UMNO perlu 'dakwah' Pas untuk kestabilan

Oleh ROSLEE MARDAN
Pegawai Eksekutif
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Cadangan pembentukan kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghangatkan politik negara sejurus selepas menutup sidang Muktamar Pas ke-55 di Stadium Malawati Shah Alam baru-baru ini. Banyak pihak yang berfikiran skeptikal atau sangsi dan tidak kurang yang memandang positif cadangan beliau itu.

Apa pun, sehingga kini Presiden Pas itu belum tampil untuk memberi sebarang penjelasan susulan, sekurang-kurangnya memberi gambaran awal konsep kerajaan perpaduan yang diketengahkannya.

Tentu rakyat inginkan perpaduan. Malah niat untuk bekerjasama merupakan langkah yang terbaik bagi meredakan ketegangan politik sehingga mencalar proses demokrasi negara kita. Bagaimanapun, pada pandangan penulis, di saat cadangan ini dikemukakan, Pas seakan-akan tersilap langkah dan tidak mengambil kira kedudukannya dalam parti pembangkang yang mana Pas bukanlah parti utama dalam pakatan pembangkang.

Tidak ada siapa akan mendengar seruan Pas di kalangan parti-parti pembangkang malah awal-awal lagi Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tegas dengan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan UMNO atau Barisan Nasional (BN).

Walaupun mendapat bantahan hebat daripada pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang, Pas kini seolah-olah memekakkan telinga kerana Abdul Hadi dilihat masih mendapat sokongan daripada Timbalan Presiden dan sayap-sayap parti seperti Dewan Pemuda Pas.

Banyak pandangan yang menganggap perkara yang diutarakan oleh Pas sesuatu yang positif demi kepentingan rakyat dan negara. Sama ada ia mampu direalisasikan tentulah amat sukar selagi Pas tidak direstui oleh sekutunya dalam pakatan pembangkang.

Jika benar Presiden Pas ikhlas dan komited dengan gagasan kerajaan perpaduan itu, Hadi perlu mempertimbangkan kenyataan Karpal Singh tentang kedudukannya dalam pakatan pembangkang. Jika tidak, kerajaan perpaduan hanya sekadar menjadi irama politik Pas yang tidak ada kesudahannya.

Dalam hal ini, penulis amat yakin bahawa Pas terasa berat hati untuk mengorak langkah bagi meneruskan cadangannya. Oleh demikian memandangkan ada pemimpin UMNO serta rakyat yang cenderung menyambut baik hasrat Pas itu, maka UMNO perlu dilihat sebagai pihak yang perlu memainkan peranan utama bagi merealisasikan kerajaan perpaduan sungguhpun ia bukan idea asal daripada UMNO.

Apa yang penulis maksudkan ialah jika demi kepentingan rakyat dan negara, maka UMNO juga perlu ada inisiatif merealisasikan kerjasama dengan Pas. UMNO perlu menjalankan 'dakwah' ke atas Pas agar sekurang-kurangnya Pas boleh mengatur langkah untuk meninggalkan pentas pakatan pembangkang jika benar-benar ikhlas dengan niatnya.

Kerjasama dengan UMNO dan BN tidak mustahil seperti mana yang berlaku kepada Parti Bersatu Sabah (PBS) yang mengambil keputusan menyertai semula BN pada 2002 tanpa sebarang syarat.

Jika Pas kemungkinan meletakkan syarat untuk bekerjasama dengan UMNO bagi kerajaan perpaduan, maka UMNO juga perlu mencadangkan supaya Pas perlu keluar daripada pakatan pembangkang yang bakal mengganggu proses perpaduan.

Jika ini tidak dilaksanakan, sungguhpun Pas mungkin dapat bekerjasama dengan UMNO tetapi dalam masa yang sama Pas masih menganggotai pakatan pembangkang.

Bermakna BN dan pakatan pembangkang seolah-seolah menjadi satu parti yang hanya dihubungkan oleh Pas. Sistem ini mewujudkan struktur politik negara yang tidak jelas dan sudah tentu memberi kesan kepada dasar-dasar pembangunan kerajaan.

Sebenarnya, persoalan lain yang mengundang pelbagai tafsiran mengenai isu ini, adakah cadangan Presiden Pas untuk membentuk kerajaan perpaduan adalah agenda tersembunyi untuk memenangi Pilihan Raya Kecil Manek Urai pada Julai ini.

Pas merasakan bahawa imejnya tercalar dengan beberapa insiden politik yang berlaku sebelum ini akibat pengaruh DAP dan PKR di samping kegelisahan ahli Pas yang 'diancam' oleh pengaruh PKR dalam kepimpinan. Bagi mendapat sokongan terutama orang Melayu di Manek Urai, kemungkinan Pas mengambil strategi kerajaan perpaduan sebagai satu usaha kempen pilihan raya.

Penulis percaya ramai pihak telah 'cair' dengan keputusan Presiden Pas. Tetapi sekadar ucapan tidak bermakna selagi rakyat dan UMNO tidak melihat usaha yang ingin digerakkan oleh Pas.

Justeru, pada peringkat awal ini, kerajaan perpaduan tajaan Pas mesti diperjelaskan secara konkrit agar semua pihak dapat menilai sejauh mana keikhlasan Pas serta dapat mengenal pasti aspek-aspek yang boleh menjadi subset kepada kerajaan pimpinan BN sebagai menterjemah konsep kerajaan perpaduan. Malah proses ke arah kerajaan perpaduan perlu dipercepatkan supaya tidak timbul persepsi rakyat yang sekali lagi mengeruhkan politik tanah air.

Selain itu, Pas juga perlu menterjemah secara terperinci apakah yang dimaksudkan dengan perpaduan. Adakah perpaduan yang difahami Pas adalah daripada segi perpaduan kaum, perpaduan ideologi atau kesepakatan dari segi dasar-dasar pembangunan negara atau sebaliknya.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url