Tune tawar sewa bilik RM0.02 semalam

Tune Hotels.com, jenama hotel perkhidmatan terhad, menawarkan kadar sewa bilik dari serendah RM0.02 semalam di hotel-hotelnya di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Kuala Lumpur dan lapangan Terbang KLIA-LCCT mulai hari ini.

"Promosi ini diadakan bagi menyatakan penghargaan kepada tetamu kerana menyokong jenama Tune Hotels.com sejak ia dilancarkan buat kali pertama di Kuala Lumpur dua tahun lalu," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Lankester dalam kenyataannya di sini.

Kadar promosi bagi bilik hotel dari RM0.02 semalam itu boleh dinikmati bagi penginapan di antara 1 Februari hingga 30 April 2010 manakala tempoh tempahan ialah dari 11 hingga 18 Mei 2009.

"Kami menyediakan pilihan yang luar biasa nilainya kepada pengembara yang bijak dalam erti kata mereka memilih apa sebenarnya perkhidmatan tambahan yang mereka perlukan semasa mereka menginap dan membayar hanya jika menggunakan (perkhidmatan itu) mengikut kemampuan mereka," jelasnya.

Meskipun prospek ekonomi suram, namun hotel ini tidak memperlahankan rancangan peluasannya di peringkat serantau.

Dua harta pertamanya di peringkat serantau iaitu Kuta dan Legian, Bali, di bawah jenama Tune Hotels.com akan dibuka dalam suku keempat tahun ini, dengan masing-masing menyediakan 139 bilik dan 170 bilik.

Sementara bagi pasaran domestik, lokasi-lokasi yang sedang dimajukan termasuklah Johor Bahru, Langkawi, Miri dan Sandakan.

"Lebih banyak hotel akan menyusul di peringkat serantau apabila kami memperluas perniagaan melalui francais dan perkongsian di Indonesia, Thailand, India dan China," kata Lankester.

Tune Hotels.com adalah satu rantaian hotel yang sedang berkembang dan mengguna pakai model perkhidmatan terhad yang digunakan oleh syarikat penerbangan tambang murah dan menggunakan sistem tempahan dalam talian layan diri dengan menggalakkan tetamu membuat tempahan awal bagi menikmati harga yang luar biasa rendahnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url