Adakah beban tol berakhir?

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN

Perjalanan bebas atau tanpa tol - sememangnya menarik tetapi mampukah perkara itu menjadi kenyataan?

Ini kerana kerajaan bakal berdepan dengan pelbagai masalah yang merumitkan jika mahu meneruskan rancangan mengambil alih sama ada sebuah syarikat utama atau kesemua syarikat konsesi lebuh raya di negara ini.

Masalahnya bukan hanya kos pembiayaan mahal sehingga mencecah RM70 bilion tetapi pasaran ekuiti mampu terjejas, sekali gus meletakkan institusi kewangan yang bakal bertindak sebagai penerbit bon dalam 'bahaya'.

Namun begitu, terdapat pandangan bahawa pintu untuk pengambilalihan tidak tertutup sepenuhnya tetapi hanya boleh dijadikan pilihan terakhir.

Penganalisis pelaburan AmInvestment Bank Bhd., Izzal-din Maslan berkata, sebenarnya tiada halangan untuk kerajaan menguasai syarikat konsesi tol di negara ini seperti melalui syarikat yang ditubuhkan khas (SPV).

''Melalui SPV, kerajaan boleh menentukan perbelanjaan modal dan kos-kos lain manakala SPV yang ditubuhkan hanya perlu menguruskan perbelanjaan operasi. Ini memudahkan kerajaan mengawal kadar tol yang dicajkan kepada pengguna,'' kata beliau.

Bagaimanapun, kata Izzal-din, perbelanjaan besar yang perlu ditanggung untuk pengambilalihan itu pasti tidak adil kepada rakyat Sabah dan Sarawak yang tidak akan menikmati pampasan kerana kedua-dua negeri itu tidak memiliki lebuh raya.

Pada masa yang sama, kata beliau, langkah itu juga akan memberikan kesan kepada pasaran ekuiti tempatan.

''Perlu ingat, bon diterbitkan pada awal penubuhan syarikat konsesi tol untuk meningkatkan keyakinan kepada kerajaan menerusi perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat-syarikat lebuh raya.

''Kerajaan ketika itu bersetuju untuk menambah dana sekiranya syarikat konsesi mengalami masalah.

''Dan, sekiranya berlaku pengambilan alih oleh kerajaan, tidakkah ia akan menjejaskan keyakinan pelabur terutama pelabur asing terhadap pasaran ekuiti tempatan,'' soal beliau.

Contohnya, kata beliau, pengambilalihan akan menjejaskan pasaran kerana PLUS Expressways Bhd. (PLUS), antara pengendali lebuh raya terbesar di dunia dan paling penting ia merupakan syarikat yang menguntungkan.

Berdasarkan pengamatan peribadinya, pada peringkat ini, usaha menyelesaikan isu kenaikan kadar tol memang kritikal kerana ia adalah perjanjian berat sebelah - yang hanya menguntungkan syarikat konsesi.

Tambahan pula, keadaannya juga berbeza dengan pengambilalihan syarikat air yang tertakluk kepada akta yang sedia ada.

Dan, dalam keadaan sekarang, Izzal-din berpendapat, kaedah yang boleh dilakukan adalah mengurangkan bilangan tempat kutipan tol sedia ada, setidak-tidaknya pampasan yang perlu dibayar kepada syarikat konsesi tidak tinggi berbanding pengambilan semua syarikat konsesi.

Difahamkan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) kini sedang menyiapkan kertas kerja sebagai penyelesaian jangka panjang kepada isu kenaikan harga tol PLUS yang dijadual setiap tiga tahun pada kadar 10 peratus.

Sementara itu, penganalisis dari OSK Research, Jeremy Goh bersetuju bahawa pengambilalihan itu menelan perbelanjaan terlalu tinggi.

Katanya, dalam keadaan sekarang adalah tidak bijak menggunakan wang yang banyak semata-mata bagi mengurangkan beban pengguna lebuh raya sahaja, sedangkan ia boleh digunakan untuk merangsang ekonomi negara untuk kenikmatan segenap lapisan rakyat.

''Subsidi kepada syarikat konsesi juga bukan jalan terbaik kerana ia seperti melakukan pembaziran demi untuk keuntungan pihak lain,'' kata Goh lagi.

Berdasarkan penyelidikannya, beliau lebih bersetuju kerajaan melanjutkan tempoh konsesi tetapi syarikat konsesi perlu mengekalkan kadar tol sedia ada.

Ini adalah lebih adil kerana kaedah itu menyebabkan tiada siapa yang akan menanggung kerugian.

Goh berkata, masalah kadar tol timbul kerana tempoh kenaikannya ditentukan dalam satu tempoh yang panjang.

''Kalau di India, kenaikan tol dibuat setiap tahun pada kadar amat minimum tetapi di Malaysia, kenaikannya dalam masa dua tahun atau tiga tahun pada jumlah yang besar,'' kata beliau lagi.

Firma penyelidikan DBS Vickers Research dari Singapura dalam nota penyelidikannya pula percaya kerajaan Malaysia tidak mungkin mengambil alih syarikat konsesi PLUS, untuk dijadikan milik negara kerana kosnya tinggi sebanyak RM30 bilion.

Biarpun perjanjian konsesi PLUS iaitu syarikat yang kepentingan ekuitinya turut dikuasai kerajaan, membolehkan pengambilalihan dilakukan tetapi ia menyebabkan berlakunya kehilangan keuntungan pada masa depan. Konsesi PLUS akan tamat pada 2038.

Bagaimanapun, kata firma asing itu, penyusunan semula perjanjian konsesi, penswastaan atau meneruskan bayaran pampasan merupakan pilihan lain yang boleh dipertimbangkan.

''Pengambilalihan membabitkan kos tinggi dan bayaran pampasan hanya penyelesaian masa pendek yang tidak mungkin menjadi pilihan.

''Kemungkinan besar kerajaan akan menyusun semula kadar kenaikan tol beserta pengecualian faedah terhadap pinjaman kerajaan,'' kata DBS Vickers.

Selain itu, kata firma itu lagi, pilihan lain adalah penswastaan melalui Khazanah Nasional Bhd. dengan menganggarkan harga sasaran penswastaan adalah RM3.80 sesaham dan kedudukan bebas hutang PLUS, keseluruhan kos menjadi RM15.7 bilion.

''Namun begitu, penswastaan juga tidak mungkin berlaku,'' katanya.

Sementara itu, tokoh ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam percaya kerajaan boleh mengadakan rundingan semula dengan syarikat-syarikat konsesi untuk meminta kadar tol yang lebih munasabah.

Katanya, kerajaan berupaya membuat begitu kerana perjanjian konsesi tol membabitkan kerajaan dengan syarikat-syarikat pengendali tol yang turut dikuasai oleh syarikat milik kerajaan.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url