Skeptikal Obama kepada dunia Islam

Oleh JOHARDY IBRAHIM

Dalam dunia diplomatik, bagaimana sesuatu ayat dilafazkan dan bagaimana ayat itu disusun adalah elemen yang sangat penting. Jika ditemui elemen retorik, tidak mengapa. Ia bukan satu dosa.

Bila Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berjanji membuka lembaran baru antara negaranya dengan dunia Islam, ia bukan retorik. Ia wajar dilihat sebagai sesuatu yang positif - tanpa perlu menghapuskan elemen skeptikal.

Selepas lapan tahun di bawah pentadbiran seorang koboi Texas yang mengaku dirinya seorang presiden zaman perang, tidak pernah AS mengungkapkan ayat diplomatik sebegini rupa untuk melembutkan suasana.

Sebaliknya Presiden George W. Bush cenderung untuk memutar-mutarkan pistolnya ke semua arah kerana dendamnya terhadap mereka yang dilabelnya sebagai 'pengganas Islam' yang dituduh bertanggungjawab melakukan serangan 11 September 2001 mengatasi segala-galanya, apa lagi untuk bersalaman dengan dunia Islam.

Ucapan Obama di Dewan Besar Universiti Kaherah di Mesir, kaya dengan perlambangan dan sarat dengan harapan. Nyata Obama memiliki aura yang ketara. Memulakan ucapannya dengan mengucapkan 'Asalamualaikum' terdengar sorakan dan tepukan daripada hadirin.

Mungkin tidak semua umat Islam mudah terpesona seperti mereka yang ada di dewan tersebut, apatah lagi Obama sedaya upaya memetik ayat-ayat dari al-Quran, Taurat dan Injil selama sejam ucapannya itu.

Aspek positif yang boleh dirumuskan ialah usaha presiden kulit hitam pertama AS ini untuk mempamerkan kejujurannya. Ini boleh dilihat semasa beliau berkata, 'AS memiliki hubungan yang tidak boleh diputus kan dengan Israel' tetapi beberapa ketika kemudian, menekankan kepada dunia, ke pada Israel bahawa pentadbiran beliau mahu Israel menerima formula dua negara iaitu satu untuk Israel dan satu untuk Palestin.

Penulis mahu mempercayai bahawa pendirian Obama ini bukan lagi sekadar retorik, sebaliknya satu keazaman yang akan dan sedang disalurkan dalam bentuk tindakan konkrit.

Berdasarkan laporan-laporan antarabangsa, pelantikan Rahm Emanuel - seorang Yahudi sebagai Ketua Staf Obama di White House telah kebelakangan ini 'disedari' akan men jadi orang perantaraan penting bagi Obama untuk berunding dengan ketua Zionis, Benjamin Netanyahu bagi merealisasikan formula dua negara tersebut.

Bertentangan dengan kritikan umum terhadap Emanuel yang pada awal pelantikannya dianggap sebagai bukti pengaruh Zionis dalam pentadbiran Obama, kini Emanuel bakal menjadi 'senjata utama' Obama dalam membawa keamanan di Asia Barat. Kedua-duanya, Emanuel dan Obama percaya kepada formula berkenaan. Ini adalah kunci penting.

Obama tahu selagi isu Palestin tidak diselesaikan, ia akan menjadi ikon kepada sesiapa sahaja untuk memulakan misi serangan terhadap AS. Beliau akan berhati-hati dalam memastikan objektif itu tercapai, tanpa menghiris atau melukakan hati sekutu utamanya, Israel. Justeru seruan Obama kepada Palestin supaya menghentikan serangan ke sasaran Israel.

Namun, tatkala Obama mengiktiraf isu di Palestin menjadi isu dominan dunia Islam, terdapat sesetengah saintis politik dan sarjana, terutama bukan Islam tidak mahu percaya bahawa isu kekalutan dunia Islam dengan Barat - berakar umbi daripada konflik Palestin-Israel.

Terdapat kalangan mereka yang membahaskan bahawa pertikaian di bumi Palestin tidak ada kena mengena dengan persoalan agama, ini kerana bangsa Palestin pun ada beragama Kristian. Maka logiknya pertikaian itu adalah mengenai penduduk yang telah dirampas tanah mereka dan bukan agama, kata mereka.

Malah, terdapat juga yang melahirkan rasa hairan bagaimana konflik yang begitu jauh di Asia Barat itu begitu mendapat tempat di kalangan umat Islam di Malaysia dan ia begitu ketara pada media-media massanya.

Soalan tambahan ialah mengapa konflik umat Islam di negara-negara lain tidak menerima tumpuan sehebat Palestin? Misalnya, di Darfur di mana umat Islam berketurunan Arab berperang dengan umat Islam berke turunan Afrika.

Untuk menidakkan isu Palestin-Israel sebagai isu agama, adalah sama seperti menidakkan berlakunya Holocaust. Bumi Palestin iaitu Baitulmaqdis yang menempat kan masjid ketiga paling suci dalam Islam iaitu Masjid al-Aqsa telah menjadi saksi kepada pertumpahan darah Islam sejak dari zaman Perang Salib.

Bila umat Islam berjaya merampas Baitulmaqdis, orang Kristian dan Yahudi dibenarkan pulang dengan selamat. Tapi bila umat Islam tewas, mereka yang hidup telah melalui proses Holocaust ketika itu oleh tentera Salib.

Mengapa isu Palestin lebih penting daripada Afghanistan, Iraq atau Sudan kepada umat Islam termasuk di Malaysia? Ini kerana sejarah Perang Salib itu sendiri. Kesucian dan kemuliaan Masjid al-Aqsa menjadikan Palestin simbol sejagat Islam ke hari ini.

Selama ia terus ditindas oleh Israel dan disokong oleh AS, selama itulah masalah kebangkitan elemen-elemen ekstremisme berleluasa. Mujurlah rasional ini difahami sepenuhnya oleh Obama.

Secara umumnya, butir-butir ucapan Obama tidak jauh berbeza daripada dasar Bush. Obama mengekalkan nada yang sama bahawa AS tidak akan berhenti memburu dan menghapuskan pengganas-pengganas.

Tidak ada salahnya di sini tetapi oleh kerana 'hubungan yang tidak boleh putus' dengan Israel, maka ucapan Obama kepada 'dunia Islam' pada Khamis minggu lalu, kini kekal di hati umat Islam dengan perasaan yang sarat dengan skeptikal. Caranya berbeza tapi intipatinya sama.

Ini menjadikan Obama lebih diingati sebagai seorang presiden yang menawan hati dan mempesona dengan auranya, bukan sebagai presiden yang menyelesaikan isu Islam dengan Barat.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url