Guna pendekatan hikmah dalam dakwah
Ini kerana seperti yang didedahkan oleh pendakwah, Ann Wan Seng, yang mendapati kaum Cina Muslim dari Tanah Besar China adalah pendakwah yang sebenarnya paling berperanan membawa masuk Islam ke Tanah Melayu seawal abad ke 10 atau 11 Masihi lagi.
Katanya, jika Islam telah sampai ke negara China sejak 1400 tahun lalu, iaitu sebelum umat Islam berhijrah dari Mekah ke Madinah, tentunya kita boleh membuat satu andaian bahawa Islam kemudiannya tersebar ke Tanah Melayu melalui Tanah Besar Cina lebih awal berbanding pendakwah-pendakwah dari Tanah Arab yang didakwa yang mula-mula mengislamkan Tanah Melayu ini.
"Ditambah dengan banyak bahan sejarah termasuk catatan dan batu-batu bersurat yang menyokong kepada teori ini masih banyak belum dikaji.
"Namun saya yakin bahawa bangsa Cina mempunyai pengaruh yang cukup besar dan signifikan dalam soal dakwah dan penyebaran Islam berbanding hanya golongan yang baru memeluk Islam di negara ini.
"Jadi siapa sebenarnya yang mualaf di negara ini, anda atau saya? Anda fikirkanlah sendiri!," katanya sambil mengajuk pelawak Nabil yang mempopularkan tag line "Lu fikirlah sendiri!" itu.
Kata-kata akhirnya itu merupakan antara yang menjadikan Konvensyen Dakwah Negara (KPN) selama dua hari di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur baru-baru ini begitu hangat dan menarik.
Konvensyen itu dihadiri oleh kira-kira 700 peserta terdiri daripada individu-individu pendakwah dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini komited melakukan pelbagai aktiviti dakwah di negara ini.
Wan Seng yang juga Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) bercakap soal etika atau tata kerja pendakwah supaya mereka melaksanakan dakwah mereka dengan penuh hikmah.
Ini kerana pengalaman menunjukkan kebanyakan pendakwah menggunakan pendekatan mendakwa berbanding berdakwah itu sendiri.
Kualiti hidup
"Memburuk-burukkan cara hidup mereka yang walaupun mungkin ada kebenarannya menyebabkan sasaran dakwah itu akan lari.
"Malah menuduh mereka sebagai kafir juga kadang kala mempunyai konotasi yang dianggap sangat menghina mereka.
"Apa yang penting kita mesti tonjolkan kebaikan Islam itu sendiri. Jangan bimbang orang Cina merupakan bangsa yang mempunyai fikiran terbuka," katanya.
Beliau sebenarnya menjawab soalan dari pakar motivasi, Datuk Dr. Fadzillah Kamsah yang berhadapan dengan persoalan sesetengah kaum Cina di negara ini yang tidak dapat menerima Islam.
Ini kerana golongan berkenaan membandingkan kualiti hidup kalangan Melayu beragama Islam itu.
KPN adalah anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT).
Ia dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom dengan bertemakan 'Wahdah Pemangkin Khaira Ummah'.
Wakil Pertubuhan Dakwah yang terkenal dari Sarawak, Harakah Islamiah (HIKMAH) pula membangkitkan mengenai tindakan pantas lagi cekap pertubuhan dakwah bukan Islam menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa musibah dan kemalangan seperti yang berlaku baru-baru ini di Kuching.
Ini apabila kebakaran yang melibatkan sebuah perkampungan Melayu tetapi yang lebih awal datang menghulurkan bantuan kepada mangsa adalah pertubuhan bukan Islam.
Dalam hal ini, Wan Seng bersama dua lagi ahli panel forum di konvensyen itu, Nicholas Berry Sylvester Muhamad Abdullah dan Muhammad Fitri Abdullah tidak menafikan tawaran berbentuk wang dan bantuan dari pihak 'pesaing' ditambah dengan tindakan pantas dan cekap mereka sedikit sebanyak boleh menghalang usaha-usaha dakwah Islam.
Wan Seng mendedahkan, kini tidak sahaja pertubuhan gereja yang sering kali dianggap menggunakan tarikan wang dan bantuan malah kalangan pertubuhan Buddha turut mengambil pendekatan yang sama.
"Umpan seperti ini memang menjadi satu cabaran yang sangat getir tetapi saya percaya kebenaran akan mengatasi segala-galanya. Walaupun begitu kita juga mesti bersedia dari aspek yang sama, kerana telah ada peruntukan seperti asnaf zakat dan sebagainya yang boleh kita manfaatkan," katanya.
Wakil HIKMAH juga memberitahu bahawa, terdapat lebih 50 etnik kaum di seluruh Sarawak tetapi sehingga kini dakwah-dakwah Islam hanya dapat memasuki 1/3 sahaja dari kawasan-kawasan yang didiami etnik yang masih mempercayai pelbagai kepercayaan pagan atau animisme itu.
Ini kerana kos yang tinggi di samping diharapkan dengan adanya Radio Jakim iaitu Salam FM dapat dimanfaatkan dalam usaha dakwah. Lebih-lebih lagi jika ada slot yang ke udara menggunakan loghat atau bahasa daerah seperti Iban, Bajau dan sebagainya.
