Sukma 2010: Melaka tubuh jawatankuasa

Melaka menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau dan meneliti pembinaan lima gelanggang baru untuk digunakan pada temasya Sukma XIII 2010.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wira Omar Kaseh itu akan meneliti aspek teknikal dengan memastikan pembinaan lima gelanggang baru berkenaan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Menurut beliau, jawatankuasa tersebut akan memastikan kelancaran pembinaan lima gelanggang baru itu tidak menghadapi masalah dan lebih penting untuk memastikan struktur bangunan selamat digunakan.

''Kerajaan negeri memandang serius kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh baru-baru ini. Saya tidak mahu perkara yang sama berulang khususnya apabila Melaka menjadi tuan rumah Sukma tahun depan," katanya.

Lima gelanggang baru yang sedang dalam pembinaan ialah gelanggang boling padang, pusat akuatik dan ekuestrian yang terletak di Kompleks Stadium Hang Jebat, perahu layar di Alor Gajah dan padang hoki di Bukit Serindit.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dibantu oleh Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Kejuruteraan dan Majlis Arkitek.

''Jawatankuasa ini bukan hanya memantau lima projek pembinaan gelanggang baru, tetapi juga ia berperanan meneliti projek-projek yang telah siap untuk diperiksa semula bagi memastikan selamat untuk terus digunakan," katanya.

Menurut beliau, jawatankuasa itu akan menyiapkan laporan penuh dalam tempoh sebulan sebelum dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma XIII 2010 pada 23 Julai ini.

Hasil lawatan yang dilakukan baru-baru ini, Mohd. Ali berkata, beliau berpuas hati dengan kelancaran pembinaan lima gelanggang baru untuk digunakan pada Sukma tahun depan.

''Semuanya berjalan lancar dan mengikut jadual walaupun ada sedikit kelewatan, tetapi semua kontraktor telah diberikan amaran jika tidak kontrak mereka akan ditamatkan segera," katanya.

Pada temasya dwitahunan yang akan berlangsung dari 28 Mei hingga 6 Jun tahun depan sebanyak 25 acara sukan dipertandingkan iaitu 18 daripadanya merupakan sukan wajib dan tujuh sukan pilihan.

Acara sukan wajib termasuk angkat berat, badminton, berbasikal, bola sepak, boling padang, gimnastik, hoki, karate-do, memanah, menembak, olahraga, perahu layar, akuatik, sepak takraw, pencak silat, skuasy, tenpin boling dan wusyu.

Bola jaring, bola keranjang, ekuestrian, tinju, ping pong, silambam dan petanque adalah sukan pilihan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url