi anugerah tersebut. Apatah lagu persembahan kemuncak AIM 16 itu diserikan dengan kehadiran 200 orang peminat setia kedua-dua kumpulan itu.
- UTUSAN