Turut dibangkitkan adalah pendekatan berdebat seperti yang dilakukan oleh pendakwah terkemuka Allahyarham Sheikh Ahmed Hussein Deedat terutama dengan pendukung-pendukung dakwah Kristian dapat diguna pakai dalam menjayakan misi dakwah Islam di negara ini.
Dalam hal ini, Nicholas berkata, pendekatan seperti itu dikira kurang sesuai sebagai satu uslub dakwah yang strategik. Sebabnya, bangsa-bangsa asing yang mendiami negara ini lazimnya lebih mudah didekati dengan cara yang sederhana atau lebih baik lagi menggunakan kaedah dakwah bil hal, iaitu dengan contoh.
"Dengan cara itu adalah lebih baik lagi berbanding kita berdebat bagi mengelakkan suasana yang tidak harmoni," katanya.
Terdapat juga peserta yang bertanyakan masalah yang dihadapi dalam berdakwah terutama terhadap bangsa Cina dan India di negara ini kerana usaha itu sering disalah faham oleh parti-parti politik yang mewakili kaum-kaum tersebut.
Berbanding jika usaha dakwah dilakukan terhadap penduduk atau kaum Asli di negara ini yang kurang risiko dari menerima tentangan dari mana-mana pihak.
Ini sebagaimana yang disuarakan oleh pendakwah wanita terkenal negara, Dr. Fatma Al Zahraa yang ingin mendapatkan kepastian sama ada umat Islam ini dibenarkan untuk mengajak kepada Islam kepada mereka yang bukan Islam di negara ini.
"Ini kerana saya dapati banyak pihak yang memberitahu kita tidak boleh berbuat demikian malah di kalangan umat Islam sendiri meminta saya supaya tidak secara terang-terangan berdakwah kepada bukan Islam kerana dari aspek undang-undang, usaha ini tidak dibenarkan.
"Benarkah begitu?" tanya Dr. Fatma.
Wan Seng bagaimanapun menjelaskan Perlembagaan Persekutuan negara tidak menghalang usaha-usaha dakwah dilakukan terhadap bukan Islam di negara ini.
Begitu juga dengan faktor politik, ia bukan menjadi alasan kepada umat Islam untuk mengehadkan usaha dakwah walaupun tidak dinafikan ia mungkin mempunyai risiko keselamatan yang tinggi.
"Tetapi adalah lebih penting usaha berterusan bagi menjelaskan mengenai Islam malah sebenarnya sudah ada pihak yang menaruh minat untuk mengenali Islam sehinggakan mereka mempelajari al-Quran dan cuba mengambil pengajaran dari kitab suci itu untuk dikongsi bersama dengan orang lain.
"Jadi, kita tidak boleh menghalang minat-minat yang besar terhadap Islam walaupun ia berbaur kepentingan politik," katanya.
Sementara itu, pendakwah yang mewakili kaum India, Muhammad Fitri dalam kertas kerjanya tidak menafikan usaha-usaha untuk menyebarkan Islam di kalangan bukan Islam menjadi semakin kompleks dan rumit pada hari ini.
"Namun jika para pendakwah mengenali agama dan adat budaya dan resam kumpulan sasaran, kita mendapati usaha yang mulia ini akan menjadi lebih mudah kerana saling memahami perbezaan yang ada mampu mewujudkan hubungan yang harmoni," jelasnya.
Melalui hubungan yang murni, kata Muhammad Fitri, sehingga ke peringkat umat Islam atau pendakwah Islam mengambil inisiatif menziarahi mana-mana penganut Hindu yang meninggal dunia sudah cukup menjadi satu daya tarikan untuk mereka melihat Islam itu sebagai agama yang sempurna dan indah!
"Jika penganut Hindu memahami dan mendalami agama mereka sendiri, mereka akan menyedari mereka sebenarnya telah salah faham terhadap agama mereka itu.
"Pada hakikatnya agama Hindu adalah antara agama yang terawal berbicara mengenai soal tauhid dan keesaan tuhan yang satu (Eka Tuam).
"Agama ini menjadi menyimpang kerana ia telah diubah mengikut cita rasa dan keperluan semasa," kata Muhammad Fitri.
Konvensyen ini pastinya membuka banyak lembaran baru dalam dunia dakwah tanah air. Sebabnya terdapat banyak input baru yang mampu menyuntik semangat kepada para pendakwah untuk tidak sahaja mengukuhkan Islam namun yang penting membetulkan pelbagai salah faham serta menghilangkan Islamphobia terutama di kalangan bukan Islam.
Namun seperti yang disuarakan oleh Pegawai Eksekutif Dewan Pemuda Masjid Malaysia, Mohd. Taqiuddin Abdullah, beliau mengharapkan agar di masa akan datang, pihak penganjur akan mengadakan sesi dialog bersama menteri yang berkenaan.
"Ini bagi membolehkan kita dapat berkongsi banyak perkara di samping menteri dan pihak-pihak yang berkaitan dapat lebih memahami dan menyelami masalah yang dihadapi oleh para pendakwah Islam di negara ini.
"Seterusnya mereka dapat memberikan jalan keluar atau bersama-sama untuk menyelesaikan sesuatu isu dan masalah yang berlaku," katanya.
- UTUSAN