Top Ad 728x90

,

Selamat datang mahasiswa!

Selamat datang pelajar baru sesi 2009/2010 yang mendaftar di sebahagian 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara, semalam.

Walaupun berdepan dengan wabak Influenza A (H1N1), sesi pendaftaran yang bermula seawal jam 8 pagi semalam menyaksikan lebih 60 peratus pelajar yang ditawarkan tempat sudah berbuat demikian.

Bagi sesi 2009/2010, sejumlah 40,366 tempat institusi pengajian tinggi (IPT) ditawarkan kepada calon yang layak.

Jumlah itu adalah 83.9 peratus daripada keseluruhan calon yang mencapai kelayakan minimum iaitu nilai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.00 ke atas serta memenuhi syarat am permohonan kemasukan IPTA.

Walaupun pada keseluruhannya pengambilan pelajar baru untuk sesi tahun ini meningkat, ada sesetengah IPTA yang mengalami penurunan pengambilan pelajar.

Di samping itu, daripada jumlah keseluruhan kemasukan, pelajar perempuan mendominasi kemasukan ke IPTA seperti tahun sebelumnya, apabila menguasai 65 peratus atau 26,200 tempat yang ditawarkan.

Di Universiti Putra Malaysia, menurut Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah, daripada jumlah keseluruhan seramai 4,814 pelajar, 70 peratus daripadanya adalah perempuan dan bakinya, 30 peratus adalah lelaki.

Selain itu, pengambilan pelajar baru terutama prasiswazah berkurangan berbanding tahun sebelumnya.

"Tahun ini, walaupun unjuran pengambilan mengikut pelarasan yang dibuat dengan dasar universiti penyelidikan, jumlahnya menunjukkan penurunan.

"Sasaran kami pada 2015, nisbah pelajar prasiswazah dan lepasan ijazah ialah 1:1. Jadi, bermula sekarang, kami akan tingkatkan usaha untuk mencapainya," katanya.

Pendaftaran pelajar baru di UPM yang bermula Sabtu lalu berjalan lancar menerusi sistem pendaftaran berpusat.

Menerusi sistem itu, pelajar mendaftar terus di semua kolej kediaman dan secara tidak langsung mendaftar untuk program yang akan diikuti.

Sebagai universiti penyelidikan, UPM pada tahun ini turut menawarkan program baru iaitu Bacelor Sains dan Teknologi Alam Sekitar (FPAS).

Disamping itu, UPM turut mewajibkan semua pelajar menjalani saringan Influenza A (H1N1) sebelum mendaftar di kolej kediaman masing-masing.

Di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, menurut sumber daripada Jabatan Komunikasi Korporatnya, pengambilan pelajar baru tahun ini meningkat iaitu sebanyak 34,137 tempat ditawarkan bagi memenuhi kekosongan di 14 kampus cawangan seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 15,783 tempat pengajian ke peringkat diploma dan 14,684 tempat bagi pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Kampus UiTM di Shah Alam saja akan mengendalikan 3,303 tempat pengajian peringkat diploma/asasi dan 10,850 tempat pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Selain program diploma, UiTM juga menawarkan program Asasi Sains, Kejuruteraan, TESL dan Undang-undang. Dengan program itu, pelajar berpeluang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang berkaitan selepas menamatkan pengajian.

Sejumlah 24 fakulti di bawah naungan UiTM termasuk fakulti berasaskan Sains dan Teknologi iaitu Sains Gunaan, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Seni Bina Perancangan dan Ukur, Sains Sukan dan Rekreasi, Perubatan, Pergigian, Sains Kesihatan, Farmasi dan Kejuruteraan Awam, Elektrik serta Kimia dan Mekanikal.

Fakulti berasaskan Sains Sosial dan Kemanusiaan terdiri daripada Undang-undang, Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Komunikasi dan Pengajian Media, Seni Lukis dan Seni Reka, Pendidikan, Teknologi Kreatif dan Artistik serta Muzik.

Fakulti berdasarkan Pengurusan dan Perniagaan pula adalah Perakaunan, Pengurusan Perniagaan, Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Pengurusan Maklumat, Pengurusan Teknologi Pejabat dan satu pusat akademik dikendalikan sebagai Akademi Pengajian Bahasa.

Selain UiTM, universiti lain yang meningkatkan pengambilan pelajar baru ialah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Jurucakap Pejabat Perhubungan Korporatnya berkata, tahun ini Usim meningkatkan unjuran pengambilan pelajar bagi program Sarjana Muda sebanyak 1,750 orang berbanding tahun lalu iaitu kira-kira 1,400 pelajar.

"Bagi pengambilan pelajar menerusi program persediaan iaitu Tamhidi, peningkatan pengambilan adalah seratus peratus.

"Tahun ini, Usim juga memperkenalkan program peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Akidah dan Agama di bawah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan," katanya.

Selain Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Usim menawarkan program lain menerusi tujuh lagi fakulti yang ada iaitu Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Pergigian, Ekonomi dan Muamalat, Syariah dan Undang-undang, Pengajian Quran dan Sunnah serta Pengajian Bahasa Utama.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90