Top Ad 728x90

Keupayaan Measat-3a tingkat perkhidmatan ICT teruji 22 Julai

Dr Ali R Ebadi nyata gelisah hari itu. Laporan cuaca yang diterima cuaca buruk, awan gelap benar-benar membimbangkannya. Adakah usahanya kali ini akan 'gagal' sekali lagi?

Tahun lalu, usaha kerasnya tidak kesampaian. Walaupun bukan kerana masalah cuaca, tetapi disebabkan kerosakan teknikal, dia terpaksa menunggu hampir setahun untuk melihat hasil kerjanya membuahkan hasil.

Kira-kira jam 5.50 pagi atau lebih tepat jam 5.52:29 pagi, 22 Jun 2009, Dr Ali sudah mampu tersenyum. Hasil kerjanya, satelit telekomunikasi keempat milik Measat Satellite Systems Sdn Bhd (Measat), berjaya dilancarkan dengan jayanya dan seperti yang dijadualkan, satelit itu memasuki ruang orbit selepas enam jam 25 minit ia dilancarkan.

Kegembiraan Dr Ali dikongsi seluruh anggota pasukannya, termasuk Mohd Muzaini Mohammud, Penolong Jurutera Kanan Measat yang tiba dua minggu lebih awal di tapak pelancaran satelit di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan, bagi memastikan segala persiapan berjalan lancar selain warga Measat serta rombongan delegasi Malaysia, yang menyaksikan detik bersejarah itu.

Naib Presiden Kanan, Pembangunan Sistem Angkasa Measat itu terfikir untuk menangguhkan pelancaran satelit itu beberapa jam sebelum waktu yang ditetapkan gara-gara laporan cuaca buruk yang diterima.

Awam hitam dan ribut taufan di laluan yang akan dilalui satelit itu pasti akan menggagalkan usaha menghantar satelit Measat-3a (M3a) ke orbit. Satelit yang dilancarkan di atas kenderaan pelancaran Zenit 3-SLB Landlaunch itu mungkin tidak mampu menempuh halangan yang ada atau satelit mungkin akan rosak.

Mujur, pada jam 11 malam (waktu Baikonur) atau 1 pagi waktu Malaysia, kira-kira empat jam sebelum waktu pelancaran, cuaca berubah. Tiada lagi awan hitam, ribut taufan juga sudah berlalu. Lampu hijau diterima pasukan Dr Ali untuk meneruskan pelancaran berkenaan.

Kira-kira enam jam 25 minit dari detik ia dilancarkan, satelit itu berjaya memasuki ruang orbit. Ketika artikel ini ditulis, M3a dikatakan berada di orbit pemindahan 91.4 longitud Timur. Di kedudukan ini, M3a akan menjalani pelbagai ujian. Ujian ini dijangka selesai dalam minggu ketiga Julai dan selepas itu akan berpindah ke orbit sasaran 91.5 longitud Timur, seiringan dengan satelit terdahulu milik Measat, Measat 3, di kedudukan 35.786 kilometer (km) dari bumi dengan kelajuan orbit 11,068km sejam.

"Jika segala-galanya berjalan lancar, M3a akan mula berfungsi pada 22 Julai 2009 dan membolehkan Measat memberi perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta penyiaran dan televisyen berasaskan konsep Terus Ke Rumah (DTH), yang lebih berkesan kepada pengguna," kata Ketua Pegawai Operasi Measat, Paul Brown-Kenyon.

Satu kenyataan yang mungkin terlalu 'besar' buat pengguna. Bahasa mudahnya, liputan telefon bimbit oleh syarikat telekomunikasi akan lebih meluas dan siaran satelit yang kini disediakan Astro akan dapat disaksikan dengan lebih selesa -tanpa gangguan ketika hujan.

Ini yang dijanjikan Astro dengan pelancaran M3a. Syarikat itu berkata, masalah transmisi siaran Astro dijangka dapat dikurangkan sehingga 30 peratus apabila M3a mula berfungsi.

Satelit seberat 2,417 kilogram (kg) itu dibangunkan Orbital Sciences Corp, Dulles, Amerika Syarikat, dengan kos AS$165 juta (RM577.5 juta). Ia direka bentuk untuk beroperasi seiring satelit komunikasi M-3 dengan tambahan 24 penerima isyarat (transponder) - 12 jalur KU dan 12 Jalur C kepada 48 penerima isyarat M3 sekali gus menyokong industri ICT yang semakin berkembang dan membangunkan industri penyiaran dan televisyen berasaskan konsep DTH.

Sebagai pembekal perkhidmatan komunikasi satelit kepada syarikat peneraju penyiaran di Asia, platform DTH dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi, pelaburan jangka panjang Measat bagi meningkatkan kapasiti satelit baru amat penting bagi memastikan syarikat terus mendapat sokongan daripada pembangunan industri ICT tempatan, pada masa yang sama mengukuhkan kedudukan dalam industri satelit antarabangsa.

Kemudahan ini pastinya dinanti-nantikan pengguna. Namun, pengguna harus menunggu sehingga 22 Julai ini. Ketika ini, satelit itu sedang menjalani proses penyesuaian dan penyelarasan fungsi, dikendalikan oleh pasukan di Dulles, Amerika Syarikat dan pasukan teknikal serta jurutera tempatan di Cyberjaya.

Beberapa jam sebelum penulis bertolak ke Lapangan Terbang Domodedovo, Moscow untuk pulang ke tanah air, Dr Ali menghampiri penulis dan memaklumkan satelit itu berada dalam keadaan baik.

Harapannya, satelit itu dapat memasuki orbit sasarannya mengikut jadual dan berfungsi dengan baik. Begitu juga harapan kita semua sebagai pengguna.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90