Pengasas DCL bergadai demi membantu kakitangan


Insiden-insiden kecil yang berlaku sepanjang perjalanan hidup kita bagi sesetengah orang tidak memberi kesan apa-apa dan 'membuangnya' ibarat mengibas pasir yang melekat pada hujung seluar.

Namun bagi sebilangan orang lain, melihat insiden kecil itu mampu menjadi pencetus dan inspirasi kepada satu perkara yang lebih besar.

Begitulah juga yang dialami oleh pengasas syarikat jualan langsung terkenal, De' Classic Life (M) Sdn. Bhd. (DCL), Datuk Azlina Che Abdullah sebagaimana yang dikongsi beliau pada majlis Makan Malam Gala DCL 2009 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Subang Jaya, baru-baru ini.

Katanya, kisah 'kecil' yang berlaku pada awal penubuhan DCL itu tidak akan hilang daripada ingatannya sampai bila-bila.

"Waktu itu seorang pekerja datang meminta bantuan kewangan daripada suami (Pengasas DCL 1, Datuk Stapa Omar) untuk membiayai rawatan anaknya yang cedera.

"Disebabkan baru hendak berniaga bukan kata RM3,000, malah RM30 pun belum tentu kami ada untuk membantu ketika itu," ungkap Azlina.

Dek kerana tidak mahu mengecewakan harapan pekerjanya dan permintaan suami, lantas, Azlina pulang ke rumah dan mengambil satu-satunya gelang emas kesayangan untuk digadaikan.

Dari situ beliau mula mengenali kedai pajak gadai dan demi tanggungjawab, rasa malu serta segan dibuang jauh-jauh.

"Malangnya, nilai gadaian gelang tersebut masih tidak mencukupi dengan jumlah yang diminta pekerja tadi. "Waktu itu apa yang saya buat ialah mengambil beberapa produk DCL dan terus memecut ke tempat letak kereta sebuah pasar raya di Taman Permata, Ulu Klang dan menebalkan muka menjualnya kepada orang ramai yang lalu lalang di situ.

"Akhirnya saya berjaya mengumpul jumlah wang RM3,000 dan membawanya kepada suami untuk diserahkan kepada pekerja kami" ujar Azlina mengimbau kenangan lama.

Benarlah sebagaimana sabda Rasullullah SAW: "Tidak akan berkurang harta yang disedekahkan kecuali ianya bertambah-tambah."

Dan selepas satu minggu, kata Azlina, muncul seorang pengedar dari Johor ingin membeli stok sebanyak RM30,000.

"Saya mendapat pengajaran daripada kejadian itu bahawa bersedekah dan membantu insan lain pada ketika diri sendiri juga memerlukan bantuan, memberi nikmat 'kemanisan' yang sukar untuk diungkap dengan kata-kata," katanya yang juga pemegang gelaran Wanita Ikon 2008.

Bertitik-tolak daripada peristiwa itu juga, Azlina dan suaminya, memilih tema The More You Give, The More You Get (Lebih banyak kita memberi, lebih banyak kita akan menerima) bagi malam gala tersebut yang diadakan bertujuan meraikan keseluruhan warga DCL.

"Majlis ini juga adalah salah satu cara bagi kami memberi penghargaan kepada pengedar dari seluruh Malaysia dan juga wakil-wakil dari Indonesia, Thailand, Filipina dan Bangladesh," katanya.

Azlina berkata, seramai 3,500 pengedar tahap tertinggi di peringkat domestik dan juga global serta tetamu khas diraikan dalam suasana penuh gilang-gemilang.

"Lebih istimewa malam ini juga kami ingin memberi penghargaan kepada insan di sebalik kejayaan pengedar. Justeru, beberapa anugerah khas seperti anugerah khas ibu bapa, pasangan dan anak-anak telah diwujudkan," katanya.

Sebagai langkah untuk menjaga kebajikan para pekerja, beliau turut mengumumkan penubuhan Tabung Jihad DCL yang berfungsi sebagai badan kebajikan.

"Sebanyak 0.25 peratus daripada hasil jualan syarikat akan diambil untuk mengisi tabung tersebut dan hasil tabungan akan digunakan untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan bantuan," tambah Azlina.

DCL turut memberi penghargaan kepada kakitangan yang telah berkhidmat lebih daripada 10 tahun di mana masing-masing menerima sebuah kereta Gen2 dan sebuah Range Rover.

Majlis dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Abdul Rahman Mamat. Hadir sama isteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datin Kamarzan Ahmad Meah.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url