Pelatih PLKN mati di Kem Guar Chenderai, Padang Besar
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Che Man Md Deros yang ditemui di bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini hari ini berkata, Abdul Malik Ishak, 18, disedari telah mati pukul 5.45 pagi ketika rakan sebiliknya cuba mengejutkannya untuk sembahyang Subuh.
Pelatih berasal dari Kampung Kampung Relong, Sik, Kedah mendaftar memasuki kem itu kira-kira dua minggu lalu.
Katanya, mayat Abdul Malik telah dibawa ke HTF dan hasil bedah siasat menunjukkan kematiannya bukan disebabkan perbuatan khianat.
"Selain bedah siasat oleh HTF, anggota forensik Hospital Tuanku Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah juga turut menjalankan siasatan lanjut," katanya.
Che Man berkata, pada masa ini, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut kerana tiada tanda wujudkan perbuatan jenayah.
Katanya, mangsa belum lagi menjalani kegiatan lasak sejak menyertai kem kerana dalam tempoh dua minggu lalu, kem itu hanya menjalankan kerja-kerja pentadbiran.
Bapa mangsa, Ishak Sudin, 59, berkata, anak bongsu daripada tujuh adik beradik itu amat gembira untuk menyertai latihan itu selepas menerima surat tawaran beberapa minggu lalu.
"Saya tidak menggalakkannya kerana dia tidak begitu sihat dan menghidap lelah," katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berharap orang ramai dan media massa tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian pelatih itu.
Beliau yang turut menziarahi jenazah Abdul Malik berkata pelatih berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan berdasarkan borang deklarasi kesihatannya yang diisi sendiri oleh pelatih.
"Ini merupakan kes pertama tahun ini bagi siri ketiga PLKN. Kita memahami apa sahaja pampasan ia tidak akan sama nilainya dengan kepergian Allahyarham," katanya.
Dr Abdul Latiff turut menunaikan solat jenazah di HTF bersama-sama Ketua Pengarah Jabatan Latihan khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil dan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Mengenai prosedur deklarasi kesihatan pelatih PLKN, beliau berkata, ia akan diteruskan seperti biasa dan tiada cadangan untuk diganti.
Melalui prosedur itu, setiap pelatih PLKN perlu mengisi borang deklarasi kesihatan dan jika mereka mengisytiharkan diri mereka sebagai pengidap penyakit berbahaya termasuk epilepsi, mereka boleh memohon pengecualian daripada mengikuti latihan.
- BERNAMA