Manfaatkan minggu orientasi sebaik mungkin
Presiden Persatuan Universiti-Universiti Malaysia merangkap Presiden Persatuan Kaunseling Universiti Awam Malaysia, Tan Sri Dr Nordin Kardi, berkata sebaliknya mahasiswa baru perlu memanfaatkan minggu pertama di menara gading sebaik mungkin untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus serta memahami sistem pengajian universiti.
Katanya, kegagalan berbuat demikian dikhuatiri akan menjejas perjalanan akademik pelajar di kemudian hari kerana tidak begitu memahami suasana kampus yang menuntut mahasiswa banyak berdikari.
“Kejayaan mendapat tempat di universiti awam sememangnya satu pencapaian besar bagi kebanyakan pelajar, namun kebanggaan ini sering memerangkap mereka.
“Hakikatnya, menjalani pengajian di IPTA adalah cabaran besar dan seharusnya tiada tempoh bulan madu apabila bergelar mahasiswa.
“Mereka perlu belajar menyesuaikan diri dengan kehidupan baru di universiti secepat mungkin kerana apabila selesai saja minggu suai kenal dan mula menghadiri kuliah, dikhuatiri tiada masa lagi bagi mereka mengambil tahu perihal asas dan penting mengenai sistem pengajian IPTA masing-masing ,” katanya.
Nordin berkata, antara maklumat penting perlu didedahkan pelajar baru adalah mengenai mata pelajaran diambil, sistem semester, sistem penilaian, kaedah pengiraan purata nilai gred semester serta purata nilai gred kumulatif (PNGK) dan soal kewangan termasuk bagaimana mendapat pinjaman Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.
Katanya, pelaksanaan ketika ini iaitu menerusi ceramah yang membabitkan kumpulan besar dikhuatiri membosankan dan tidak memberi peluang secukupnya pelajar mengajukan persoalan.
Beliau memberi contoh, sistem penilaian berasaskan perkiraan PNGK perlu difahami pelajar bagi mengelakkan mereka lalai dan beranggapan hanya pencapaian tahun akhir pengajian menjadi pengukur utama prestasi di universiti.
“Sistem ini umpama kolam, jika awal-awal lagi sudah cetek, pada akhirnya sukar untuk memenuhkannya, begitu juga PNGK jika semester satu lagi sudah mendapat gred rendah, kemudian harinya nanti sukar untuk meningkatkannya,” katanya.
Selain itu, katanya, pelajar perlu mengambil tahu mengenai masa depan boleh dibina menerusi program pengajian diambil supaya mereka belajar dengan mempunyai hala tuju dan objektif kerjaya yang jelas.
Beliau berkata, menerusi pendedahan meluas mengenai peluang kerjaya di awal pengajian itu, pelajar bukan saja boleh merancang kerjaya dalam negara malah merentasi sempadan negara.
“Mahasiswa perlu mendapat pendedahan peluang kerjaya berpotensi dibina supaya mereka bukan setakat bergelar profesional dalam negara malah mampu bersaing di persada antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada lebih banyak aliran masuk mata wang negara asing,” katanya.
Nordin juga berharap lebih ramai pelajar datang mendaftar secara sendiri tanpa ditemani keluarga kerana dari saat pendaftaran itu pelajar seharusnya mula berdikari sesuai tuntutan semasa supaya mahasiswa lebih berdaya saing bagi membolehkan menjadi warganegara dunia.
- BERITA HARIAN