Percaturan statistik di Manek Urai

Oleh MUHAMAD SUKUR AZIZOH

Sejarah Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Pulau Pinang pastinya tidak berlaku di Manek Urai, Kelantan.

Ini kerana suasana politik, nilai budaya dan corak kehidupan serta persekitaran tempat jauh berbeza.

Di Manek Urai semangat penyokong Barisan Nasional (BN), Pas malah yang tidak berparti berkobar-kobar menanti hari penamaan calon dan hari pilihan raya untuk menunaikan kewajipan masing-masing.

Peluang BN untuk untuk merampas kembali kerusi DUN Manek Urai daripada Pas lebih terbuka.

Tambahan pula faktor kaum Cina, India dan lain-lain tidak sampai satu peratus serta faktor keberkesanan berkempen khususnya kepada pengundi yang berumur di bawah 40 tahun dan ketepatan meletak calon akan lebih terbuka dan akan mempengaruhi kemenangan parti.

Di Manek Urai tidak ada penyokong Datuk Ramzi Abd Rahman dan tidak ada penyokong Datuk Wan Zaid Wan Abdullah tetapi yang ada hanyalah penyokong UMNO yang mendukung cita-cita dan aspirasi Datuk Seri Najib Tun Razak.

BN mempunyai penyokong yang setia di Manek Urai. Jumlah keluar mengundi penyokong BN adalah tidak berubah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 11 dan PRU 12. Pada PRU 11, BN mendapat undi sebanyak 4,361 manakala PRU 12 sebanyak 4,394. Kesetiaan sokongan seperti ini yang diharapkan.

Penambahan jumlah pemilih sebanyak 9.5 peratus daripada 11,226 kepada 12,292 serta jumlah keluar mengundi pada PRU 11 adalah 78 peratus sebanyak 8,751 meningkat kepada 84 peratus pada PRU 12 sebanyak 10,332 yang membezakan keputusan majoriti dan kemenangan kedua-dua pilihan raya umum lepas.

Penambahan jumlah pemilih rata-ratanya boleh dikatakan terdiri daripada golongan orang muda ataupun generasi kali pertama mengundi.

Jumlah pengundi di bawah umur 40 tahun pada PRU lepas adalah sebanyak 48.5 peratus manakala di bawah umur 30 tahun pula adalah 22.5 peratus.

Golongan ini dikatakan sebagai anti establisment, radikal, mencuba sesuatu yang baru dan sebagai. Apa pun gelaran yang diberikan, sokongan golongan ini diperlukan kerana undi golongan ini akan mempengaruhi kemenangan parti. Lekatan pemikiran golongan muda ini lebih senang diubah berbanding lekatan pemikiran golongan berumur 40 tahun ke atas.

Memenangi saluran 3 dan 4 adalah cabaran utama selain merapatkan jurang perbezaan pendapat dan haluan di kalangan Pemuda UMNO serta meletakkan Pemuda di landasan perjuangan yang sebenar.

Pemilihan calon harus dilihat dari pelbagai sudut. Anak tempatan, mudah didampingi, bermasyarakat dan kuat bekerja adalah aspek utama kriteria pemilihan calon. Visi dan misi, pentadbir, pembela dan pemelihara adalah pelengkap kriteria seseorang calon.

Pengundi mahukan calon rakyat bukannya calon pemimpin. Calon rakyat adalah calon yang sentiasa bersama, memahami nilai, adat serta budaya dan yang paling penting menjiwai masalah rakyat. Ini semua tidak boleh ditipu atau dilakonkan kerana rakyat boleh menilainya.

Bukan salah rakyat jika mereka menolak calon yang tidak dikenali serta tidak memahami jiwa, nilai, adat, budaya serta menjiwai permasalahan mereka.

Sesuatu keputusan yang akan dibuat harus diteliti dan diperinci supaya keberangkalian ketepatan sesuatu keputusan itu tinggi.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url