Rawat penagih dengan Methadone


Sejak tahun 2002, Malaysia berjaya melaksanakan Terapi Gantian Dadah (DST) dengan menyasarkan kepada penagih heroin. Bagaimanapun, masih wujud keraguan terhadap kaedah rawatan bukan orthodoks ini.

Ada yang membidas bahawa DST adalah kaedah 'membunuh secara perubatan' bagi membanteras gejala sosial ini, manakala yang lain pula mengutuk idea menggantikan satu ketagihan dengan yang lain.

Tetapi mereka yang mempelopori bidang perubatan ketagihan di Malaysia, berpendapat bahawa kaedah rawatan ini adalah pendekatan terbaik bagi penagih heroin.

Penagihan dadah merupakan gangguan kronik otak yang menjejaskan fungsi psikologi dan fisiologi pengguna dadah.

DST menawarkan kepada penagih, sejenis dadah yang sah di sisi undang-undang, yang lazimnya terdiri daripada opiod sintetik seperti Buprenophine dan Methadone yang menghentikan ketagihan dan simptom withdrawal yang membolehkan mereka meneruskan kehidupan.

Secara ringkas, ketagihan boleh dikawal dengan beralih daripada dadah haram kepada yang diperoleh daripada doktor, hospital serta saluran pembekalannya yang sah.

MDST satu pendekatan pragmatik

Pakar Ketagihan dan Pakar Perunding Psikiatri di Jabatan Perubatan Psikologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Mohamad Hussain Habil, berkata, ini mungkin satu-satunya langkah pragmatik jangka panjang bagi membantu penagih meneruskan kehidupan dan pada masa yang sama, membantu mengatasi banyak masalah berkaitan dengan penagihan dadah seperti jangkitan HIV, perlakuan jenayah dan kemerosotan nilai-nilai sosial.

Walaupun tempoh minimum rawatan Terapi Penggantian Dadah Methadone (MDST) adalah antara dua hingga empat tahun disyorkan bergantung kepada penagih, ada yang perlu mengambil dadah gantian ini bagi tempoh yang lebih lama dan terdapat laporan yang mana penagih terpaksa bergantung kepada dadah gantian ini buat selama-lamanya. Ini menimbulkan kebimbangan ramai.

Dr. Mohamad berpendapat, kebingungan terhadap MDST adalah kerana kurangnya kefahaman mengenai penagihan dan proses pemulihan.

"Saya juga tahu ada ibu bapa penagih yang kurang senang dengan tindakan menggantikan satu bentuk ketagihan dengan satu lagi," tambah Dr. Mohamad yang menunjukkan kebimbangan ramai terhadap DST.

Kata-kata kritikan dan gangguan pihak berkuasa yang dihadapi penagih yang mengambil Methadone menjadi penghalang kepada usaha memperluas program MDST supaya ia dapat dicapai oleh lebih ramai penagih.

"Bagaimanapun, kami sedia membantu kerajaan dalam memperluaskan MDST. Buat masa ini, program MDST hanya meliputi 5,000 penagih dan kami mahu menyaksikannya diperluas meliputi 20,000 penagih menjelang 2010," kata beliau.

Projek perintis MDST dilancarkan pada tahun 2005 melibatkan 1,240 pesakit di lapan hospital kerajaan, dua klinik kesihatan masyarakat dan tujuh klinik persendirian.

Program ini mencatatkan kadar pengekalan penagih yang baik sehingga 90 peratus pada tahun pertama. Ini satu pencapaian besar apabila dibandingkan dengan standard kadar pengekalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 55 hingga 60 peratus.

Lagipun, 73 peratus daripada pesakit juga bekerja. Ekoran kejayaan ini, kerajaan merancang untuk merawat kira-kira 75,000 pesakit menjelang tahun 2015.

Sementara itu, Presiden Persatuan Insaf Murni, Dr. Mohd. Khafidz Mohd. Ishak berkata, penagih perlu mengambil Methadone dalam bentuk cecair setiap hari untuk mengawal ketagihan dan ini lebih kurang sama dengan bagaimana kita mengawal penyakit lain pada tubuh, sebagai contoh diabetes.

Mengenai kesan sampingan Methadone, sehingga ini belum ada lagi kesan teruk dikenal pasti dan ketagihan terhadap Methadone juga jarang didapati.

Satu lagi elemen penting yang ditunjukkan oleh Dr. Mohd. Khafidz adalah MDST membenarkan rawatan di dalam komuniti, yang akan menggalakkan lebih ramai penagih untuk tampil mendapatkan rawatan secara sukarela.

Kaedah lama iaitu mengurung mereka adalah tidak produktif.

Sementara menjalani rawatan MDST, mereka boleh bekerja dan meneruskan kehidupan.

Lagipun, rawatan Methadone turut memutuskan bekalan dadah haram dan dalam tempoh jangka panjang, ia boleh membantu mengurangkan bilangan penagih.

Status semasa MDST

Penyelaras Pusat Sains Ketagihan Malaya dan Klinik Penyelidikan Methadone Universiti Malaya, Dr. Rusdi Abdul Rashid memberitahu, dos Methadone yang sesuai bagi penagih di Malaysia adalah antara 80 hingga 160mg setiap hari.

Bagaimanapun, memandangkan Methadone mahal dan bekalannya terkawal, para penagih di klinik-klinik yang dikendalikan kerajaan hanya menerima antara 60 hingga 80mg, sementara di klinik swasta, dos yang diberi lebih rendah, iaitu 30 hingga 40mg.

Rawatan MDST di klinik dan hospital kerajaan adalah percuma tetapi penagih baru tidak lagi diterima memandangkan sambutan di luar dugaan dan sumbernya terhad.

Sementara itu, seorang pengamal perubatan yang mengendalikan DST sejak tahun 2003, Dr. Musa Jantan berkata, dos 45mg sehari di klinik swasta yang mengendalikan MDST berharga RM30 tetapi mereka yang menerima rawatan hanya perlu membayar RM10.

Dr. Musa yang merupakan penasihat Persatuan Alumni Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (Pendamai), sebuah pertubuhan bukan kerajaan bagi penagih dadah di Melaka, yakin pendekatan ini pasti membawa hasil yang lebih baik.

"Di sebalik diasingkan daripada masyarakat di pusat pemulihan yang bilangannya terhad, MDST membenarkan penagih dadah untuk meneruskan kehidupan normal mereka, bekerja dan menyumbang kepada masyarakat tanpa dilihat sebagai penjenayah ataupun sampah masyarakat," ujarnya.

Walaupun beliau dan rakan-rakan ada kalanya patah semangat kerana kritikan awam dan gangguan pihak berkuasa terhadap penagih yang mengambil Methadone, lebih ramai pengamal perubatan swasta menunjukkan minat untuk membantu penagih.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url