Forum - Harapan kecewa gara-gara sistem online UPU

Saya adalah pemegang diploma dalam jurusan Teknologi Maklumat dengan Himpunan Purata Mata Kredit (CGPA) 3.84 daripada salah sebuah kolej terkemuka di Malaysia. Saya bercita-cita ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di IPTA.

Pada masa yang sama, saya juga telah menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2008 sebagai calon persendirian individu, sekadar ingin mencuba nasib.

Nasib malang saya bermula apabila saya ingin membuat permohonan kemasukan ke IPTA menerusi sistem online UPU pada bulan Januari dan Februari lepas.

Apabila saya memasukkan nombor myKad, sistem tersebut telah secara automatik meletakkan kategori permohonan saya kepada S, iaitu kod kategori untuk pemohon lepasan STPM 2008 aliran sains, bukannya kategori E iaitu kod kategori untuk pemohon lepasan Diploma/setaraf aliran Sains, sedangkan saya bercadang untuk memohon menggunakan kelulusan diploma saya yang jauh lebih baik berbanding keputusan STPM saya.

Sistem tersebut tidak membenarkan saya menukar kod kategori dan memaparkan ralat yang menghalang saya memasuki sistem. Setelah berpuluh kali menelefon talian hotline Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP), panggilan saya dijawab oleh seorang pegawai yang bersikap endah tak endah kepada masalah saya.

Menurut pegawai tersebut tiada apa yang dapat dilakukan kerana sistem tersebut telah disetkan secara automatik.

Jawapan pegawai tersebut benar- benar meremukkan hati saya. Apa yang berlaku kepada saya, mungkin adalah kes terpencil dan dianggap remeh oleh ramai pihak, namun saya masih punyai hak yang sama seperti pemohon yang lain.

Saya berharap pendedahan ini mampu membantu pihak BPKP mengemaskini dan membetulkan sistem online UPU dengan segera, iaitu membiarkan pemohon sendiri yang menentukan kategori pemohon agar tiada lagi pemohon yang akan menerima nasib yang sama seperti saya di masa hadapan.

PEMOHON KECEWA
Taiping, Perak

- FORUM UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url