Ulama terajui PAS – Majlis Syura

Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas malam ini memutuskan bahawa pemilihan dua jawatan tertinggi parti itu akan meneruskan keputusan yang telah dibuat pada Muktamar Agung Pas 1982.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din berkata, keputusan muktamar itu ialah Pas akan mengamalkan dasar kepimpinan ulama.

Menurut beliau, keputusan ketetapan itu, telah diterima sebulat suara dan diamalkan dalam pelantikan pemimpin Pas sehingga kini.

“Mesyuarat malam ini kita masih kekalkan dan tidak ada sebarang perubahan. Pas tetap amalkan dasar kepimpinan ulama, tiada perkara yang hendak ditambah.

“Konsep kepimpinan ulama bermakna Presiden, Timbalan Presiden dan ahli jawatankuasa pusat parti akan dipandu oleh Majlis Syura Ulama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas di pejabat parti itu di sini malam ini.

Ditanya, adakah mesyuarat malam ini turut memperincikan perdebatan yang mengatakan bahawa dua jawatan tertinggi parti hanya perlu diisi oleh calon bertaraf ulama, Dr. Haron berkata, perkara itu tidak dibincangkan secara terperinci.

Katanya, Majlis Syura memberi kepercayaan penuh kepada perwakilan di muktamar untuk membuat keputusan terbaik bagi memilih pemimpin.

Menurutnya lagi, Majlis Syura juga memperakui bahawa keputusan yang dibuat oleh muktamar pada 1982 itu hanya boleh dipinda oleh muktamar sahaja.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url