Top Ad 728x90

,

Dilema 200 tahun Kg. Buah Pala

Kampung Buah Pala, sebuah perkampungan penternakan lembu yang juga dikenali sebagai High Chaparral Pulau Pinang ini sememangnya mempunyai signifikan tersendiri di kalangan penduduk Pulau Pinang.

Perkampungan flora yang terletak di atas sebuah bukit kecil di Bukit Gelugor ini didiami lebih daripada 65 keluarga dan sudah menempat di situ sepanjang lima generasi serta hampir 200 tahun.

Menurut sejarah, tanah Kampung Buah Pala dipunyai oleh keluarga Brown (sebelum merdeka), sebuah keluarga British yang kemudian menyerah tanah itu kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai pemegang amanah.

Pada tahun 1999, penduduk-penduduk Kampung Buah Pala telah menyeru kerajaan negeri untuk mewartakan tanah mereka sebagai tanah sebuah kampung tradisi Tamil sebagai simbol budaya nasional.

Kini, sejarah High Chapparal ini akan terkubur begitu sahaja apabila usaha-usaha penduduk kampung ini untuk terus mempertahankan kampung mereka daripada aktiviti pembangunan akhirnya menemui penamat apabila rayuan mereka di Mahkamah Rayuan ditolak dan kekal dengan keputusan arahan untuk mengosongkan kediaman mereka sebelum 2 Julai ini.

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan isu perkampungan ini, pastinya akan bersetuju sekiranya ada pernyataan mengatakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang lebih cenderung memilih untuk berdiam diri dalam usaha untuk menamatkan konflik ini.

Kesungguhan kerajaan negeri hanya terserlah melalui penubuhan jawatankuasa siasatan melibatkan penyelewengan dalam penukaran hak milik tanah berkenaan dan itu hanya dilakukan selepas 14 bulan YAB Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri serta selepas selesainya Pilihan Raya Parlimen Permatang Pauh dan Dewan Undangan Negeri Penanti.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh (Malaysiakini, 12 Jun 2009) menyatakan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat boleh membuat kaveat terhadap tanah berkenaan. Ini secara langsung akan memberikan ruang masa yang banyak kepada semua pihak untuk mencari penyelesaian. Soalnya, mengapa kerajaan Pakatan Rakyat tidak mengarahkan Pejabat Tanah untuk menkaveatkan tanah berkenaan?

Ketua Menteri Pulau Pinang dengan kuasa eksekutifnya di bawah Seksyen 76 (a) Kanun Tanah Negara (KTN) dan Akta Pengambilan Tanah (Land Acquisition Act) boleh mengambil semula serta melindungi tanah berkenaan demi kebaikan rakyat. Mengapa tidak berbuat sedemikian?

Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-64 pada 23 Disember 2008 telah menetapkan bahawa amalan-amalan berikut sebagai dasar pemberimilikan tanah secara selama-lamanya (perpetuity) dalam keadaan-keadaan khas menurut seksyen 76(aa) KTN:

Pemberimilikan tanah kerajaan untuk tempoh pegangan selama-lamanya melalui Peruntukan-peruntukan Khas di bawah Bahagian Dua Belas, Kanun Tanah Negara 1965 - Serahbalik dan Berimilik Semula. Jika hak milik asal adalah pegangan selama-lamanya maka apabila hak milik itu diserahkan kepada kerajaan dan diberi milik semula kepada tuan punya tanah adalah menjadi tanggungjawab mandatori Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk memberi milik semula untuk tempoh pegangan selama-lamanya;

Sekiranya pemberimilikan untuk pegangan selama-lama di dalam keadaan-keadaan khas yang tertentu adalah diperlukan (special circumstances), maka kerajaan negeri adalah dinasihati supaya merujuk kepada Majlis Tanah Negara untuk mendapatkan persetujuan.

Apakah kerajaan negeri telah merujuk permasalahan ini kepada pihak Majlis Tanah Negara dalam usaha untuk membantu mendapatkan semula tanah berkenaan?

Walaupun kerajaan negeri menunjukkan perasaan kemanusiaan terhadap penduduk-penduduk ini melalui jaminan akan mencarikan penempatan lain kepada mereka namun apa erti sebuah rumah baru berbanding sebuah sejarah berusia 200 tahun?

EDWIN MICHAEL
Butterworth, Pulau Pinang

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90