PKPM tawar jadi ejen CIA, FBI tarik ahli
Tawaran menjadi ejen perisik rahsia seperti FBI dan CIA di Amerika Syarikat antara umpan Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) memperdayakan orang ramai menyertai pasukan itu.
Sumber berkata, ahli PKPM mendekati pelbagai lapisan masyarakat berusia 18 hingga 60 tahun bagi memujuk mereka menyertai pasukan itu dengan menawarkan tugas berkaitan keselamatan negara terutama risikan dengan janjikan gaji mencecah RM1,900 sebulan.
"Kita percaya ramai yang tertipu dan mereka yakin dengan tawaran itu apabila dibawa ke pejabat PKPM dan dikelilingi ahli beruniform yang selalunya lengkap dengan kot serta beret (topi) logo PKPM.
"Mereka kemudian menceritakan mengenai bidang tugas sebagai perisik yang membantu kerajaan serta agensi keselamatan menangani masalah dalam negara.
"Lebih membuatkan mangsa terpedaya apabila mereka juga perlu menduduki peperiksaan khas serta melalui proses temu duga oleh pemimpin PKPM sebelum diterima," kata sumber itu semalam.
Kelmarin, polis mematahkan cubaan menghidupkan semula PKPM yang pernah diharamkan enam tahun lalu dengan menahan 42 lelaki termasuk ketuanya, Nor Azami Ahmad Ghazali serta lima pemimpin lain di ibu pejabat pertubuhan itu di Taman Gombak Jaya, dekat sini.
Pertubuhan yang pernah mencetuskan kontroversi kerana mendakwa ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan kuasa melebihi tentera dan polis, dikesan merekrut ahli baru di seluruh negara sejak akhir tahun lalu.
Sementara itu, Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Tajudin Md Isa, berkata enam pemimpin PKPM itu direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.
"Buat masa ini kita mungkin tidak akan membuat tangkapan lagi untuk memberi perhatian melengkapkan siasatan enam ahli termasuk ketuanya yang ditahan itu," katanya.
Dalam pada itu, seorang lelaki dikenali sebagai Ghazali berusia 50-an mendakwa pernah beberapa kali dipujuk menyertai PKPM oleh pemimpinnya.
"Saya sering berada di kawasan ibu pejabat PKPM dan sejak enam bulan lalu mereka selalu mengajak saya menyertai pasukan itu dengan menawarkan gaji bulanan mencecah RM2,000 dan akan mendapat komisen jika dapat menarik ahli baru.
"Saya enggan kerana mencurigai cara kerja mereka dan tidak percaya ada pasukan lain mempunyai kuasa lebih daripada polis dan tentera seperti didakwa," katanya.
- BERITA HARIAN