Pil perancang Indonesia di pasar malam

Ubat-ubat pencegah kehamilan yang disubsidikan oleh kerajaan Indonesia untuk rakyat miskin negara tersebut dijual secara terbuka di pasar-pasar malam di negara ini.

Ubat tersebut yang dipercayai diseludup dari negara tersebut turut dijual di kedai-kedai ubat tidak berlesen dan kaki-kaki lima sekitar ibu kota.

Pengarah Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan, Mohd. Hatta Ahmad berkata, ubat-ubat tersebut dijual dengan harga yang murah iaitu RM3 ke RM4 untuk 28 kapsul.

“Penjualan ubat-ubat tersebut oleh warga asing di premis tidak berlesen terbongkar menerusi operasi mengejut bahagian penguat kuasa kementerian ini

di sekitar Lembah Klang baru-baru ini,” katanya semasa ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Boleh mati mengejut - Dr. Adilah Ahmat

Kecenderungan golongan lelaki lembut dan mak nyah makan ubat-ubat pencegah kehamilan boleh menyebabkan mereka mati mengejut.

Selain itu, penyalahgunaan ubat- ubatan tersebut mendedahkan mereka dengan risiko pelbagai penyakit kronik termasuk kanser prostat serta diserang penyakit jantung, hati dan mengalami masalah salur darah tersumbat.

Kandungan estrogen dalam pil itu meskipun dalam sukatan yang rendah menjadikan darah cepat melekit dan menyebabkan dinding saluran darah menjadi tebal.

Pembekuan darah itu biasanya mula terbentuk di bahagian kaki seterusnya berpindah ke paru-paru, jantung dan otak yang boleh mengakibatkan kematian atau lumpuh.

Lebih buruk lagi, kesan pengambilan ubat-ubat tersebut boleh menyebabkan mereka mengalami gangguan mental serta dilanda kemurungan yang serius.

Pakar Perbidanan dan Ginekonologi Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), Dr. Adilah Ahmat berkata, pil-pil pencegah kehamilan lazimnya disarankan oleh doktor kepada wanita berkahwin untuk mencegah kehamilan.

Kata beliau, penggunaannya boleh membantu wanita menjarakkan kehamilan dengan tujuan untuk merancang keluarga.

Jelasnya, pil-pil perancang yang mengandungi hormon estrogen dan progestogen hanya sesuai digunakan oleh wanita dan bukannya untuk lelaki atau golongan 'mak nyah'.

Katanya, golongan tersebut perlu menghentikan tabiat 'menyalahgunakan' ubat tersebut serta-merta atau berdepan dengan masalah kesihatan.

''Pil-pil perancang tidak boleh diamalkan tanpa saranan atau panduan daripada doktor-doktor bertauliah.

''Apa sudah jadi dengan mereka (golongan mak nyah'). Adakah mereka sedar risikonya,'' katanya.

Beliau berkata, kesannya lebih ketara jika golongan tersebut adalah perokok tegar dan turut mengambil pil-pil vitamin lain untuk kecantikan.

''Amat mengejutkan jika ada lelaki yang mahu membentuk tubuh menjadi 'wanita' mengamalkan pil-pil perancang. Amalan ini akan menyebabkan mereka berisiko mendapat kanser prostat yang boleh meragut nyawa,'' jelasnya.

Beliau yang bimbang dengan fenomena tersebut berkata, kesan lain yang menimpa lelaki tersebut ialah kemaluan mereka mengecil seperti saiz kanak-kanak.

Jelas beliau, mereka juga akan menderita masalah 'mati pucuk' .

''Jika golongan 'mak nyah' ini mahu menjadi lelaki semula dan memulakan hidup berumah tangga peluang untuk mendapat anak agak sukar kerana mereka akan mengalami masalah 'mati pucuk'.

''Sebab itu, mereka yang mahu mengambil pil perancang perlu berjumpa doktor untuk mendapat panduan dan nasihat yang tepat,'' katanya.

Semudah beli ubat sakit kepala

Semudah membeli ubat sakit kepala. Begitulah bebasnya penjualan dan pembelian ubat-ubat pencegah kehamilan di kebanyakan farmasi dan kedai ubat di negara ini.

Lebih buruk lagi, ubat-ubat tersebut juga dijual secara terbuka di pasar-pasar malam dan kaki-kaki lima oleh warga asing.

Sedangkan, ubat-ubat tersebut tertakluk di Bawah Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952 yang diklasifikasikan dalam Kumpulan C iaitu ubat yang dikawal rapi dan perlu mematuhi Seksyen 24 Akta Racun 1952 yang mewajibkan ia direkodkan dalam Buku Preskripsi sebelum dibekalkan kepada pengguna.

Jika peraturan itu tidak dipatuhi, denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua bulan atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan.

Pemantauan Utusan Malaysia selama dua minggu di sekitar ibu kota mendapati peraturan tersebut langsung tidak digeruni ahli-ahli farmasi yang bertugas di farmasi-farmasi atau di kedai-kedai ubat berlesen.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url