Takaful sasar tarik 40,000 pendeposit MyDesk


Syarikat Takaful Malaysia (M) Bhd. (STMB) merancang menarik 40,000 pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) melanggan Takaful myDesk dalam tempoh setahun dalam usahanya menjadi penyedia takaful utama dua tahun lagi.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohamed Hassan Kamil berkata, dengan sasaran pendeposit itu, STMB mengunjur untuk meraih langganan premium berjumlah RM1 juta dalam tempoh setahun.

STMB kini adalah pengendali syarikat takaful terbesar dari segi aset dengan nilai RM4 bilion dan bilangan pelanggan seramai 400,000 orang.

''Kami berharap kerjasama dengan TH, STMB bukan sahaja mampu meningkatkan nilai tambah perkhidmatan dan produk tetapi mencapai sasaran tersebut.

''Lebih penting, dengan cara ini STMB berjaya meningkatkan penembusan langganan produk dan perkhidmatan takaful di kalangan rakyat Malaysia yang disasarkan sebanyak 20 peratus dalam tempoh lima tahun lagi,'' katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Takaful myDesk di sini hari ini.

Takaful myDesk adalah perkhidmatan yang menawarkan sebuah pusat sehenti kepada pelanggan Tabung Haji yang mahu mendapatkan perkhidmatan STMB di pejabat-pejabat lembaga itu.

Melalui perkhidmatan itu, para pendeposit TH boleh mendapatkan khidmat nasihat berkaitan perlindungan serta pelaburan takaful yang ditawarkan oleh STMB.

Mohamed Hassan berkata, buat permulaan perkhidmatan itu akan diwujudkan di 11 buah cawangan TH, dengan cawangan pertama telah diwujudkan di TH Jalan Tun Razak awal bulan ini.

Lokasi-lokasi lain yang telah dikenal pasti ialah Pasir Puteh, Bagan Serai, Kuala Pilah, Kota Tinggi dan Bentong, yang dijangka diadakan dalam tempoh enam bulan.

Perkhidmatan itu beroperasi mulai pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang mulai hari Isnin hingga Jumaat.

STMB dimiliki oleh BIMB Holdings Bhd. (BHB) yang memegang kepentingan sebanyak 65.22 peratus saham. TH pula adalah pemegang kepentingan utama dalam BHB.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url