Asma' menaikkan semangat berjuang
Dia selalu menjadi tumpuan kaum ibu untuk menyampaikan keinginan dan tuntutan mereka kepada nabi Muhammad.
"Wahai Asma', kami ingin meminta pertolongan kamu untuk berjumpa dengan Rasulullah dan bertanyakan sesuatu kepada beliau.
"Oleh sebab kamu mempunyai keberanian dan kepandaian berkata-kata, kami percaya kamu boleh menyampaikan apa yang tersirat dalam hati kami kepada Rasulullah," luah salah seorang wanita Ansar yang datang berjumpanya di rumahnya.
"Apakah yang kamu ingin saya tanyakan pada rasulullah?" Asma' kelihatan bersetuju dengan permintaan kumpulan wanita yang datang berjumpanya.
Asma' mendengar luahan hati kumpulan wanita dengan tekun dan penuh perhatian. Dia kelihatan bersetuju dengan pandangan kumpulan wanita dan menyatakan persetujuan untuk berjumpa dengan Nabi Muhammad untuk mendapatkan jawapan bagi persoalan yang ditujukan oleh kaum wanita itu.
Dia pun memakai pakaian yang sesuai lalu bergegas keluar dari rumahnya mengiringi kumpulan wanita itu pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad.
Dia bersama kumpulan wanita itu berjalan keluar mencari Nabi Muhammad. Tiba-tiba dia ternampak nabi Muhammad bersama para sahabat sedang duduk berbincang. Dia meminta kumpulan wanita itu menunggunya sementara dia pergi berjumpa Nabi Muhammad.
"Ya Rasulullah, saya mewakili kaum wanita di sini ingin bertanya sesuatu kepada kamu. Setiap seorang dari mereka berkata dan berpendapat sama seperti pendapat saya.
"Bukankah Allah telah mengutus kamu untuk semua umat manusia, tidak kira lelaki atau wanita. Kami percaya dengan kamu dan beriman kepada Allah.
"Kami kaum wanita rasa tersisih, tidak sama dengan kaum lelaki. Kami golongan yang serba terbatas dan terkurung. Kerja kami hanya menjaga rumah mereka, memelihara dan mengandung anak mereka serta tempat melepaskan nafsu kaum lelaki.
"Kami tidak diberi peluang untuk mengerjakan sebagaimana yang diberikan kepada kaum lelaki. Kami tidak diberikan kesempatan untuk mendapatkan pahala seperti solat Jumaat, menziarahi orang sakit, menyaksikan pengkebumian, menunaikan haji dan amalan yang paling utama iaitu berjuang pada jalan Allah.
"Apabila kaum lelaki keluar berjihad, maka kaum wanita menjaga harta, menjahit pakaian dan menjaga serta mendidik anak. Apakah kami juga akan mendapat jihad seperti mereka juga?" jelas Asma' kepada Nabi Muhammad.
Nabi Muhammad menolehkan wajahnya kepada para sahabat yang berada bersamanya. Beliau menatap setiap wajah mereka sebelum bertanya sesuatu kepada mereka semua. Ada yang kelihatan terkejut mendengar kata-kata Asma' itu.
"Pernah kamu semua mendengar pertanyaan yang lebih baik dalam soal-soal agama selain dari Asma," tanya Nabi Muhammad untuk melihat reaksi para sahabat.
"Ya Rasulullah, kami tidak pernah terfikir dan menyangka bahawa Asma' akan mengajukan soalan seperti ini." jawab mereka dengan spontan.
"Pulang dan beritahu kepada kaum wanita bahawa layanan yang mereka berikan kepada suami mereka, usaha mereka mendapat redanya dan mengikutinya adalah menyamai semua yang dilakukan oleh suami mereka," kata nabi Muhammad yang menoleh ke arah Asma'.
"Terima kasih di atas jawapan kamu, ya Rasulullah". Hati Asma' berasa gembira mendengar kata-kata Nabi Muhammad.
Asma' berlari ke arah kumpulan wanita yang menunggunya dengan penuh sabar. Dia menyampaikan berita gembira itu kepada kumpulan wanita itu. Mereka semua berasa sangat gembira dan menyebarkan berita itu kepada semua kaum wanita Islam di kota Madinah.
Asma' juga telah menunjukkan keberanian dalam Perang Yarmuk menentang pasukan tentera Rom.
Khalid al- Walid menempatkan kaum wanita di belakang dua barisan pasukan tentera Islam yang sedang bertempur.
"Jika ada tentera Islam yang melarikan diri dari medan pertempuran, bunuhlah mereka," perintah Khalid al-Walid kepada kaum wanita yang memegang pedang dan senjata lain mengawasi bahagian belakang pasukan mereka.
Kaum wanita yang ditempatkan di kawasan tinggi di belakang pasukan tentera Islam mengawasi apa yang berlaku di medan pertempuran.
Mereka melempar batu kerikil dan memukul dengan kayu siapa sahaja tentera Islam yang cuba berundur dari medan pertempuran.
Mereka juga menghina tentera Islam yang cuba melarikan diri sehingga mereka kembali semula ke posisi untuk bertempur dengan tentera Rom.
Kaum wanita juga turut bertempur menyertai pasukan hadapan tentera Islam apabila pasukan musuh berjaya menembusi pertahanan pasukan tentera Islam.
Antaranya ialah Ummu Hakim yang bertempur dengan pihak musuh menggunakan pedang sehingga berjaya membunuh beberapa orang tentera Rom.
Begitu juga dengan Juwariyah binti Abu Suffian yang bergabung dengan suaminya lalu bertempur dengan pihak musuh sehingga mengalami luka.
"Wahai tentera musuh, jangan kamu ingat kaum wanita ini lemah dan boleh diperbudakbudakkan kami. Lihat apa yang kami boleh buat pada kamu!" kata Asma' untuk memberikan semangat kepada kaum wanita yang berjaga-jaga dari serangan tentera Rom.
"Asma', ada tentera musuh cuba masuk ke kawasan khemah kita!" jerit salah seorang wanita Muslim tidak jauh daripadanya.
"Adakah kamu semua rela menjadi tawanan pihak tentera musuh? Adakah kamu dan anak-anak kamu sanggup menjadi hamba kepada mereka?
"Sesungguhnya saya lebih rela mati menentang mereka dari menjadi tawanan mereka," Asma' terus berpidato meniupkan kata-kata semangat kepada kaum wanita supaya bangun menentang pihak musuh.
Kemudian dia memberi arahan kepada kaum wanita agar mengambil tiang-tiang penyangga khemah dan pasak-pasak tempat penambat tali. Asma' berteriak sekali lalu menyerbu ke arah tentera musuh, diikuti oleh kaum wanita yang lain. Mereka menyerang tentera musuh dengan satu tekad iaitu membunuh seberapa ramai tentera musuh.
"Pukul kepala dan badan mereka!" jerit Asma' yang memukul dan membelasah tentera Rom dengan tiang penyangga khemah.
Asma' berjaya membunuh sembilan orang tentera Rom. Tentera Rom yang cuba menyelinap dan menangkap kaum wanita Islam terpaksa berundur apabila melihat keberanian serta kegagahan kaum wanita Islam menentang mereka.
Mereka tidak menyangka kaum wanita Islam tidak gentar untuk menentang mereka walaupun hanya bersenjatakan tiang penyangga khemah dan pasak tempat penambat tali.
- UTUSAN