Akademi Polis sedarkan masyarakat
Sebelum ini ada terdengar suara-suara sumbang yang mempersoalkan kredibiliti drama tempatan.
Ada di antara mereka yang bertanya secara sinis adakah drama-drama tempatan sekadar syok sendiri tanpa memberi apa-apa impak atau sumbangan kepada masyarakat.
Tetapi hakikatnya mereka tidak sedar ada yang meninggalkan kesan, malah kesan yang besar sehingga ada drama yang berjaya mempengaruhi ramai remaja untuk memohon pekerjaan sebagai anggota polis.
Kenyataan ini diakui sendiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa drama bersiri tempatan seperti Akademi Polis berjaya membuka minda masyarakat tentang kerjaya sebenar anggota polis.
"Apabila kami membuat pengambilan baru dan bertanya kenapa memilih untuk menjadi polis, ramai yang menjawab mereka tertarik apabila melihat drama seperti Akademi Polis.
"Selain itu, dengan adanya drama sebegini, ia dapat memberi kesedaran kepada orang ramai supaya tidak terlibat dengan jenayah.
"Ia boleh dianggap sebagai salah satu cara untuk mencegah jenayah," ujarnya ketika merasmikan Akademi Polis 4 di Sri Pentas, Petaling Jaya baru-baru ini.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda, Penerbit Akademi Polis, Datuk Yusof Haslam dan Pengarah Akademi Polis, Yusof Kelana.
Akademi Polis yang telah memasuki musim ke empat mula bersiaran sejak 10 Jun lalu setiap Rabu pada pukul 9.30 malam di TV9.
Menurut Bukhari, drama terbitan M. E. Communications ini ternyata mendapat sambutan luar biasa dengan jumlah penontonnya meraih lebih daripada 1 juta orang.
Ujarnya, mereka banyak menerima maklum balas yang positif daripada penonton kerana realiti dunia polis yang ditonjolkan menyedarkan mereka tugas polis bukanlah semudah yang disangka.
"Ada penonton dari kaum India memuji dan menjadi pengikut setia Akademi Polis kerana drama ini telah menyedarkan mereka betapa beratnya tugas sebagai anggota polis.
"Drama bersiri ini dibuat dengan bimbingan daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan para pelakon bekerja keras untuk menghidupkan watak mereka.
"Kisah yang ditonjolkan setiap episod juga kebanyakannya daripada kisah benar dan semasa yang diolah menjadi drama," ujarnya.
Musim keempat, Akademi Polis sekali lagi akan menyelongkar kisah suka duka, kepayahan serta konflik yang terpaksa dilalui oleh setiap watak dalam menjalani kehidupan sebagai anggota polis.
Seperti manusia biasa, mereka tidak dapat lari dari masalah peribadi, perihal hati, serta masalah perhubungan dengan keluarga dan teman-teman.
Malah, drama ini turut menyelitkan pergolakan dan kejadian semasa di Pusat Latihan Polis (Pulapol) dalam kalangan pelatih-pelatih serta paparan aksi ketika pegawai menyempurnakan tugasan dan kes.
Walaupun sentiasa berhadapan dengan pelbagai dugaan dan sarat dengan aksi, Akademi Polis ini turut menyelitkan plot-plot santai seperti kemanusiaan, kekeluargaan, kasih sayang, percintaan dan ada juga terselit adegan yang melucukan.
Antara barisan pelakon yang menghidupkan elemen penting dalam Akademi Polis musim ini ialah Lando, Serina Redzuawan, Raja Azrey, Kaza Saisi, Ozlyn Wati, Kamal Fasha, Sheila Mambo dan ramai lagi.
- UTUSAN