Kuasai lebih satu bahasa
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, jika ini tidak dilakukan, mereka akan hanya menjadi jaguh di tempat sendiri sahaja.
"Ini adalah bagi kebaikan masa depan mereka supaya mampu menghadapi pesaing dengan mudah jika mempunyai kelebihan seperti mengetahui bahasa ketiga," katanya pada sidang akhbar mengenai majlis malam amal 'Caring and Sharing' Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Chee di sini, hari ini.
Rosmah memberitahu beliau turut menggalakkan dua anaknya yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Georgetown di Washington, Amerika Syarikat (AS) supaya menguasai satu lagi bahasa selain bahasa ibunda dan Inggeris.
Pada sidang akhbar tersebut, anak perempuannya, Nooryana Najwa Mohd. Najib, 20, menunjukkan kebolehan bertutur dalam bahasa Arab, manakala Norashman Razak, 18, pula bertutur dalam bahasa Cina.
Rosmah menjelaskan, beliau juga teruja dengan kemampuan seorang pelajar Malaysia berketurunan India yang kini menetap di Beijing menguasai pelbagai bahasa. Dia ditemuinya ketika mengadakan lawatan rasmi ke China baru-baru ini.
"Kanak-kanak perempuan itu yang berusia lapan tahun kini sangat mahir dalam bahasa Cina, Inggeris, Tamil dan sudah pasti akan mempelajari bahasa Melayu setelah pulang ke Malaysia nanti.
"Saya juga difahamkan murid-murid di sana memang mahir dalam bahasa Inggeris dan digalakkan mempelajari bahasa itu di peringkat universiti,'' katanya.
Mengenai majlis makan malam amal SJKC Khai Chee pada 19 Ogos ini, Rosmah berkata, ia bertujuan mengutip dana bagi menaik taraf kemudahan sekolah itu dan menambah keluasan tapak sekolah sedia ada.
Beliau yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) berkata, usaha itu selaras dengan objektif badan amal itu untuk menjalankan kerja-kerja kebajikan yang merangkumi semua kaum serta meliputi semua peringkat umur.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya bangga kerana para dermawan yang terdiri daripada sektor korporat amat prihatin terhadap peranan sosial mereka kepada masyarakat.
"Saya menyeru agar lebih banyak syarikat swasta dan badan korporat tampil mempamerkan budaya prihatin terhadap tanggungjawab sosial kepada masyarakat,'' katanya.
Beliau berkata, pihak penganjur juga bersetuju untuk memberi sebahagian daripada kutipan dana itu kepada Bakti bagi diagih-agihkan kepada beberapa buah sekolah yang daif di pedalaman Sabah, Sarawak serta di Semenanjung.
- UTUSAN