Pemeriksaan Selesema Babi Influenza A (H1N1) di seluruh IPTA
JOHOR BAHRU: Lebih 1,661 pelajar yang mendaftar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), kelmarin berpuas hati apabila proses saringan Influenza A (H1N1) yang dijalankan pihak universiti berkenaan berjalan lancar seiring proses pendaftaran kemasukan mereka.
Biarpun terpaksa menunggu giliran panjang, namun tiada yang mengeluh sebaliknya memuji langkah proaktif diambil UTM dalam mengekang penularan virus selesema babi di kalangan warga kampus itu.
Pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Teknologi dan Pendidikan, Azizah Aziz, 19, berkata dia berpuas hati dengan inisiatif UTM dalam mengenal pasti tahap kesihatan pelajar yang baru mendaftar masuk ke kampus berkenaan.
“Berdasarkan peningkatan kes H1N1 di negara ini, saya berpendapat kaedah sebegini (saringan di peringkat kampus) mampu mengawal penularan virus sekali gus menjamin tahap kesihatan semua pelajar pada masa depan.
“Malah tidak salah jika langkah ini menjadi contoh kepada institusi pengajian lain,” katanya.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Nurul Ashikin Hamdan, 19, berkata dia begitu selesa sebaik mengetahui pihak universiti membuat saringan H1N1 pada sesi pendaftaran.
“Seperti biasa, pasti ramai pelajar yang mendaftar dengan membawa laporan kesihatan masing-masing namun kebanyakan mereka tidak mempunyai pengetahuan khusus mengenai penularan wabak H1N1.
“Justeru, kaunter saringan adalah lokasi terbaik bagi meningkatkan kesedaran pelajar dan ibu bapa mengenai bahaya dan simptom H1N1,” katanya.
SERDANG: Seorang pelajar perempuan diarah menjalani kuarantin di rumah selepas didapati demam ketika mendaftar sebagai pelajar baru di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, kelmarin.
Pelajar berusia 19 tahun yang akan mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan itu dikesan mempunyai suhu 37.8 darjah celcius ketika ujian saringan Influenza A (H1N1) yang dilakukan khas untuk pelajar baru yang mendaftar di universiti berkenaan.
Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah, berkata ketika ujian saringan pelajar terbabit didapati demam dan pihak universiti merujuk perkara berkenaan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Pelajar dari Muar, Johor itu kemudian diasingkan dan diarah pulang ke rumah untuk dikuarantin sehingga sembuh, tetapi kita benarkan dia mendaftar.
“Kami difahamkan pelajar berkenaan baru pulang dari Hong Kong dan Singapura pada 22 Jun lalu, dan langkah pengasingan itu dilakukan sebagai usaha menangani sebarang kemungkinan,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah meninjau hari terakhir pendaftaran pelajar baru di UPM di sini, semalam.
Nik Mustapha berkata, kesihatan pelajar terbabit akan dipantau selama tujuh hari, dan sekiranya keadaan stabil dan bertambah baik dia akan dibenarkan kembali ke kampus.
Sementara itu, beliau berkata, seramai 4,814 pelajar baru mendaftar untuk program Ijazah Sarjana Muda, Diploma dan Asasi di UPM yang bermula Sabtu hingga semalam.
Sehubungan itu, katanya, semua pelajar baru diminta menjalani ujian saringan H1N1 sebagai langkah mengelakkan penularan wabak berkenaan ke dalam kampus.
“Kita hanya mengesan satu kes setakat ini, dan hari ini (semalam) tiada kes pelajar demam dikesan,” katanya.
BATU PAHAT: Empat pelajar baru Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM) di sini, diarah pulang selepas dikesan demam ketika mendaftar, semalam dan mereka hanya dibenarkan datang semula untuk membuat pendaftaran, minggu depan.
Pegawai Perhubungan Awam UTHM, Safry Salim, berkata semua pelajar yang mendaftar semalam diarah menjalani saringan kesihatan bagi mengesan wabak selesema babi atau Influenza A H1N1.
Beliau berkata, 39 pelajar antarabangsa pula diarah menjalani kuarantin tujuh hari mulai semalam.
“Empat pelajar yang diarah pulang kerana mengalami tanda demam akan datang semula minggu depan dan mereka diberi peluang untuk mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan mendaftar semula.
“Bagi pelajar antarabangsa pula, mereka diarah menjalani kuarantin di luar kawasan kampus selama seminggu,” katanya.
Beliau berkata, seramai 39 pelajar antarabangsa itu membabitkan 30 orang dari Yaman, Somalia (lima) dan masing-masing satu dari Chad, Palestin, Mesir dan Libya.
“Kami terpaksa melaksanakan pemeriksaan kesihatan yang ketat terhadap pelajar baru dan antarabangsa bagi mengelak penularan wabak itu di kampus UTHM,” katanya.
Sementara itu, Safry, berkata seramai 2,000 daripada 2,600 pelajar yang ditawarkan mengikuti pengajian di UTHM mendaftar diri sehingga jam 4 petang semalam.
- HARIAN METRO