Trend baru pengajian tinggi

28 Jun ini, 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara akan menerima 40,366 pelajar baru bagi sesi akademik 2009/2010.

Menjadi kelaziman saban tahun program seperti perubatan, farmasi, perakaunan dan kejuruteraan terus menjadi rebutan pelajar hinggakan permohonan pengajian kompetitif itu di setiap universiti melebihi tempat ditawarkan.

Namun, tahun ini seakan wujud trend baru dalam bidang pengajian pilihan apabila program bukan berasaskan sains turut mencatat peningkatan memberangsangkan terutama ekonomi dan perniagaan serta seni guna dan kreatif.

Di universiti teknikal yang kebanyakannya terdiri daripada IPTA baru turut mencatatkan lonjakan permintaan dengan bidang pengajian berkaitan perindustrian dan pengeluaran menjadi pilihan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Dr Khairuddin Ab Hamid, berkata perkembangan positif itu petanda bahawa pelajar kini semakin matang dalam membuat keputusan berkaitan bidang pengajian pilihan mereka.

“Analisis data permohonan ke IPTA sebelum ini menunjukkan terdapat kecenderungan pelajar memilih program pengajian kompetitif saja termasuk perubatan, farmasi, perakaunan dan kejuruteraan selain mensasarkan universiti perdana sebagai IPT pilihan utama.

“Saya percaya pendedahan meluas diberikan kepada pelajar mengenai peluang pengajian di IPT menerusi karnival pendidikan termasuk Karnival Pengajian Tinggi - Jom Masuk U antara faktor dikenal pasti membantu pelajar.

“Antara trend terbaru yang ketara adalah peningkatan populariti bidang tidak berasaskan sains seperti seni guna dan kreatif yang membolehkan pelajar bekerja dengan industri sebagai pereka produk seperti telefon bimbit, kereta dan pembungkusan produk,” katanya.

Khairuddin memberi contoh, di Unimas yang menyediakan kira-kira 3,000 tempat, program kewangan serta seni guna dan kreatif mencatat permohonan mendadak.

Sebaliknya, kata beliau, ada sesetengah program bidang sains dan teknologi seperti teknologi maklumat (IT) kurang mendapat sambutan kerana salah tanggapan bahawa terdapat lambakan graduan bagi kursus itu.

“Program pergigian dan kejuruteraan mendapat sambutan melebihi tawaran namun ada juga bidang popular seperti IT yang semakin kurang popular kerana ramai beranggapan sukar mendapat kerja. Hakikatnya mereka perlu bijak memilih kursus yang masih kurang tenaga mahir seperti pemprograman komputer dan perisian,” katanya.

Sementara itu Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang, Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata kecenderungan program pilihan pelajar baru ke universiti teknikal itu tahun ini jelas menunjukkan mereka mengambil kira keperluan terhadap pekerjaan serta kecekapan yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara.

Beliau berkata, di UMP yang menawarkan kira-kira 1,900 tempat bagi program diploma dan ijazah, mencatat permohonan tertinggi termasuk Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) dan Kimia Industri.

Program lain, katanya adalah Kejuruteraan BioMekanikal, Kejuruteraan Kimia dan Gas, Kejuruteraan Kimia (Bioteknologi) dan Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) Bioteknologi Industri .

“Kelima-lima program ini ditawarkan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli serta Fakulti Sains dan Teknologi Industri,” katanya.

Bagi Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Datuk Dr Zainai Mohamed, pula berkata berbeza senario sebelum ini, sambutan pelajar terhadap universiti yang baru tiga tahun beroperasi itu sangat memberangsangkan. Dengan jumlah permintaan seimbang bagi tiga kelompok bidang teras iaitu Keusahawanan dan Perniagaan, Teknologi Kreatif dan Warisan serta Agro-Industri dan Sumber Asli.

Malah, katanya, ramai calon cemerlang dengan purata nilai gred kumulatif lebih 3.00 dan 4.00 menjadikan UMK sebagai pilihan pertama dan kedua dengan jumlah permintaan seimbang bagi tiga kelompok bidang teras ditawarkan.

“Tidak susah mendapat calon bagi kira-kira 700 tempat disediakan untuk lepasan STPM dan Matrikulasi tahun ini, malah ramai calon cemerlang menjadikan universiti ini pilihan, sekali gus menandakan IPTA baru mula menarik perhatian calon.

“Pada tahun ini juga UMK mendapat kelulusan menjadi universiti kedua menawarkan program kedoktoran veterinar selepas Universiti Putra Malaysia dengan pengambilan sulung 40 pelajar,” katanya.

Di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, kira-kira 560 tempat yang ditawarkan bagi pengajian diploma bidang teknologi maklumat dan kejuruteraan berjaya dipenuhi tanpa perlu mencari calon tambahan untuk kursus tertentu.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, berkata ini membuktikan faktor bidang pengajian ditawarkan tertumpu kepada jurusan tertentu saja dan lokasi universiti di kawasan luar bandar tidak menjejas pertimbangan pelajar.

“Kita mengakui pelajar kini semakin bijak memperluas pilihan mereka bukan saja di universiti perdana dan IPTS ternama, malah permohonan program di IPTA baru tidak terjejas,” katanya.

Sementara itu, universiti perdana yang menawarkan pengajian bidang kompetitif mengurangkan tempat bagi kemasukan pelajar ijazah bagi memberi laluan kepada lebih ramai pelajar pascasiswazah,.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin, berkata daripada lebih 3,000 tempat ditawarkan, empat bidang pengajian kritikal dikekalkan kuota pengambilan iaitu perubatan, pergigian, farmasi dan undang-undang.

“Hanya kuota bidang kritikal dikekalkan, manakala tempat bagi program pengajian siswazah lain dikurangkan sebanyak 10 peratus bagi membolehkan pengambilan lebih ramai pelajar pascasiswazah sejajar hasrat menggalakkan lebih banyak tenaga pengajar berkelulusan ijazah doktor falsafah,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url